Tidak
saja rakyat biasa dan mereka yang tidak berparti, ahli UMNO dan
penyokongnya pun tidak segan-segan mengeluh mengenai cukai baru ini.
Yang memihak parti lawan tentulah boleh dijangka reaksi mereka.
Rata-rata
mengadu perbelanjaan mereka sekarang ini mulai bertambah berbanding
sebelum GST dilaksanakan. Ini kerana apa saja pembelian dilakukan,
tambahan 6 peratus sudah sedia menunggu.
Jika
di restoran tertentu pula, ia termasuk lagi caj perkhidmatan sebanyak
10 peratus. Akhirnya tambahan yang terpaksa dikeluarkan ialah sebanyak
16 peratus.
Dalam
pada itu, ada pula peniaga yang mengalami kekurangan pelanggan sejak
cukai GST ini dikuatkuasakan. Mereka mengeluh ada pelanggan yang
membatalkan hasrat membeli barangan apabila diberitahu ianya dikenakan
cukai tersebut.
Seorang
pengusaha bakeri di sebuah pusat membeli belah berkata, pelanggannya
jelas berkurangan sejak GST dilaksanakan kerana ramai yang enggan
membayar tambahan harga 6 peratus itu.
Di
pelbagai lapisan masyarakat, rata-rata menyifatkan GST adalah umpama
"pukat harimau" yang mengaut secara borong mangsanya, dari ikan paling
besar hinggalah kepada sekecil-kecil ikan bilis.
Seorang
Ahli Parlimen dari Sabah misalnya yang membayar kos rawatan untuk
anaknya sebanyak RM20 ribu dan ubat-ubatan lagi sebanyak RM5 ribu turut
mengeluh kerana GST menyebabkannya terpaksa membayar tambahan 6 peratus
lagi daripada jumlah itu.
Semua
aspek perbelanjaan rakyat ketika ini mengalami kenaikan, tidak kira
sama ada seseorang itu orang kaya mahupun orang miskin. Malah ramai juga
bersungut kerana aktiviti kesukaan harian iaitu minum teh tarik bersama
rakan-rakan pun turut dikenakan GST.
Selain
itu, walaupun ada barangan tertentu dikecualikan GST tetapi apabila
mereka membelinya di pasaraya, semuanya dikira sekali dan dari jumlah
keseluruhannya tetap juga dikenakan tambahan 6 peratus itu.
Hakikat
bahawa ada barangan tertentu turun harga sepertimana yang
digembar-gemburkan oleh kerajaan, langsung tidak dirasai oleh rakyat.
Apa yang mereka rasai hanyalah kenaikan saja.
Bagi
yang membayar bil-bil harian juga mulai mempersoalkan kewajaran mereka
dikenakan cukai GST sedangkan yang lebih mengaut keuntungan ialah
syarikat pengendalinya.
Dalam
keadaan sekarang, selain syarikat pengendali harus membayar cukai
perniagaan mereka, rakyat yang menjadi pengguna juga turut dibebankan
sama.
Apakah ini maknanya apa yang dikatakan oleh pihak kerajaan bahawa GST adalah sistem cukai yang lebih telus, cekap dan berkesan?
Dengan
GST umpama "pukat harimau" yang mampu menangkap sesiapa saja sebagai
mangsanya, rakyat sebenarnya lebih percaya ia adalah kaedah paling mudah
bagi kerajaan untuk mengaut perolehan yang lebih baik bagi mengisi
kantung perbendaharaan negara yang selalu menipis akibat pemborosan dan
pembaziran.
Dan
ini sekaligus meletakkan kerajaan pimpinan Najib Razak lebih dibenci
majoriti rakyat kerana seolah-olah menjadikan mereka sebagai mangsa
pembulian yang berterusan.
Baru
tidak sampai sebulan, luapan kebencian akibat GST ini sudah boleh
dirasai di mana-mana. Bayangkan jika setelah 3 bulan, 6 bulan atau
setahun selepas ini?
Kebencian
yang makin membuak-buak ini jugalah yang menjadikan serangan dan
kritikan Tun Mahathir terhadap Najib lebih mendapat sambutan daripada
rakyat. Ini kerana Tun Mahathir jelas tidak berapa senang dengan GST dan
meminta rakyat menunjukkan bantahan mereka di peti undi jika tidak
bersetuju dengannya.
Apa
yang mereka harapkan dengan berlakunya perubahan kepimpinan melalui apa
yang dilakukan oleh Tun Mahathir nanti, akan berlaku sesuatu yang
positif berkenaan GST ini.
Oleh
kerana ia sudah dilaksanakan, ramai yang bersetuju mungkin agak sukar
untuk membatalkan terus perlaksanaan cukai itu tetapi kadar 6 peratus
yang dikenakan sekarang tentu boleh dikurangkan kepada 4 atau 3 peratus
misalnya.
Melihat
kepada serangan Tun Mahathir yang semakin agresif, dari 1MDB dan Sirul
tetapi kini makin melebar kepada aspek lain seperti Jambatan Bengkok,
Rel Berkembar, budak-budak tingkat 4 ala British, pembaziran dan
sebagainya, adalah langkah terbaik dalam meraih sokongan jika isu kadar
GST yang dianggap membebankan turut menjadi subjek bekas Perdana Menteri
itu selepas ini.
Percayalah, Tun Mahathir akan lebih disokong dan disukai rakyat jika turut menolak kadar 6 peratus itu. (SH 23/04/2015)