Baru-baru ini ketika saya sedang berjalan di
kaki lima deretan kedai berdekatan rumah untuk pergi ke sebuah bank, seorang
budak lelaki tiba-tiba berlari memintas saya dari belakang sambil
menjerit-jerit kecil.
“Yeyyy, yeyyy…dapat 70 ringgit…dapat 70
ringgit,” katanya sambil menunjukkan wang dalam tangannya, lalu kemudian
memberikan wang itu kepada seorang wanita dalam usia bawah 40-an yang ketika
itu sedang duduk bersila di depan sebuah kedai serbaneka bersama tiga lagi
kanak-kanak yang masih kecil.
Saya dspati kemudian wanita tersebut adalah
ibu kepada semua kanak-kanak itu.
Seorang anak yang paling kecil berada di
pangkuan wanita berkenaan.
Budak lelaki berusia dalam lingkungan 10 tahun
yang berlari bersama wang 70 ringgit tadi adalah yang paling besar di antara
kanak-kanak yang lain.
Di depan wanita itu duduk ada sebuah bekas
yang didalamnya terdapat beberapa helai duit seringgit serta sejumlah bungkusan
tisu di tepinya.
Melihat insiden itu, saya segera
memperlahankan langkah dan pura-pura ingin singgah ke kedai serbaneka, tetapi
sebenatnya untuk melihat apa yang terjadi seterusnya.
Apa yang paling menarik perhatian saya ialah
jumlah 70 ringgit yang berjaya diperolehi budak lelaki itu yang pada fikiran
saya amat besar jumlahnya dalam keadaan ekonomi tidak berapa baik, harga barang
mahal dan nilai ringgit jatuh merudum ketika ini, meski saya tak pasti berapa
lama masa diambil untuk budak lelaki itu memperolehi kutipan sebanyak itu.
Selepas budak lelaki tadi menghulurkan wang
kepada ibunya, dia kemudian berkata – “mak, duit ni nak beli jam telefon.”
“Berapa harganya,” kata si ibu sambil wang itu
disimpannya dalam beg kain yang ada di sebelahnya.
“120,” balas budak lelaki tadi dengan pantas.
Saya tak pernah mendengar istilah jam telefon
sebelum ini, tetapi saya fikir yang dimaksudkan itu ialah jam pintar atau
“smart watch” yang biasa dipakai kebanyakan orang, khususnya generasi muda
sekarang ini.
Memandangkan harga yang disebut itu RM120,
saya jangka ia pastilah buatan China yang tidak berapa berjenama.
Kalau yang ada jenama, tentulah hampir ribu
riban harganya.
Saya ketika itu masih berdiri sambil pura-pura
membaca pelbagai iklan dan poster di dinding kaca berhampiran pintu masuk kedai
serbaneka tadi, tetapi mata dan telinga saya lebih terarah kepada mereka.
“Nanti esoklah kita beli,” kata si ibu
kemudiannya.
Barangkali kerana gembira dengan jawapan
ibunya, budak lelaki tadi berlari semula ke kawasan deretan kedai-kedai dengan
di tangannya membawa sejumlah bungkusan tisu-tisu kecil untuk mencari lebih
pendapatan lagi.
Kemudian sambil meneruskan langkah menuju ke
bank yang hanya selang empat pintu dengan kedai serbaneka itu, fikiran saya
jadi kacau dengan tiba-tiba.
Sebelum berurusan dengan bank, saya berfikir
agak lama – rupa-rupanya ada orang sanggup duduk di kaki lima sambil mengharap
ihsan orangramai dengan menjual tisu semata-mata kerana ingin membeli barang
mewah, bukan disebabkan makan pun susah.
“Smart watch” bagi keluarga wanita berkenaan,
bagi saya, pasti boleh dikategorikan sebagai barangan mewah kerana dengan ramai
anak-anak yang masih kecil perlu diberi makan, membeli makanan jauh lebih
penting lagi berbanding membeli jam telefon.
Tambah lagi jika sampai perlu meminta-minta
sambil menjual tisu, sangat tak kena jika “smart watch” yang ingin dibeli.
Apakah mereka sanggup mengemis kerana siibu
terlalu sayangkan anak lelakinya yang begitu teringin memakai jam telefon?
Selesai berurusan di bank, saya kemudian pergi
membasahkan tekak di cafe bersebelahan, sambil ingin mencari tempat yang selesa
untuk melayari internet dan membaca berita-berita semasa.
Tidak lama selepas saya duduk di cafe
tersebut, seorang budak perempuan dalam usia enam atau tujuh tahun datang
dengan membawa sebungkus tisu kecil lalu berkata – Encik, nak beli makanan?
Saya memandang wajahnya dengan simpati, lalu
menghulurkan beberapa helai duit seringgit kepadanya.
Saya perasan budak perempuan itu adalah antara
yang bersama dengan ibunya di depan kedai serbaneka tadi.
Tidak sampai sepuluh minit kemudian, budak
lelaki yang berjaya mengutip hasil 70 ringgit tadi pula datang ke meja saya, juga
dengan membawa sebungkus tisu kecil di tangannya, lalu berkata – Encik, nak
beli makanan?
Saya percaya budak lelaki ini adalah abang
kepada budak perempuan yang saya baru bersedekah kepadanya sebentar tadi.
Saya selalu ada perasaan simpati kepada budak-budak
dan orang tua, lalu saya memberi beberapa helai duit seringgit kepada budak
lelaki itu, tetapi jumlahnya lebih kecil daripada apa yang saya beri kepada
budak perempuan sebelum ini.
Dalam hati saya kemudian berfikir, cerdik
budak-budak ini – mereka menjual tisu tapi memberi alasan untuk membeli
makanan.
Saya pasti, apabila disebut untuk membeli
makanan, tambahan lagi budak kecil yang mengucapkannya, ramai akan jatuh
simpati.
Tidak mustahil ramai yang memberi sedekah
dengan jumlah yang lebih sedikit, mungkin sepuluh ringgit atau lebih daripada
itu.
Sebab itu, hati saya berkata, patut mudah saja
budak lelaki tadi memperolehi 70 ringgit daripada orangramai yang ditemuinya.
Rupa-rupanya bukan makanan yang mereka beli,
tapi jam telefon yang sangat diidami.
Bahkan saya yakin dengan dua tiga pusing lagi
meronda di kawasan deretan kedai di kawasan itu, cukuplah 120 ringgit yang
diperlukannya untuk membeli jam telefon itu.
Kaya rupanya negara kita ini dan patutlah juga
golongan seperti itu ada di hampir di semua lokasi perniagaan atau kawasan
tumpuan orangramai. – ShahbudinHusin 07/02/2024.