Guan Eng, Saifuddin kritik kelemahan Putrajaya tangani Covid-19

 

Lim Guan Eng dan Saifuddin Nasution Ismail menyuarakan kebimbangan berhubung kawalan wabak Covid-19 di Pulau Pinang. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP dan PKR menyelar cara Putrajaya menangani Covid-19 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Sambil membangkitkan perkara yang dilihat sebagai kegagalan itu, mereka turut memberikan cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan persekutuan dalam menangani krisis berkenaan.

Lim Guan Eng (PH-Air Putih) dan Saifuddin Nasution Ismail (PH-Pantai Jerejak) menyentuh pelbagai isu daripada kadar kematian yang semakin meningkat di negeri itu, usaha vaksinasi dan perkhidmatan sokongan bagi mereka yang dikenakan sekatan pergerakan.

Pulau Pinang mempunyai bilangan kes Covid-19 tertinggi di negara ini berdasarkan jumlah penduduk dengan 94.5 kejadian bagi setiap 100,000 orang (dalam purata tujuh hari), lebih tinggi daripada Lembah Klang.

Lim dalam sesi perbahasan ucapan Yang Dipertua Negeri berkata, kajian mendalam perlu dilakukan untuk melihat kenapa kawasan tertentu mencatatkan bilangan kematian tinggi.

Beliau memberi sebagai contoh Air Itam yang merekodkan 21 kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

Katanya, perkara itu merisaukan, namun tiada jawapan kenapa trend itu wujud di situ.

Lim berkata, keseluruhan jumlah kematian Covid-19 di Pulau Pinang adalah 469 kes setakat 26 Ogos lalu yang juga membimbangkan kerana kebanyakannya melibatkan individu berusia 50 tahun ke atas.

“Kita perlu melihat kenapa ini berlaku, kita perlu menyiasat lebih mendalam,” katanya.

Lim berkata, warga Pulau Pinang mula menganggap wabak itu “hukuman mati” yang “lebih teruk daripada penjara”, dengan panggilan kecemasan 999 tidak dilayan dengan pantas, kadar vaksinasi rendah, serta denda yang tinggi untuk pelanggaran SOP Covid-19.

Tahun lalu, beliau berkata, denda berjumlah RM2.08 juta dibayar 2,085 orang ketika kompaun RM1,000 ditetapkan.

Tahun ini, katanya, RM4.3 juta dikutip daripada 2,115 orang, dengan 3,762 notis kompaun dikeluarkan.

Menurutnya, berdasarkan “kelemahan kerajaan persekutuan” dalam menangani wabak itu, kerajaan Pulau Pinang mesti meningkatkan usaha mitigasi.

“Jika kerajaan persekutuan tidak boleh melakukannya, kita boleh lakukan di Pulau Pinang. Saya benar-benar berharap menteri kesihatan baharu boleh membuat perubahan segera untuk memperbaiki keadaan.”

Sementara itu, Saifuddin berkata, beberapa kegagalan berlaku sejak awal wabak yang perlu diambil maklum kerajaan sedia ada.

Katanya, kesilapan pertama adalah kelewatan menempah vaksin atas alasan menunggu ujian klinikal dilakukan sedangkan banyak negara lain telah membuat tempahan awal sebelum ujian klinikal dimulakan.

“Bak kata kami di utara, sepatutnya kita ‘chup dulu’. Kita hanya membuat tempahan selepas permintaan untuk vaksin sudah tinggi.”

Saifuddin berkata, ketika vaksin tiba, Sarawak menjadi negeri pertama menerima sejumlah besarnya, iaitu taktik politik sebagai persediaan untuk pilihan raya negeri yang sepatutnya diadakan Jun lalu sebelum ditangguhkan selepas darurat diisytiharkan di negeri itu.

Katanya, isunya bukan mengenai keupayaan negeri membeli vaksin sendiri, sebaliknya kerana ia diberi awal oleh pembuat dasar di Putrajaya.

“Negeri jirannya Sabah juga ‘corot’ dalam penerimaan vaksin. Jadi, nampaknya kehidupan orang Sarawak lebih penting berbanding negeri lain.”

Saifuddin kemudian memetik kisah wartawan kelahiran Malaysia, Rahmah Ghazali, yang disahkan positif Covid-19 bersama keluarganya di United Kingdom.

Katanya, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di negara itu menghubungi mereka setiap hari untuk memantau keadaan keluarga itu, manakala Majlis Perbandaran turut melakukan pemeriksaan berkala bagi memastikan mereka mempunyai bekalan makanan mencukupi.

“Itu yang dinamakan sistem sokongan. Kita sebagai kerajaan mesti menawarkan sokongan kepada mereka yang mengasingkan diri di rumah.”

‘Tiada majoriti 2/3 pinda Perlembagaan negeri’

Sementara itu, Lim membangkitkan isu undian tidak dikira secara rasmi untuk pindaan Perlembagaan negeri, semalam.

Katanya, langkah sedemikian memerlukan sokongan majoriti 2/3 serta undian rasmi oleh semua 40 ADUN.

Speaker Law Choo Kiang berkata, kiraan rasmi tidak diperlukan apabila melibatkan penyelarasan undang-undang negeri dan persekutuan.

Semalam, sidang DUN Pulau Pinang meluluskan undang-undang untuk menurunkan had usia calon bagi kerusi negeri daripada 21 kepada 18 tahun.

No comments: