Tian Chua: Perhimpunan besar gagal dihalang apa-apa Akta

Tian Chua: Perhimpunan besar gagal dihalang apa-apa Akta

Lim Hong Siang | Dec 17

Tatkala hampir semua analisis "meramalkan" Akta Perhimpunan Aman (APA) digubal untuk menghalang perhimpunan BERSIH 3.0 atau Reformasi 2.0 (jikalau Anwar Ibrahim dipenjarakan), malah perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Tian Chua memilih untuk berbeza pandangan, mendakwa bahawa undang-undang ini hanya berkesan untuk mematikan perhimpunan yang melibatkan isu kecil, tetapi gagal menghalang perhimpunan besar-besaran.

"Untuk saya, tiada mana-mana akta yang mampu menghalang pertukaran kerajaan. Negara yang berlaku pertukaran kerajaan, undang-undangnya lebih draconian berbanding undang-undang di negara kita," kata Tian Chua, (gambar kanan) yang terkenal dengan imejnya sebagai pemimpin demonstrasi jalanan sejak zaman Reformasi pada tahun 1998.

Beliau mengambil contoh bagaimana perhimpunan BERSIH 2.0 berjaya dengan kehadiran puluhan ribu orang, meskipun cuba dihalang dengan pelbagai ugutan, sama ada undang-undang mahupun jentera negara seperti polis. Justeru itu, Tian Chua yakin bahawa seandainya perhimpunan besar-besaran dipanggil untuk respon kepada isu yang besar, maka ia tetap akan berlangsung tanpa mengendahkan kewujudan APA - selagi rakyat berani turun ke jalan raya.

Sungguhpun demikian, Tian Chua menganggap penggubalan APA akan membawa kesan untuk membunuh budaya demokrasi, iaitu demontrasi yang berlaku secara kecil-kecilan, melibatkan isu yang dihadapi dalam hidupan harian. Misalnya, protes pemilik rumah yang masih belum mendapat geran strata (strata title), protes penghuni terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur apabila longkang tidak dibersihkan dan sebagainya.

"Ini masalahnya!" tegasnya, sambil menekankan bahawa APA tidak mempengaruhi PKR mahupun Pakatan Rakyat, kerana sepanjang ini perhimpunan dianjurkan tanpa mempertimbangkan hal undang-undang. Tian Chua berkata sedemikian dalam satu forum bertemakan Akta Perhimpunan Aman, anjuran Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, pada malam 13 Disember 2011. Turut hadir sebagai panelis termasuklah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan Ooi Heng dan pengkaji politik Wong Chin Huat.

Tian Chua melanjutkan, denda tidak melebihi RM20,000 kepada peserta perhimpunan yang membawa kanak-kanak di bawah umur 15 tahun, akan menambat langkah sesetengah ibu yang mahu menghadiri ceramah politik, tetapi terpaksa menjaga anaknya. "Dulu ibunya hanya membawa tikar ke kawasan ceramah diadakan, namun dengan wujudnya APA, mereka bimbang denda yang tidak larat ditanggungnya," kata Tian Chua.

Sambil berseloroh beliau berkata, pengamal media juga menjadi mangsa di bawah APA, kerana seandainya protes diadakan untuk respon kepada isu alam sekitar, maka gambaran di mana budak-budak kecil yang comel melaungkan "pertahankan masa depan kita", tidak lagi muncul untuk ditangkap gambarnya. "Tinggallah orang yang tua-tua belaka untuk mengangkat kain rentang di situ mempertahankan masa depan," katanya, disambut dengan gelak ketawa.

Akta Polis vs Akta Perhimpunan Aman

Tian Chua yang sudah banyak kali ditangkap dan ditahan kerana keterlibatannya dalam perhimpunan, sempat mengulas perbezaan antara APA dengan Akta Polis yang menyekat perhimpunan. Dari segi dasarnya, beliau menganggap Akta Polis sungguhpun memberi kuasa kepada pemerintah untuk mengharamkan perhimpunan, namun mengiktiraf "kewajaran" untuk berhimpun. Ini kerana Akta Polis wujud pada zaman di mana kerajaan bimbang kuasanya digulingkan pasukan bersenjata dalam hutan, iaitu komunis. Apa-apa bentuk protes dibenarkan, selagi tidak mengancam kuasa pemerintah.

Justeru itu, apabila pemerintah mengharamkan perhimpunan, alasan yang diberikan adalah perhimpunan ini didalangi komunis, untuk menggulingkan kerajaan. Bagaimanapun, Tian Chua berkongsi pengalamannya, bahawa ramai antara aktivis yang ditahan dan ditangkap di bawah Akta Polis kerana terlibat dalam perhimpunan, namun mereka biasanya gagal disabitkan kesalahan. "Asalkan kami buktikan, saya sedang menyanyi lagu 'Negaraku', bagaimana ia boleh mengancam keselamatan awam? Dia (polis) boleh tangkap, dia boleh tahan 14 hari tapi dia perlu lepaskan anda. Lagi anda lakukan, paling banyak dia gunakan ISA. Itu sahaja."

Malah, beliau sempat berseloroh bahawa polis akhirnya terpaksa menggunakan tuduhan seperti menggigit anggota polis, menghalang polis daripada menjalankan tugas, untuk mengenakan tuduhan terhadap peserta perhimpunan, kerana gagal menyabitkan mereka dengan kesalahan di bawah Seksyen 27 Akta Polis.

Sebaliknya, APA secara kasar membahagikan perhimpunan mengikut bentuknya, mengharamkan semua protes jalanan, tanpa mengiktiraf bahawa protes dalam apa-apa bentuk mempunyai kewajarannya. Tian Chua berkata, mereka yang berada di Putrajaya melihat pertukaran kerajaan boleh berlaku melalui perhimpunan aman di Timur Tengah, maka mereka yang berkuasa akan berfikir, tujuan perhimpunan bukan sekadar untuk menuntut pilihan raya yang adil, tetapi untuk menukar kerajaan.

Justeru itu, Tian Chua menganggap kandungan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman ditulis dengan menyasarkan perhimpunan besar-besaran. Melihat kepada lokasi yang disenaraikan di mana perhimpunan diharamkan, ia sebenarnya memberi isyarat bahawa "paling baik perhimpunan diadakan dalam stadium". Hanya penganjur perhimpunan besar yang mampu membayar sewa stadium, katanya.

Tian Chua mengulas, cuaca politik telah berbeza berbanding zaman dahulu. Beliau mengambil contoh Operasi Lalang pada tahun 1987, bagaimana pemerintah cuba mematahkan perhimpunan rakyat dengan satu lagi perhimpunan yang lebih besar, iaitu perhimpunan pemuda UMNO pada ketika itu, memberi alasan kepada polis untuk menahan pembangkang dan aktivis NGO, "melindungi anda daripada diserang, kerana pihak di sana (pemerintah) lebih ramai orangnya".

Namun, penggubalan APA berakhir dengan mematikan budaya demokrasi, memberi kuasa kepada "Napoleon kecil" untuk menafikan hak rakyat berhimpun, menurut Tian Chua. Rakyat tidak lagi berani tampil protes apabila berdepan dengan isu harian, lebih melibatkan kepentingan diri dan bukan secara umum. Pemaju, kontraktor, pimpinan politik tempatan akan cuba mempengaruhi polis peringkat bawahan, untuk menekan apabila rakyat bangkit membantah.

Pergelutan konservatif vs pembawa perubahan?

Sebelum mengakhiri ucapannya, Tian Chua menyanggah pandangan sesetengah pihak, yang mentafsir bahawa "flip-flop" Najib disebabkan pergelutan antara golongan konservatif dengan golongan yang ingin membawa perubahan. Untuk Tian Chua, kedua-dua golongan ini mempunyai matlamat yang sama, iaitu mengekalkan kuasa.

"Untuk Najib, beliau sedia melonggarkan sekatan tertentu, dengan syarat kelonggaran tersebut tidak mengancam kuasanya. Namun, untuk puak satu lagi, mereka menganggap kelonggaran yang diberikan bakal menjurus kepada tuntutan yang melampau dari rakyat, yang mahukan lebih ruang kebebasan, lantas mengakibatkan tumbangnya kuasa UMNO-BN," kupas Tian Chua.

Beliau meneruskan, "Tetapi tumbangnya kuasa bukan kerana dia beri lebih ruang, tumbangnya kuasa itu sudah ditakdirkan. Ini adalah perbezaan yang palsu, yang menjurus kepada pergelutan sekta."

Tian Chua berkata, Najib cuba melakukan lebih "perhubungan awam", agar kelihatan lebih terbuka, namun tidak diisi dengan demokrasi yang sebenarnya. Najib menjanjikan pemansuhan ISA, tetapi menangguhkannya ke penggal parlimen tahun depan; Najib menjanjikan hak berhimpun, namun berakhir dengan APA yang mengharamkan protes jalanan; Najib menjanjikan reformasi sistem pilihan raya, namun ia mungkin berakhir dengan tiada masa untuk melaksanakan cadangan Jawatankuasa Khas Parlimen yang ditubuhkan, kata Tian Chua.

Untuk Tian Chua, segala-gala ini adalah untuk "membeli masa", agar talian hayat UMNO-BN dilanjutkan. Lantaran daripada tiadanya hasrat untuk membawa perubahan, "reformasi" yang ditawarkan Najib sering berakhir dengan serba tak jadi.

Bagaimanapun, Tian Chua menganggap demonstrasi telah menjadi trend di seluruh dunia. Mereka yang mahu hidup dalam negara yang demokrasi terpaksa menyesuaikan diri dengan demonstrasi jalanan, "kalau anda tak tahan dengan ini, anda pindahlah ke Singapura!" Kata-kata Tian Chua disambut dengan tepukan gemuruh dari bawah pentas.

Baca: Demonstrasi aman menguji penguasa: Masihkah kau manusia?

**Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.

No comments: