Ada yang ke kongress bermain golf dari memberi fokus kepada apa yang perlu dibuat.
Mungkin ia sesuatu yang sukar untuk dibayangkan, apabila Timbalan Presiden partinya datang dengan membawa "semangat zaman (zeitgeist)" dalam ucapan perasmiannya; malah dalam ucapan dasar dirinya memetik bekas Timbalan Presiden yang menekankan "keadilan untuk semua" sebagai prinsip perjuangan parti - namun akhirnya "Perdana Menteri untuk Melayu" pula yang menjadi tumpuan - dalam kongres sayap pemuda sesebuah parti yang mendakwa membawa politik baru dengan melaungkan "Keadilan Untuk Semua".
Untuk berlaku adil kepada Shamsul Iskandar Mohd Akin, cabaran "pindaan perlembagaan untuk menjamin agar jawatan Perdana Menteri hanya disandang orang Melayu" - sememangnya dilontarkan dalam konteks di mana siri pengkhianatan UMNO terhadap Melayu disenaraikan. Seperti biasa, kenyataan sedemikian akan cuba dipertahankan sebagai "langkah percaturan politik", dan ia telah diakui secara tidak langsung oleh Shamsul sendiri dalam sidang media selepas itu, apabila mendakwa ianya sekadar "cabaran untuk UMNO". Bagi mereka yang masih mahu membela ketua AMK ini, mungkin hanya boleh memberikan alasan "barangkali pengolahannya kurang baik".
Sebelum kita pergi jauh kepada soal idealisme, biar kita kupas beberapa persoalan di sebalik kenyataan ini. Andaikan ini sebagai langkah percaturan politik untuk memerangkap UMNO, apakah ia strategi yang bijak?
Mati dua kali
Pertama, "cabaran sedemikian" semestinya menembak diri di depan komuniti bukan Melayu. Apa tidaknya, AMK mencabar UMNO untuk melakukan sesuatu yang lebih bersifat "perkauman", dari kaca mata bukan Melayu. Padahal kebanyakan bukan Melayu akur dengan realiti politik bahawa PM disandang Melayu, cuma, apa perlunya "jaminan perlembagaan"? Pendirian Ketua Pemuda DAPSY Anthony Loke jelas, bahawa ini mungkin bukan masanya PM disandang bukan Melayu, tetapi cadangan untuk menyekat bukan Melayu melalui pindaan perlembagaan semestinya dilihat sebagai langkah undur ke belakang.
Mungkin dari perhitungan Shamsul (gambar kiri), seandainya UMNO tidak berbuat demikian, maka ia mampu membongkarkan kemunafikan UMNO di depan masyarakat Melayu, lantas Melayu sedar dan mengalihkan sokongannya dari UMNO. Jikalau inilah perkiraanya, maka ia jelas naif - kerana UMNO terkenal sebagai parti politik perkauman. Strateginya senang, seandainya UMNO membalas cabarannya dengan menawarkan agar ahli parlimen PKR atau PAS menyokong bersama agar pindaan ini dibuat, apa pula pendirian PKR, malah Pakatan Rakyat?
Di sini langkah percaturan politik Shamsul ini mematikan PKR untuk kali kedua, di depan Melayu - sungguhpun dua kali Shamsul terselamat dalam pemilihan sebagai Ketua AMK.
Masalah kepimpinan Shamsul
Ia mungkin boleh disifatkan sebagai "bodoh", dari segi strateginya. Padahalnya ia bukan kali pertama Shamsul Iskandar melakukan kesilapan sedemikian. AMK di bawah pimpinan Shamsul pernah mencadangkan "Kongres Anak Melayu" untuk membincangkan masalah Melayu, dalam kongres AMK pada Mei 2010. Tiada masalah untuk PKR membincangkan masalah Melayu, padahal ia lebih dilihat sebagai masalah "pengolahan" pada ketika itu, jikalau dibandingkan dengan kes hari ini.
Apa yang menjadi persoalannya - adakah kongres itu telah diadakan untuk meredakan kerisauan Melayu? Jika jawapannya ya, apakah pula hasilnya?
Di sini masalah pimpinan Shamsul Iskandar - prestasi, atau hasil kerja. Pernah beliau mendakwa mahu mengumpul 100 ribu tandatangan dari seluruh pelusuk Malaysia untuk membantah pembinaan Menara Warisan Merdeka, tatkala kehangatan suara bantahan dalam laman internet. Tepuk dada tanya selera, di manakah petisyen tersebut, yang dijanjikan untuk diserahkan kepada Perdana Menteri?
Budaya bercakap besar (atau kosong) dan "hangat-hangat tahi ayam" ini yang menjurus kepada kelemahan AMK pada hari ini. Tiada prestasi yang terserlah untuk diserahkan. Ketika menggulung perbahasan pada hari ini, sekali lagi Shamsul mendesak, mengugut untuk turun ke jalan raya bagi menggulingkan kerajaan Barisan Nasional, seandainya pilihan raya terus sarat dengan penipuan. Anak muda yang progresif tidak ada masalah dengan "jalan raya". Masalahnya cuma, sejauh manakah kemampuan AMK untuk mobilisasi demonstrasi jalanan, sedangkan lebih setengah kerusi dewan dikosongkan sebelum kongres melabuh tirai?
Hilang arah
Mungkin kegagalan untuk menunjukkan prestasi yang unggul menjejaskan keyakinannya, yang menjurus kepada situasi "serba tak kena". Ucapan meskipun bersemangat, tetapi berkerut-kerut dahi audiensnya. Apabila Shamsul melontar cabaran ini kepada UMNO, beliau seolah-olah lupa bahawa AMK adalah sayap pemuda untuk sebuah parti politik yang mahu mendepani zaman. Beliau bukan mencabar UMNO untuk mengambil selangkah ke depan - agar persaingan politik membawa kemajuan dalam pendemokrasian, sebaliknya cuba "memerangkap" musuh politiknya untuk berundur ke belakang. Sebagai kesudahannya, dirinya yang terperangkap.
Parti politik yang disuntik semangat zaman menggagaskan sesuatu yang progresif. Selama ini parti pembangkang meraih simpati, tidak dipersalahkan kerana golongan progresif memahami situasinya yang tercengkam dalam ruang bersuara yang sempit. Ideal yang progresif tidak diketengahkan, dikhuatiri bakal mengundang serangan UMNO, dan pembangkang tidak mempunyai saluran untuk menjelaskan pendirian atau pandangan mereka.
Namun simpati ini seolah-olah diambil kesempatan, sehingga mengeluarkan sesuatu yang konservatif, bercanggah dengan politik reformasi, malah semangat zaman! Seandainya situasi ini berlarutan, ia bakal membawa krisis identiti kepada AMK. Shamsul tidak perlu berteori atau memetik konsep canggih dalam ucapannya. Beliau hanya perlu menjawab, "Apakah yang membezakan antara AMK, dengan Dewan Pemuda PAS, DAPSY, dan Pemuda UMNO?"
Baca: PM hanya untuk Melayu: Hanya cabaran untuk UMNO?
Baca: Anwar: PKR-PR tidak sokong pindaan perlembagaan untuk PM hanya Melayu
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.