Sedih anak dibuli, ibu gerakkan kempen anti buli


Sedih anak dibuli, ibu gerakkan kempen anti buli
MalaysianInsight.

MELIHAT tubuh anaknya yang berusia 14 tahun lebam akibat dipukul di asrama sering menghantui Dr Nurul Kharmila Abdullah, tetapi beliau memutuskan untuk menggunakan imej menyakitkan itu untuk menjadi semangat memerangi aktiviti buli di sekolah.
Kempen Dr Kharmila digelar “You Touch, You Go", disasarkan untuk memberi tekanan kepada sekolah, terutama sekolah berasrama penuh, untuk membuang pelajar yang bersalah kerana membuli, secara serta-merta.
“Buli lebih teruk lagi kalau melibatkan fizikal. Jadi kalau kamu sentuh (pukul) walau sekali, kamu kena buang (sekolah),” kata pensyarah itu yang juga pakar dalam bidang perubatan dan forensik.
Katanya, ada sekolah mempunyai kempen anti buli sendiri, tetapi tiada yang ada dasar menggantung sekolah dikenakan terhadap pihak bersalah.
“Bagi saya, pembuli kalau tidak dapat sesuaikan diri dalam kehidupan sosial berasrama macam itu, mereka kenalah belajar di sekolah harian yang mana ibu bapa boleh pantau,” katanya.
Pada 23 Mei, 10 pelajar MRSM Parit, Perak didapati bersalah membuli enam pelajar tingkatan dua. Semua pembuli terbabit ditamatkan pengajian daripada sekolah itu.
Anak Dr Kharmila ialah salah seorang mangsa dalam kes itu, dipukul hingga lebam dan luka di hampir seluruh badan kerana enggan meminjamkan kasut.
Anaknya itu dipaksa minum air panas, direnjis air panas di bahagian badan kerana berpura-pura pengsan bagi mengelak terus dipukul, dan kepalanya turut diletakkan di bawah pili air.
Dr Kharmila berkata anaknya kini kembali pulih dan akan memulakan pengajian selepas cuti sekolah, tetapi di MRSM lain.
"Anak saya alhamdulillah semakin pulih. Dulu memang dia trauma tetapi sekarang semangat dia makin kuat. Itulah dia, sokongan ibu bapa amat penting.
Kempen menentang buli yang dimulakan Dr Kharmila mendapat sokongan lebih kuat selepas kematian pegawai kadet laut dari Universiti Pertahanan Negara Malaysia yang dipercayai dibuli, didera dengan seterika di seluruh tubuhnya.
Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia ketika tiba di hospital, polis berkata 36 pelajar ditahan untuk soal siasat dan pihak berkuasa ia satu lagi kes buli.
Cegah buli dari awal
Dr Kharmila berkata kesedaran mengenai keburukan buli perlu dipupuk dari awal kemasukan sekolah melalui sesi ceramah.
“Ia perlu diterapkan pada budak masa mula-mula masuk. Awal-awal sudah cegah.
“Saya ada pengalaman kerana sebelum ini berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur. Saya pernah mengendalikan kes mangsa buli yang cedera.
“Kita beri mereka gambaran kesan keburukan gejala buli. Jadi apabila mereka hendak buli, mereka fikir,” kata ibu kepada empat anak yang pernah terlibat dalam ceramah anti buli tahun lalu.
“Budaya buli senior dan junior bukanlah sesuatu yang baik. Saya rasa Mara kena pertimbangkan lantik warden tetap. Sebab sekarang ini cikgu adalah warden sedangkan mereka sudah ada tugas mengajar,” katanya.
Dr Kharmila mahu kempennya diperluaskan ke semua sekolah, dan berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengguna pakai kempen itu.
Katanya, kempen #youtouchyougo akan diperluaskan menerusi persatuan ibu bapa MRSM, iaitu Muafakat.
Kertas cadangan itu pada masa ini sedang dibincangkan dalam kalangan ibu bapa pelajar MRSM dan akan dibawa ke KPM untuk sekolah berasrama.
Satu akhbar berbahasa Inggeris juga menawarkan kepada Dr Kharmila untuk membantunya menghebahkan kempen itu, tetapi ia masih dalam perbincangan.
Dr Kharmila berkata penerimaan terhadap kempennya setakat ini sangat menggalakkan dan ramai ibu bapa di mana anak mereka menjadi mangsa buli, meminta nasihat daripadanya.
Statistik KPM tahun lalu mendapati kes salah laku kalangan pelajar di sekolah menurun daripada 0.08% pada 2013 kepada 0.06% pada 2015.
Rekod menunjukkan kes buli di sekolah pada 2012 sebanyak 4,159 kes, 2013 (4,120 kes), 2014 (2,825 kes) dan 2015 (2,968 kes).
Sementara jumlah itu nampak menurun, lebih banyak kes dilaporkan di media sejak akhir-akhir ini.
Antaranya kes buli seorang pelajar bertindak keluar dari MRSM Alor Gajah Mei lalu kerana tidak tahan dibuli senior.
Pada Februari, seorang pelajar perempuan di sekolah menengah di Bandar Sri Damansara cedera di kepala sehingga menerima empat jahitan.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika mengulas kes buli di sekolah berkata tindakan lebih keras seperti gantung serta-merta akan dilaksanakan berdasarkan peraturan sedia ada.
Mahdzir berkata tindakan menggantung persekolahan pelajar terbabit berkuat kuasa serta-merta setelah jawatankuasa disiplin Jabatan Pendidikan mendapati ada bukti penglibatan pembuli.
Pulihkan akhlak, bukan buang sekolah
Walaupun membuli perlu dilihat sebagai kes serius, Dr Mariani Mohamad Nor dari Universiti Malaya (UM) berkata beliau percaya buang sekolah bukan jalan penyelesaian gejala buli.
Dekan dan pakar psikologi Fakulti Pendidikan UM itu berkata penting untuk memulihkan akhlak pelajar berkenaan.
“Buang sekolah bukan penyelesaian. Saya lihat cara sebegini sejak 1990 bila buang pelajar, apabila masuk ke sekolah baru dia buat hal juga,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Jadi kena fikirkan bagaimana hendak membina insan dan pelapis bakal memimpin dalam pelbagai aspek. Kena bina satu modul khas pulihkan akhlak mereka.
“Kalau bina satu tempat khas ia seolah-olah menggalakkan gejala buli, tidak perlu. Setiap sekolah perlu ada modul kaunseling pemulihan,” katanya. – 5 Jun, 2017.