SELAYANG 7 JULAI : Dalam nada sinis Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Tun Dr Mahathir Mohamad hanya menjaga syarikat anak-anaknya dan jangan mencampuri urusan politiknya.
Bercakap dalam satu sidang media baru-baru ini mantan perdana menteri itu mengesa Ketua Umum PKR itu agar meninggalkan politik dengan segera.
Dr Mahathir berkata Anwar tidak perlu berlengah-lengah dengan hasratnya untuk bersara daripada dunia politik sekiranya Pakatan Rakyat kalah dalam pilihan raya umum ke-13.
“Dia Dr Mahathir suruh saya bersara, saya kata tak apalah. Yang itu biar saya dengan rakyat.
“Kamu Dr Mahathir, duduk diam-diam. Jaga syarikat anak kamu yang berpuluh bilion ringgit. Kalau kamu pemimpin bersih, malu tahu tak, malu.
“Seorang pemimpin tetapi puluh bilion kekayaan anak-anaknya,” kata Anwar dalam ceramah Merdeka Rakyat di sini semalam.
Bercakap dihadapan kira-kira 3,000 hadirin, Anwar turut mempersoalkan mengapa Dr Mahathir terlalu ‘marah’ kepadanya.
Sebaliknya, Anwar berkata beliau tidak pernah mengacau dan sudah memaafkan bekas pemimpin nombor satu Umno itu.
“Sudahlah. Yang kena pukul saya, Mahathir, bukan kamu. Yang kena penjara saya, yang kena telanjang saya. Sudahlah, saya dah maafkan.
“Yang kamu takut ini apa. Dia takut saya nak rampas harta dia dan anak pinak dia agaknya.
“Ya lah sebab dulu dia pernah minta saya tolong anaknya, minta supaya saya bagi RM2 bilion tetapi saya tidak mahu, kemudian dia meminta duit dari petronas. Sebab itu lah punca dia marah saya,” katanya yang mengimbas perselisihan beliau dengan Dr Mahathir ketika memegang jawatan Menteri Kewangan.