Kecemerlangan akademik hanya sebahagian dari aspek “jadi orang” Nik Hasyudeen


 Kecemerlangan akademik hanya sebahagian dari aspek “jadi orang”

Nik Hasyudeen



Ibubapa bertanggungjawab untuk menjadikan anak-anak mereka “orang”. Itulah yang selalu disebut oleh orang tua-tua dahulu.


Jika kita dengar betul-betul apa yang mereka cuba maksudkan, “menjadi orang” ni lebih kepada menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat. Nak jadi berguna kenalah ada ilmu, kemahiran, perangai yang baik dan tidak terlibat dengan pelbagai perkara yang menyusahkan orang lain.


Ini bermakna kecemerlangan akademik hanyalah sebahagian dari nak jadi orang seperti yang dimaksudkan di atas. Jika periksaan dapat A berangkai sekali pun tetapi perangainya seperti pelesit, tak dikira menjadi orang juga.


Apa yang menarik ialah sebahagian besar dari aspek nak jadi orang ni seperti beradab, berperangai baik dan menyumbang kepada masyarakat ni tak ada silibus yang terperinci dan boleh dijadikan asas peperiksaan. Ianya lebih kepada pengamalan prinsip, nilai dan kepercayaan yang benar-benar berumah di jantunghati seseorang insan.


Malanglah sekiranya ibubapa hanya mampu untuk mendidik anak-anak mereka hanya bila anak-anak melalui peperiksaan dan boleh dikira berapa A yang didapati. Adakah A yang anak dapat melambangkan A dari segi keibubapaan?


Dari perspektif seorang yang beragama Islam pula, matlamat pendidikan sudah jelas:


يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا


Wahai orang-orang yang beriman, selamatkan diri-diri kami dan keluarga kamu dari apa neraka


At-Tahrim: 6


Peperiksaan apakah yang perlu dilalui oleh anak-anak untuk mencapai matlamat di atas?


Memahami amanah dan tanggungjawab kita secara holistik akan membolehkan kita melihat sesuatu isu dengan perspektif yang lebih luas. Ini boleh mengelakkan kita setia kepada satu pendekatan dan kaedah sahaja. Malah, ianya boleh membuka mata kepada perkara-perkara yang terabai dan boleh menyusahkan kita sebagai ibubapa apabila dihisab oleh Allah di akhirat kelak.


Seorang jurujual di sebuah kedai runcit boleh “jadi orang” jika dia bekerja dengan jujur, amanah dan berbudi bahasa. Walaupun gajinya kecil tetapi jika dia bersyukur dan membentuk kehidupan berdasarkan apa yang dia mampu, dia mungkin menjadi orang yang jauh lebih baik berbanding dengan seorang akauntan profesional yang berkedudukan tinggi tetapi menyalah gunakan kedudukan untuk menyembah orang-orang besar menyebabkan masyarakat kerugian berbilion ringgit. Memiliki mahligai yang dibiayai dari duit haram belum tentu menjadikan pemiliknya “orang”.


Saya boleh menerima pandangan bahawa “orang” di era ini boleh jadi berbeza dengan “orang” di era yang mana sistem pendidikan belum matang dan meluas. Namun, seperti lain-lain aspek kehidupan, tidak ada satu kaedah atau jawapan yang mutlak dan tidak boleh dipertikaikan. 🆒


Kita boleh memilih perspektif dan naratif yang sesuai dengan kehendak nafsu kita. Namun, sebagai hamba Allah, sudah ada piawaian yang ditetapkan untuk kita penuhi sebagai ibubapa. Memahami dan melaksanakan amanah ini merupakan perkara yang kritikal bagi menjadikan anak-anak kita “orang”.