Langkah Kecil Dekati Anak Muda Adalah Langkah Besar ke Putrajaya

JOHOR BAHRU, 27 NOV: Pergerakan Angkatan Muda, Wanita dan Srikandi serta seluruh ahli parti perlu memberi perhatian untuk menguasai golongan muda kerana kuasa kemenangan dalam PRU-13 akan datang terletak ditangan golongan ini.

Wakil Srikandi, Farah Afzan berkata berdasarkan rekod, pertambahan pengundi baru semenjak PRU-10 sehingga PRU-12 peningkatan di antara 6 hingga 7.5 peratus. Walau bagaimanapun, semenjak PRU12 jumlah pengundi baru menunjukkan peningkatan sebanyak 12.3 peratus.

Katanya pertambahan tersebut datangnya dari pengundi baru atau golongan muda yang berjumlah hampir dua juta pengundi muda.

"Walaupun kita tidak menafikan pertambahan pengundi tersebut juga datang dari pengundi Bangla (Bangladesh) dan rakyat Indonesia yang diberi kad pengenalan tapi golongan muda paling besar," jelas beliau.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memaklumkan bilangan pengundi baru yang mendaftar meningkat tiga kali ganda berbanding 2009 selepas spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam masa terdekat.

Seramai 820,156 mendaftar dalam tempoh setahun berbanding tahun sebelumnya yang hanya berjumlah 276,621.

Menurut Farah,setiap cabang perlu mengenal pasti setiap pengundi baru dan membuat susulan segera.

"Cabang boleh hantar penghargaan dengan mengucapkan tahniah dan menjemput pengundi muda tersebut bersama parti kita. Penghargaan ini amat penting bagi menandakan sokongan dan keperihatinan kita kepada pengundi baru" katanya.

Melihat kepada senario ini, Farah mengesa sayap muda agar lebih berkerja keras mendekati golongan pengundi muda sebagai langkah memperkasa pegundi muda.

"Ingatlah bahawa langkah kecil mendekati anak muda ini adalah langkah besar menuju ke-Putrajaya," kata beliau yang mendapat tepukan gemuruh dari perwakilan.

No comments: