MAHATHIR DAN SETIAKAWAN


1. Tun Mahathir di dalam coretan blognya Chedet pada 17 Julai 2020 menyatakan bahawa apabila Bersatu meninggalkan PH kesemua ahli Jemaah Menteri hilang kedudukan Menteri masing-masing termasuk beliau sendiri sebagai Perdana Menteri.  Perletakan jawatannya hanyalah satu formaliti katanya.
2. Perkara yang sama diulangi oleh Tun Mahathir  di dalam ucapannya di Program Jelajah Bersatu Blackout di Kedah pada keesokan harinya di mana beliau menceritakan perihal bagaimana dirinya terpaksa meletakkan jawatan PM.
3. Soalnya benarkah Tun Mahathir tiada pilihan lain dan terpaksa meletakkan jawatan sebagai PM pada 24 Februari 2020 sekitar pukul 1 tengahari itu walaupun telah diminta oleh Dato’ Sri Anwar Ibrahim (DSAI), Dato’ Sri Wan Azizah (DSWA), Mat Sabu dan Lim Guan Eng di sebelah paginya agar tidak meletak jawatan?
4. Malahan Yang di Pertuan Agong (YDPA) sendiri pada pertemuan dengan Tun Mahathir pada petang 24 Februari 2020 meminta agar beliau tidak meletakkan jawatan sebagai PM.
5. Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaanya Parlimen dibubarkan oleh YDPA.
6. Jika disorot fakta yang berlaku hakikatnya Tun Mahathir bukan sahaja tidak hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk beliau kekal sebagai PM malah Tun Mahathir telah memperolehi sokongan luar biasa untuk terus kekal sebagai PM dari kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang pada tarikh 24 Februari 2020 tersebut. Pendek kata hampir kesemua ahli Dewan Rakyat seramai 222 orang mahukan beliau kekal sebagai PM pada tarikh tersebut.
7. Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 21 Februari 2020 yang ketika itu PH mempunyai lebih kurang 136 Ahli Parlimen memutuskan untuk Tun Mahathir kekal sebagai PM dan diberi kebebasan untuk menentukan sendiri tarikh untuk menyerahkan kuasa dan memberi laluan kepada Anwar sebagai PM ke-8.
8. Ini disusuli pula pada petang Ahad 23 Februari 2020, ketua-ketua parti UMNO, PAS, Warisan, GPS dan kumpulan Azmin telah pergi ke Istana Negara untuk menyerahkan Akuan Berkanun (Statutory Declaration atau SD) menyokong Tun Mahathir untuk kekal sebagai PM.
9. Jadi, di manakah terpaksanya Tun Mahathir meletak jawatan PM pada 24 Februari 2020 dengan menghantar surat kepada YDPA sekitar 1 petang tersebut.  Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya mengisytiharkan Bersatu keluar dari gabungan PH lebih kurang sejam selepas Tun Mahathir meletakkan jawatan dan bukannya sebelum perletakan jawatan Tun sebagai PM dan Pengerusi Bersatu seperti yang dituduh oleh Tun Mahathir.
10. Isunya mengapakah Tun Mahathir dengan sokongan luar biasa hampir semua Ahli Parlimen berkeras untuk meletakkan jawatan PM walaupun diminta untuk tidak berbuat demikian oleh pemimpin-pemimpin PH dan YDPA sendiri.
11. Mungkinkan disebabkan Tun terlalu kecewa dengan rakan-rakannya di dalam Bersatu sehingga Tun sudah tidak berminat untuk menjadi Perdana Menteri lagi?
12. Atau mungkinkah Tun merasakan inilah saat terbaik untuk beliau melepaskan diri dari ikatan perjanjian PH dan seterusnya janji penyerahan kuasa kepada Anwar sebagai PM ke-8 seperti yang telah dimeterai sebelum PRU ke-14 sehingga mendapat mandat rakyat untuk dilaksanakan janji tersebut memandangkan hampir semua ahli Parlimen dari blok PH dan bukan PH menyokong Tun kekal sebagai PM? Sekiranya Tun Mahathir tidak meletakkan jawatan dan dengan kuasa yang luar biasa sebagai PM, hampir mustahil untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) atau Azmin berani atau mampu untuk menggulingkan beliau dengan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
13. Di atas keyakinan itu jugalah Tun Mahathir menolak jemputan PH untuk berbincang berkenaan calon PM bagi sesi temuduga Ahli Parlimen PH dengan YDPA pada 26 Februari 2020.
14. Bukan setakat menolak jemputan PH tersebut, malah keyakinan Tun Mahathir terlalu tinggi pada 26 Februari 2020 sehingga berani menyuarakan hasrat beliau yang begitu memeranjatkan dan anti demokrasi untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di mana menteri-menteri yang akan dipilihnya nanti tidak akan mewakili parti masing-masing sebaliknya atas kapasiti persendirian.  Dalam bahasa mudahnya, semua menteri-menteri nanti perlu tunduk hanya kepada arahan Tun Mahathir sebagai PM. Tun Mahathir juga pada 27 Februari 2020 secara sendiri mengumumkan untuk mengadakan persidangan khas Dewan Rakyat pada 2 Mac 2020 bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi PM baharu.
15. Setelah pihak Istana Negara mengumumkan pada petang 29 Februari, 2020 bahawa YDPA, pada hemat baginda, merasakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) layak dilantik sebagai Perdana Menteri kerana mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat barulah Tun Mahathir kemudiannya bergegas untuk berjumpa dengan PH bagi mendapatkan sokongan PH kepadanya sebagai calon PM. Malang buat Tun Mahathir, YDPA tidak berkenan untuk berjumpa beliau yang ingin menunjukkan bukti beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan bukannya TSMY.
16. Tun Mahathir kemudiannya telah dibuang dari Besatu dan bersama 5 bekas ahli Parlimen Bersatu kini tidak mempunyai parti.  Walaupun keadaannya yang agak tersepit itu, Tun Mahathir berkeras agar PH yang mempunyai lebih 90 ahli Parlimen untuk memilihnya sebagai calon PM untuk tempoh 6 bulan.
17. Kini apabila PKR dan PH tetap memutuskan untuk menyokong  DSAI sebagai calon PM ke-9, Tun Mahathir mencipta berbagai dalih dan alasan tidak mahu menyokong DSAI sebaliknya menamakan Shafie Apdal Presiden parti Warisan sebagai calon PM serta anaknya Mukhriz dan DSAI sebagai calon TPM.  Ramai mengetahui Warisan adalah parti berbilang kaum bagi negeri Sabah sahaja dan hanya boleh dianggotai oleh orang Sabah.  Kalau di Semenanjung, mungkin Mat Sabu lebih dikenali berbanding Shafie Apdal.
18. Sebelum PRU 14, parti Bersatu telah dibubarkan sementara oleh Pendaftar Pertubuhan dan kesemua calon Bersatu bertanding menggunakan logo PKR.  Setelah PRU 14, YDPA ketika itu telah menawarkan kepada DSWA untuk menjadi PM ke-7 memandangkan lebih dari 100 kerusi Parlimen telah dimenangi oleh calon yang menggunapakai logo PKR.  PKR sendiri sebagai sebuah parti telah memenangi hampir 50 kerusi Parlimen.  Adalah mustahil untuk Tun Mahathir menjadi PM ke-7 tanpa dokongan DSAI dan PKR.
19. Salahkah sekiranya akar umbi PKR merasakan setiakawan bagi Tun Mahathir hanyalah satu hala dan menjadikan PKR hanya sebagai anak tangga untuk dipijak bagi naik ke atas?
Penulis
JAUHAR ABADI.