Semalam ramai yang terkejut dengan laporan tentang perlantikan Pengerusi UMNO Kedah, Jamil Khir Baharom sebagai penasihat agama kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Dengan perlantikan ini bermakna Ismail Sabri kini mempunyai tiga penasihat khas – kesihatan, undang-undang serta hak asasi manusia dan agama.
Dilaporkan lagi, belanja setiap penasihat khas itu adalah sebanyak RM50 ribu sebulan, termasuk untuk gaji beberapa kakitangan.
Bermakna, untuk tiga penasihat khas itu, kerajaan membelanjakan sebanyak RM150 sebulan, walhal peranan mereka adalah bertindih dengan menteri-menteri sedia ada dalam portfolio berkaitan.
Maka itu, ramai yang mempertikaikan untuk apa penasihat khas itu dilantik, sedangkan sudah ada menteri kesihatan, menteri menjaga undang-undang dan menteri hal-ehwal agama.
Dalam kes penasihat khas undang-undang yang dilantiknya, selain sudah ada menteri yang menjaga undang-undang dan Peguam Negara, Ismail Sabri sendiri seorang yang berlatarbelakangkan guaman sebelum itu.
Jadi, untuk apa penasihat khas berkaitan undang-undang dilantiknya?
Begitu juga dengan penasihat khas agama, bersama menteri agama yang sudah sedia ada, malah Pas sebagai parti agama juga ada bersama-sama dalam kerajaan, adakah kehadiran Jamil Khir untuk menjadikan Perdana Menteri lebih alim dan warak serta menjadikan dasar kerajaan lebih Islamik selepas ini?
Selain perlantikan itu difahami adalah untuk Ismail Sabri memberi gaji, jawatan serta habuan kepada kawan-kawannya dalam UMNO, beliau sendiri sebenarnya amat memerlukan penasihat-penasihat khas tersebut di sisinya.
Walaupun sudah ada barisan menteri kabinet dan puluhan pegawai lagi di sekelilingnya atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri, semua itu ternyata masih tidak mencukupi baginya.
Sebab utama beliau memerlukan ramai penasihat khas ialah kerana Ismail Sabri, jika diteliti rekodnya sebagai menteri atau pemimpin UMNO sebelum ini, beliau adalah seorang yang diketahui memiliki kemampuan amat terhad dan bukanlah seorang yang dikenali dengan ada sesuatu kejayaan pernah diciptanya.
Hang Tuah bukan, Hang Jebat pun bukan – beliau lebih kurang seperti wujudnya Hang Lekiu, Hang Lekir dan Hang Kasturi saja.
Maknanya, beliau bukanlah orang penting dalam senarai kepimpinan UMNO, jauh sekali pernah mencipta rekod kejayaan atau ada sesuatu perkara yang boleh dikaitkan dengannya.
Kalau dalam PRU14 pada 2018 lalu, BN tidak hilang kuasa, malah dapat mengekalkan kuasanya, belum tentu Ismail Sabri berpeluang menang Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti yang diadakan selepas kekalahan itu.
Sebagaimana beliau berjaya menjadi Naib Presiden UMNO banyak disebabkan oleh faktor nasib, kemenjadiannya sebagai Perdana Menteri juga lebih kerana nasib.
Jika BN tidak kalah PRU14 atau kalau Hishammuddin Hussein turut bertanding pada pemilihan UMNO 2018 itu, Ismail Sabri barangkali bukan Perdana Menteri ketika ini.
Dengan kemampuan dan kewibawaannya sebagai pemimpin diketahui amat terhad itu, Mara Digital yang merupakan idea kecilnya itu pun gagal digerakkan untuk membuahkan kejayaan.
Lantaran memiliki kemampuan dan keupayaan yang terhad juga, sudah tentulah beliau memerlukan ramai penasihat khas di sekelilingnya untuk menampakkan dirinya kelihatan lebih berkemampuan.
Tidak mustahil selepas ini beberapa lagi penasihat khas akan dilantiknya, mungkin mengikut portfolio setiap kementerian atau keghairahannya kepada perkara-perkara tertentu yang berkaitan dengan peranannya sebagai Perdana Menteri.
Mungkin selepas ini ada penasihat khas politik, budaya, bukan Melayu, pertanian, komunikasi, berkaitan Asean dan macam-macam lagi akan dilantiknya.
Lagi banyak perlantikan bermakna lagi banyak wang rakyat diperlukannya untuk membayar gaji-gaji mereka itu.
Itulah hakikatnya, tidak perlu kita marah atau bising-bising kerana inilah beban nyata yang rakyat terpaksa tanggung entah sampai bila lantaran memiliki seorang Perdana Menteri yang terhad kemampuannya.
Tapi kuasa kita sebagai rakyat masih ada untuk menamatkan semua itu – ShahbudinHusin 29/11/2021