PUNCA UTAMA KAPAL PERANG LCS TAK SIAP – MINDEF, MENTERI PERTAHANAN ABAIKAN 10 SURAT TEGURAN DAN BANTAHAN PANGLIMA TLDM


 Pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Boustead Naval Shipyard (BNS) dalam pelaksanaan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Menurut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai perolehan LCS, mendedahkan pada asalnya reka bentuk kapal jenis SIGMA pilihan TLDM dipersetujui oleh Menteri Pertahanan, namun keputusan itu diubah kepada reka bentuk kapal jenis GOWIND pada 11 Julai 2011.

Perubahan itu atas cadangan syarikat BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011.

Panglima Tentera Laut ketika itu, Laksamana Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, menyifatkan keputusan terbabit adalah sesuatu yang salah.

Dalam laporan prosiding PAC pada 27 Julai tahun lalu, Abdul Aziz memaklumkan beliau mengemukakan sekurang-kurangnya 10 surat teguran, surat tidak puas hati, surat untuk memaklumkan pendirian TLDM.

Kepada Ketua Setiausaha pula katanya, beliau mengirimkan sebanyak 10 surat.

Ia termasuk lima surat kepada Menteri Pertahanan, satu surat kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, satu surat kepada Ketua Setiausaha Negara dan turut mengutuskan dua surat kepada Perdana Menteri.

“Jadi surat-surat telah pun diarkibkan untuk memastikan ia tersedia untuk rujukan dan saya tidak akan dipersalahkan atas kegagalan saya menjalankan tugas sebagai Panglima Tentera Laut.

“Kerana daripada awal lagi saya telah menegur tatacara perolehan…saya kata something is gravely wrong (sesuatu yang salah).

“Jadi, saya tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan ini di luar tetapi ini adalah peluang terbaik saya untuk memaklumkan bahawa saya sudah merekodkan kekecewaan terbesar kepada semua orang yang sepatutnya mendengar apa saya perkataan,” katanya.

Dalam prosiding sama, Abdul Aziz turut memberikan analogi kepincangan projek LCSdengan menggambarkan keadaan pada ketika itu sesuatu yang pelik kerana perolehan dilakukan oleh kerajaan bagi TLDM sebagai pengguna tetapi kuasa sepenuhnya diberikan kepada BNS.

Katanya, BNS mengeluarkan beberapa kenyataan atau surat yang menyatakan semua pilihan TLDM adalah tertakluk pada penilaian dan verifikasi mereka.

“Jadi ini pelik. Kalaulah kita buat rumah …jika saya mahukannya, kamu mesti dapatkannya. Betul atau tidak? Hakikatnya ia berlaku sebaliknya, jelas menunjukkan itu tidak telus,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa BNS menyatakan beberapa langkah untuk pemilihan peralatan bagi tujuan penjimatan, namun selepas verifikasi kos dilaksanakan perkara itu didapati tidak benar.

“Walaupun semua surat, melihat pembentangan peribadi kepada semua sama ada KSU (Ketua Setiausaha), Perdana Menteri, kita sedang berjuang dalam pertempuran yang kalah. Kami bertarung dalam pertempuran yang kalah. Sejak awal ia tidak betul.

“Apabila Boustead diberi kelonggaran untuk memilih peraturan-peraturan yang sesuai dengan mereka. Saya sebagai Panglima Tentera Laut dapat perhatikan. Barangkali ada beberapa mengatakan bahawa…saya berasakan bahawa dalam suatu keadaan Boustead ini sudah angkuh.

“Ia bermaksud sangat angkuh dan mereka seolah-olahnya menjadi sangat dilindungi. Maknanya, saya boleh tulis apa sahaja. Panglima Tentera Laut boleh tulis apa sahaja tetapi tidak memudaratkan kepada mereka. Saya letak dan hantar kepada KSU surat berkenaan,” katanya.

Sembilan rumusan PAC kepincangan projek LCS

Semalam PAC mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (Littoral Combatant Ship – LCS) bernilai RM9 bilion.

Projek LCS itu dilaksanakan oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dalam kenyataannya berkata, jawatankuasa itu membentangkan laporan LCS itu semalam, selepas sembilan kali mengadakan prosiding bermula 18 November 2020 sehingga 8 Mac 2022. 

Dalam prosiding itu, sembilan saksi dipanggil memberi keterangan, termasuk bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Pegawai Eksekutif Bousted Heavy Industries Corporation Berhad, Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf dan Pegawai Operasi BNS, Low Kok Chiang. 

Hishammuddin adalah Menteri Pertahanan antara 16 Mei 2013 – 10 Mei 2018 yang mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (10 April 2009 – 15 Mei 2013). 

Sembilan rumusan yang dicapai adalah:

* Kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

* Pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS apabila reka bentuk asal SIGMA pilihan TLDM diubah kepada GOWIND atas cadangan BNS dan dipersetujui Menteri Pertahanan. 

* Kajian ketekunan wajar (due diligence) oleh kerajaan terhadap BNS gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu. 

* Kedudukan kewangan BNS adalah lemah dan kritikal disebabkan salah guna kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan yang mana setakat tahun 2018, hutang BNS kepada OEM (pengeluar produk tulen) adalah sebanyak RM801 juta, manakala pinjamannya dengan institusi kewangan RM956 juta.

* BNS telah melantik syarikat Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) untuk membeli peralatan daripada OEM menyebabkan kos pembelian bertambah berkali ganda. CAD dan CED adalah syarikat usaha sama antara BNS (51 peratus) dan Rheinmetall Air Defense AG (RAD) (49 peratus). Laporan Pengauditan Forensik dapati peranan CAD dan CED dalam projek LCS amat meragukan.

* Terma kontrak lemah dan tidak memihak kepada kerajaan yang mana pembayaran dibuat berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar. (bayaran sebanyak 63.8 peratus dibuat berbanding kemajuan kerja sebenar hanya 42.7 peratus) 

* Sehingga kini, reka bentuk terperinci (detailed design) masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan dan BNS menyebabkan VO (Arahan Perubahan Kerja) dikeluarkan secara berterusan dan membuka ruang untuk manipulasi.

* Bayaran diterima daripada kerajaan oleh BNS tidak digunakan untuk projek LCS sepenuhnya menyebabkan BNS menanggung lebihan kos RM1.4005 bilion. Sejumlah RM400 juta digunakan untuk menyelesaikan hutang lapuk projek lama NGPV (New Generation Petrol Vessel).

* Peralatan projek LCS yang disimpan dalam stor dianggarkan bernilai RM1.7 bilion dengan 15 peratus daripadanya sudah usang.

Syor 7 penambahbaikan

Susulan penemuan itu, PAC turut mengesyorkan tujuh penambahbaikan, antaranya meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan di atas laporannya, laporan Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta laporan audit forensik dan menyegerakan pendakwaan. 

“Pentadbiran kontrak kerajaan haruslah diperkemas untuk meminimumkan VO bagi mengelak peningkatan kos projek,” katanya. 

Pada masa sama, katanya, Kementerian Pertahanan perlu membentangkan laporan kemajuan projek LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek siap.

“Kementerian Pertahanan juga perlu melihat semula semua opsyen dan menetapkan hala tuju terbaik bagi projek LCS dan memastikan wang awam dibelanjakan secara bertanggungjawab,” katanya.

Projek perolehan LCS diberi kepada BNS pada 2011 bagi membina enam kapal tempur untuk TLDM.

Kegagalan penyiapan LCS itu kali pertama dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian/Jabatan Persekutuan dan juga dalam Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) Jabatan Perdana Menteri yang diterbitkan pada 2019.

PH pernah arahkan projek LCS dihentikan bagi kenal pasti punca masalah

Pada 2019, kerajaan PH mengarahkan projek LCS diberhentikan dan siasatan dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah.

Pada Februari 2020, Menteri Kanan Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan Jemaah Menteri membuat keputusan meneruskan projek LCS, demi kepentingan TLDM. 

Pada November 2021, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberitahu Dewan Rakyat kelewatan perolehan LCS berpunca daripada pengeluar produk tulen (OEM) memberhentikan kerja susulan masalah kewangan dan kapal LCS yang pertama akan diterima oleh TLDM pada tahun 2025.

Pada 24 Januari lalu, SPRM dilaporkan menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat berusia 49 dan 79 tahun berkaitan kontrak perolehan enam kapal LCS.

April lalu, mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebulat suara memuktamadkan supaya projek perolehan LCS diteruskan.

Hishammuddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira dua faktor utama iaitu LCS adalah aset yang amat diperlukan oleh TLDM, selain akan menjejaskan 400 vendor yang terbabit dalam projek itu dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion.

Mengikut perjanjian asal, dua kapal pertama sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.

Mengikut laporan media pada Ogos 2017, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menyempurnakan penamaan dan pelancaran kapal LCS pertama bernilai RM1.5 bilion di dermaga Boustead Naval (BN) Shipyard di Pangkalan TLDM Lumut. Kapal itu diberi nama Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela.

Sumber – https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/984




No comments: