Hadi penghalang utama Pakatan singkir Khalid?Selangor bakal tumbang jika tidak ditukar Khalid Ibrahim....

Hadi penghalang utama Pakatan singkir Khalid?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan penghalang Langkah Kajang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertujuan menyingkirkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. – Gambar fail, The Malaysian Insider, 17 Julai, 2014.Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan penghalang Langkah Kajang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertujuan menyingkirkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. – Gambar fail, The Malaysian Insider, 17 Julai, 2014.























Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung keperluan Langkah Kajang diteruskan dan harapan PKR untuk menyelesaikan krisis menteri besar Selangor sebelum Aidilfitri sukar direalisasikan kerana halangan utama Pakatan Rakyat (PR) sekarang adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua pembangkang itu tahu, tanpa sokongan Hadi, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan berjaya disingkirkan walaupun PKR dan DAP bersetuju bekas pemimpin korporat itu kini menjadi beban kepada PR dan mungkin menyebabkan mereka kehilangan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Walaupun PAS Selangor juga sebulat suara mahu Khalid digantikan dengan pemimpin yang boleh bekerja secara berpasukan, mereka tidak akan berbuat apa-apa sekiranya Hadi tidak memberi restu.


Sejak dari mula lagi Hadi tidak bersetuju dengan Langkah Kajang yang pada awalnya mahu menjadikan Anwar sebagai menteri besar di negeri terkaya itu tetapi akhirnya gagal kerana terhalang dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Liwat II.
  Seorang aktivis kanan PR memberitahu The Malaysian Insider, Hadi secara peribadi tidak suka Anwar kerana sejak zaman mudanya lagi, kedua-dua tokoh itu sering bersaing sebagai pemimpin Islam.

“Kalau Datuk Fadzil Noor masih menjadi presiden PAS, langkah politik Anwar akan menjadi lebih mudah kerana beliau tidak mempunyai masalah peribadi dengan Anwar,” kata aktivis yang enggan dikenali itu, merujuk kepada bekas presiden PAS yang merapatkan hubungan parti Islam itu dengan Anwar selepas dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 1998 dan kemudian meninggal dunia pada 2002.

“Hadi cemburu dengan Anwar kerana Anwar lebih diiktiraf sebagai pemimpin Islam dari Malaysia oleh masyarakat antarabangsa kerana kefahaman dalam politik antarabangsa dan kemahiran berbahasa Inggeris.
“Sebab itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, beberapa pemimpin PAS bertemu Ku Li untuk tawar jawatan perdana menteri jika Pakatan menang,” katanya merujuk kepada pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Selain faktor peribadi dengan Anwar, antara sebab mengapa Hadi mahu Khalid terus kekal menjadi menteri besar adalah kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu menjaga kepentingannya di Selangor.

Menantu kepada presiden PAS itu, Zaharudin Muhammad diberikan jawatan sebagai Ketua Jabatan Agama di Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPSB), syarikat milik kerajaan negeri Selangor.

Selain itu, Khalid melantik Raja Idris Raja Kamarudin, abang kepada penulis blog popular Raja Petra Kamarudin sebagai pengerusi kepada beberapa anak syarikat negeri seperti KPSB, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Central Spectrum (M) Sdn Bhd sebuah syarikat yang menguruskan industri hartanah dan halal di Selangor serta Ceres Telecom Sdn Bhd, anak syarikat kepada KPSB.

Raja Idris mempunyai hubungan yang rapat dengan Hadi sejak presiden PAS itu menjadi menteri besar Terengganu pada 1999-2004.

Hadi pada ketika itu melantik Raja Idris sebagai orang penting dalam Amanah Saham Gemilang (ASG) dan ketua eksekutif kepada TDM Berhad, anak syarikat terbesar kerajaan negeri Terengganu.

Bagaimanapun Timbalan Pengarah Institut Pengajian Asia Tenggara, Dr Ooi Kee Beng percaya Anwar akan tetap menggantikan Khalid apabila tiba masanya.

“Saya percaya jika sudah terdesak, Anwar akan meneruskan rancangannya (menggantikan Khalid) kerana akan kelihatan gila jika Pakatan tidak boleh menyingkirkan seorang yang tidak mengikut agenda bersama,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ooi berkata, Selangor merupakan mahkota kepada PKR dan parti reformasi itu tidak akan membiarkan ia hilang begitu saja.

“PKR tidak boleh kehilangan Selangor dan saya tidak fikir ia akan pergi sejauh itu,” kata Ooi apabila ditanya apakah krisis menteri besar Selangor akan menyebabkan PR berpecah.

Ooi berkata, PAS sedang cuba melakukan sesuatu di luar kekuatan mereka dan akhirnya terpaksa bersetuju perubahan akan berlaku dan menteri besar Selangor yang baharu bukan daripada parti Islam itu.

Katanya, peranan Sultan Selangor dalam isu pelantikan menteri besar lebih kepada formaliti dan tidak mempunyai kuasa politik untuk campur tangan.

“Saya tidak fikir baginda boleh menghentikan penyingkiran seseorang (menteri besar). Persoalannya apakah baginda akan terima calon (menteri besar) baru.

“Tetapi baginda perlu mempunyai alasan kukuh mengapa tidak terima,” katanya merujuk kepada Sultan Selangor.

Semalam, Anwar mengulangi kenyataannya sesuatu jawatan bukan hak milik kekal individu dan tertakluk kepada perubahan.

Khalid pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco petang semalam berkata enggan berundur sehingga hujung penggal pentadbirannya.

Anwar bagaimanapun berkata, keputusan untuk mana-mana pemimpin meneruskan tanggungjawab mereka terletak kepada PR.

"Saya anggap dalam konteks pimpinan parti dan Khalid faham kita ada cara berbincang dengan baik," katanya.

Isnin lalu Sekretariat Majlis Setiausaha Agung PR, Datuk Mustafa Ali berkata, nasib menteri besar Selangor itu mungkin akan ditentukan dalam majlis presiden PR yang dijangka akan bermesyuarat sebelum Aidilfitri hujung bulan ini.

Setiausaha agung PAS itu berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat, antara agendanya ialah kemungkinan membincangkan isu menteri besar Selangor.

"Saya mengharapkan mungkin sebelum raya ada mesyuarat sebab sudah lama majlis presiden tidak berbincang.

"Mungkin akan termasuk isu menteri besar," katanya dipetik sebagai berkata. – 17 Julai, 2014.


No comments: