‘Perjanjian’ kerjasama Putrajaya – Rumah Putih yang berlangsung semalam mengambil tempat kira-kira empat bulan selepas Trump menjadi tetamu kehormat Raja Salman di “Arab Islamic American Summit” di Jeddah membincangkan seputar topik terorisme.
Selain pengukuhan keselamatan serantau, rakyat sudah tentu berharap perdana menteri akan membawa sesuatu yang bermakna – tatkala kita terus dibebani dengan peningkatan kos sara hidup, cukai GST dan kenaikan berterusan harga minyak.
Ini termasuk situasi di mana golongan berpendapatan sederhana dan rendah terpaksa melupakan hasrat mereka untuk memiliki rumah impian.
Lawatan Najib yang diharap membawa pulang sesuatu yang menggembirakan bertukar menjadi mimpi ngeri.
Najib dan delegasinya telah bersepakat untuk membantu ‘memperkukuhkan’ ekonomi Amerika Syarikat dengan pelaburan lebih RM40 bilion sementara ekonomi negara mengalami kemerosotan.
Najib telah umumkan bahawa kerajaan melalui Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) akan membeli 25 pesawat Boeing 737 dan 8 pesawat 787 Dreamliners.
Najib juga berkata bahawa kerajaan juga mungkin akan membeli 25 lagi pesawat 737 pada masa akan datang dengan jumlah yang bernilai lebih US$10 bilion atau RM42 bilion dalam tempoh 5 tahun.
Apa yang lebih mengejutkan, pertemuan Najib – Trump turut disusuli dengan komitmen kerajaan melabur sebanyak US$3 bilion hingga US$4 bilion kepada pembangunan infrastruktur AS. Ini tidak termasuk sejumlah US$7 bilion yang sudah dilabur oleh KWSP di AS.
Dan jangan pula kita hairan kalau-kalau BN mendakwa nilai pelaburan dan pembelian mencecah puluhan bilion ringgit itu kononnya membuktikan kedudukan kewangan negara di dalam keadaan stabil – itu bohong.
Di sebalik lagak Najib sakan menyalurkan pelaburan negara ke Amerika, fikiran saya tiba-tiba teringatkan nama Abdul Razak Baginda yang dikaitkan dengan kontroversi komisyen pembelian kapal selam Scorpene kepada Malaysia.
Memetik laporan The Malaysian Insight 1 Ogos lalu, Abdul Razak Baginda pernah menjadi penasihat kepada Najib Razak yang ketika itu menteri pertahanan dan didakwa di Perancis berhubung kes penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002.
Saya tidak mahu mengulang beberapa teori dan tragedi besar yang berlaku selepas kontroversi itu timbul termasuk pembunuhan seorang model warga Mongolia bernama Altantuya Sharibu.
Saat ini, negara semakin terbeban dengan defisit dan hutang-piutangnya. Situasi BN bertambah kritikal menjelang pilihan raya umum yang bakal diadakan bila-bila masa sahaja. “Kerajaan takda duit” kata seorang teman.
Sudah tentu, BN memerlukan banyak sumber kewangan untuk mengekalkan kedudukan mereka jika bernasib baik. Soalan saya, mungkinkah ada gerangan sosok Razak Banginda 2.0 yang bakal muncul?