Iwan Fals dan perjuangan cinta

Iwan Fals dan perjuangan cinta Oleh Muhammad Nazreen

17 February 2013
 


“Bila cinta sudah dibuang, jangan harap keadilan akan datang, kesedihan hanya tontonan, dari mereka yang dipergunakan jawatan…” (Bongkar, Iwan Fals)

Ada yang membawa bidalan, sekiranya Iwan Fals tak menulis dan menyanyi, rakyat Indonesia mungkin tidak bangkit melawan daulah pemerintah. Malah, ada yang menjangkakan lebih jauh daripada itu, yakni tanpa seorang Iwan Fals, mungkin Reformasi 1998 menjatuhkan Orde Baru gagal untuk berhasil. Mengutip kata pemikir terkemuka dari Jerman, Herbert Marcuse –‘The truth of art lies in its power to break the monopoly of established reality to define what is real.’ Mungkin, pada pengamatan longgar saya melihat Iwan Fals memanfaatkan sepenuhnya kata-kata Marcuse itu.





Manakala, majalah Times pada tahun 2002, mengangkat wajah Iwan Fals sebagai ‘The Living Asian Hero’. Iwan Fals merupakan antara ribuan tokoh merangkap pemuzik yang sangat dihormati di Indonesia. Sekiranya, dia ditakdirkan melawan Mas Jokowi dan Ohok untuk merebut kerusi gubernur residensi Jakarta – pasti Jokowi menghadapi tentangan sengit. Malah, mungkin lebih susah daripada bertarung hayat politik dengan Susilo Bambang Yudhoyono, Presiden Indonesia ketika ini.

Bergerak sebagai seorang pemuzik atau pengamen jalanan, Iwan tidak pernah menyangka bahawa lembaran pengaruhnya begitu besar pada hari ini. Lagu-lagu nyanyian beliau masih belum putus dimainkan di stesen radio tempatan, apatah lagi, konsert-konsert beliau tak pernah lekang daripada rusuhan akibat kerumunan peminat seluruh kota yang berebut-rebut mendapatkan peluang menyaksikan acara Iwan secara ‘live’!
Tahun 1994, beliau juga pernah menghasilkan sebuah filem bertajuk ‘Kantata Takwa’, lakonan bersama seorang lagi pujangga besar Indonesia, W.S Rendra. Namun, belum sempat disiarkan di panggung wayang, pemerintah Orde Baru bertindak mengharamkan filem terbabit atas alasan ‘mengkritik’ keras penguasa dan membangkitkan kemarahan rakyat Indonesia.

Kritik sosial


Tak dapat dinafikan juga, Iwan Fals merupakan seniman yang banyak mengundang kontroversi, terutama di dalam penghasilan karya-karya musik beliau yang tegar dengan kritik sosial, kekerasan mengkritik dasar pemerintahan dan membela rakyat-rakyat miskin. Beliau begitu disenangi masyarakat marhaen, lirik-lirik lagunya sahaja menjadi siulan anak-anak miskin yang muak dan bosan dengan birokrasi orde baru, ditambah pula dengan gejala rasuah dan kronisme semakin melarat.

Seawal 1970an, Iwan mengemas bakat beliau menulis lirik. Dia menerbitkan beberapa koleksi album hit. Antaranya termasuk Canda dalam Nada (1979), Perjalanan (1979), Sarjana Muda (1981), Opini (1982), Sugali (1984), Sore Tugu Pancoran (1985), Ethiopia (1986), Belum ada Judul (1992) dan banyak lagi album yang sempat dirakamkan. Mutu lirik dan ketegasan nada Iwan sering ditanggapi bermotifkan perjuangan. Malah, lewat kenaikan namanya di dalam industri muzik Indonesia, sejumlah dozen lagu-lagunya diharamkan dan dihalang untuk diputarkan. Beberapa lagu beliau juga dinafikan hak royalti kerana lagu-lagunya dikatakan membawa ‘sial’ kepada pemerintahan.

Demokrasi Nasi (1978), merupakan single pertama yang menjadi respon beliau mengkritik kondisi masyarakat miskin kota akibat ketirisan rejim Pak Harto. Rakyat miskin melata kesusahan untuk mengenyangkan perut orang-orang besar kerajaan. Terpanggil dengan seruan membela hak bersuara, Iwan muncul dengan beberapa judul lagu yang garang seperti ‘Siang Seberang Istana’ dan ‘Lontekku’. Selain itu, lagu-lagu Iwan memotret realiti kesusahan golongan terpinggir seperti ‘Doa Pengobral Dosa’ – dimana lagu mengupas aktiviti hidup mereka yang terjebak dengan sarang pelacuran untuk mencari sesuap nasi.
Banyak juga judul album dan kandungan lagu-lagu Iwan Fals yang mengangkat jasa kepimpinan negarawan ulung Indonesia. Samada terang-terang mahupun selindung-selindung, Iwan mencoret lagu-lagu yang menceritakan kepintaran negarawan seperti lagu ‘Bung Hatta’, sempena memperingati jasa mantan orang nombor dua Republik Indonesia itu. Lagu ‘Oemar Bakri’ pula memperihalkan kesusahan dan pengorbanan golongan pendidik untuk memanfaatkan anak bangsa.

Album-album yang diterbitkan Iwan Fals juga tidak lekang daripada album yang bercorak politikal. Nada sinis Iwan yang bencikan pemusatan kekuasaan politik juga penyakit politikus pemalas mendorong dia menerbitkan album khusus, ‘Wakil Rakyat’ (1987) sebagai peringatan kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih supaya bekerja dengan lebih rajin. Kutipan lirik di dalam album (Wakil Rakyat) berbunyi, “wakil rakyat, seharusnya merakyat, jangan tidur waktu sidang rakyat….” dengan sinisnya berkias di telinga ‘wakil rakyat’ tidur semasa sidang Dewan Rakyat sedang berjalan. Suasana begini pastinya perkara yang biasa jika dilihat di Malaysia. Kepada enchek-enchek YB yang suka tidur, mohon ambil perhatian!!

Tahun 1989, Iwan bergabung dengan kelompok pemuzik yang bernama SWAMI. Dianggotai pemuzik ternama yang dibarisi Sawung Jabo, Jockie Suryoprayogo dan Toto Tewel, mereka bersama Iwan selaku frontman menerbitkan sebuah album ulung yang menjadi hits besar di Indonesia. Album ‘SWAMI’ (1989) dilancarkan pada tahun yang sama atas usaha seorang pengusaha bernama Setiawan Jodi. Masa berganjak, Iwan terus menempa nama sebagai seorang pemuzik merangkap aktivis sosial yang menyuarakan kehendak rakyat di dalam lagu-lagunya. Lagu hits seperti Bento dan Bongkar menjadi fenomena di seluruh Indonesia ketika itu.

Derita dan kematangan seni


April 1997, merupakan detik kehilangan besar buat Iwan Fals. Putera sulungnya, Galang Rambu Anarki pulang menghadap illahi. Keperitan yang ditanggung Iwan akan kehilangan anaknya menyebabkan beliau berehat panjang dari menghasilkan lagu. Sempat juga Iwan menulis sebuah lagu yang diambil sempena nama anaknya, bertajuk ‘Galang Rambu Anarki’ yang dimuatkan di dalam album Opini (1991). Mungkin tajuk lagunya sama. Tetapi lagu ini menceritakan kesengsaraan orang-orang tua yang bingung dengan kenaikan harga BBM (Bahan Bakar Minyak) pada tahun 1982. Lagu ini didedikasi sempena kelahiran cahaya sulungnya itu pada tanggal kelahiran beliau di tahun yang sama.

Setelah panjang berehat kerana kesedihan Iwan mengenang pemergian Galang pada usia seawal remaja, bimbingan isteri kesayanganya, Mbak Yos tak putus asa mendorong dan memberikan motivasi kepada Iwan. Tahun 2002, Iwan kembali menulis lagu-lagu baru dan berkesempatan menerbitkan beberapa buah album antaranya: Suara Hati (2002),Manusia Setengah Dewa (2004), 50:50 (2007) dan banyak lagi. Namun, kebanyakan pengamat setia lagu-lagu Iwan Fals, kebangkitan Iwan setelah kematian Galang tidak lagi menampakkan sosok Iwan seperti dahulu. Lagu-lagunya kini lebih dewasa dan puitis. Mungkin, sepanjang cuti panjang Iwan daripada bidang muzik telah sedikit sebanyak menjinakkan kegarangan Iwan yang sebelumnya terkenal dengan kelantangan suaranya.

Iwan Fals adalah lagenda muzik. Bagi mereka yang membesar dengan lagu-lagunya pasti terpanggil menyalin semangat jiwa mudanya Bung Iwan. Keberanian dan kegagahan Iwan yang tak jemu menyebarkan kebenaran dan kejujuran menjadi iltizam kepada pemuzik-pemuzik rakyat yang lain. Sepanjang saya menulis catitan ini, saya menghirup semangat yang dikibarkan Iwan. Iwan mengajar saya tentang kecintaan pada kejujuran dalam menegakkan sesuatu kebenaran. Barangkali, tiada yang lebih indah untuk diputarkan apabila hati terasa sayu melainkan lagu cinta Iwan kepada Mbak Yos, kekasih hatinya bertajuk ‘Ikrar!’ –

Roketkini.com