Mesej Pakatan ke Rakyat Johor : Pentadbiran Kita Lebih Baik

PASIR GUDANG 27 NOV: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Johor untuk membawa perubahan pentadbiran dan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, rakyat Johor boleh menilai sendiri prestasi pentadbiran Pakatan yang jelas lebih baik sehinggakan banyak program untuk manfaat rakyat telah pun diberikan secara terus. Antaranya program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang dilakukan di Selangor meskipun berdepan kekangan media dari segi penyampaian maklumat.

"Beri peluang kepada kita. Dahulu mereka katakan kita tidak boleh memerintah. Kita dah perintah Selangor dan Pulau Pinang.

"Kita berikan air percuma, anak baru lahir kita berikan RM100 kepada mereka sehingga umur 18 tahun. Kita juga berikan RM2,500 kepada warga emas yang meninggal dunia. Bila anak masuk universiti, kita berikan RM1,000 tanpa mengira siapa mereka asalkan layak," katanya di dalam satu ceramah di Ulu Tiram semalam.

Dalam pembentangan Bajet Selangor 2012, Kerajaan Selangor mengumumkan Geran Selangorku sebanyak RM300 juta hasil dari penstrukturan semula hutang gergasi yang tertunggak dan penyusunan pengurusan anak syarikat kerajaan negeri.

Jelasnya, kehadiran beliau ke Ulu Tiram bukannya untuk menetang individu tertentu, sebaliknya menyanggah dasar dan sikap pimpinan atasan yang mengabaikan rakyat dan mengutamakan kroni.

Anwar ketika berucap dihadapan hampir 1,500 orang penduduk Ulu Tiram mengulangi pendirian beliau untuk membantu golongan marhaen dengan menurunkan harga minyak sejurus Pakatan mengambilalih Putrajaya.

Selain itu, beliau turut akan membantu pemandu teksi yang selama ini tertindas selain berunding menurunkan tarif elektrik untuk kemudahan rakyat.

"Saya jamin, bagi saya sebulan untuk berunding dan Insyaallah kita akan turunkan tarif elektrik," katanya.

No comments: