STRATEGI BAHARU SEDANG DIRANGKA ATASI KOS SARA HIDUP – RAFIZI

 

Sepertimana yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada minggu lepas, kadar inflasi pada Disember 2022 mereda kepada 3.8% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Bagi keseluruhan tahun 2022, inflasi Malaysia adalah 3.3% seperti yang diunjurkan oleh Kementerian Kewangan dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2023.

Perbandingan bulan ke bulan pula menunjukkan inflasi bagi bulan Disember 2022 mencatatkan peningkatan 0.2%, ianya lebih rendah berbanding 0.3% pada November 2022.

Semua komponen utama Indeks Harga Pengguna (IHP) menyederhana kecuali komponen Restoran & Hotel dan Perumahan, serta Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain.

Peningkatan harga makanan dan minuman di luar rumah, terutamanya di Restoran & Hotel adalah penyumbang utama kepada kadar inflasi.

Usaha mengawal inflasi memerlukan kerjasama semua pihak, dari kerajaan, peniaga sehinggalah kepada rakyat.

Sepertimana yang disebutkan sebelum ini, kerajaan ingin mengingatkan bahawa pengguna boleh memainkan peranan dalam bersama-sama menyuntik keanjalan di antara permintaan dan bekalan demi mengawal inflasi.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melancarkan OpenDOSM NextGen pada 12 Januari 2023, iaitu platform data yang berkaitan dengan statistik rasmi yang diterbitkan oleh DOSM dan agensi kerajaan lain.

Platform ini turut mengandungi 28 juta data harga barangan di pelbagai lokasi di seluruh negara daripada aplikasi PriceCatcher yang dibangunkan oleh KPDN.

Data PriceCatcher yang diterbitkan merupakan data terkini dengan selang waktu satu hari. Kerajaan mengharapkan penerbitan data ini dapat membantu pengguna membuat pilihan yang lebih tepat, dan seterusnya menjadikan permintaan lebih anjal di samping mengawal kenaikan harga.

Pelbagai usaha lain juga telah dilaksanakan untuk mengawal harga di semua restoran dan gerai makanan di seluruh negara, namun terdapat cabaran dari sudut pelaksanaan pemantauan disebabkan kapasiti pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang terhad.

Beberapa agensi Kerajaan termasuk Kementerian Ekonomi, KPDN, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang merangka strategi baharu sebagai quick win solution kepada isu kos sara hidup dan akan diumumkan dalam waktu terdekat.

Langkah untuk jangka panjang juga sedang diteliti bagi membolehkan jaminan bekalan makanan untuk memenuhi permintaan dan seterusnya membantu mengawal kenaikan harga.

Rafizi Ramli

Menteri Ekonomi.