KEADILAN utamakan Islam walau tidak digembar-gemburkan - Dr Mohammad Nur

 


KEADILAN sering ditohmah, terutama oleh Umno dan Pas sebagai parti yang kurang menitik beratkan nilai agama dan dianggap liberal.

 Bagaimanapun, dasar asas KEADILAN yang menentang rasuah dan menegakkan negara hukum diakui adalah antara prinsip utama ajaran Islam.

 Bagi Senator (B) Dr Muhammad Nur Manuty, perlembagaan KEADILAN sebenarnya telah menggariskan prinsip Islam dan perjuangan menegakkan hukum Islam yang tidak boleh dipertikaikan.

 "Dalam Deklarasi Permatang Pauh serta 17 Perkara Perlembagaan KEADILAN (disebut mengenai nilai Islam). Biar pun nama Islam tidak digembar-gemburkan dalam parti KEADILAN, tetapi kandungan, aplikasi Islam, prinsip Islam, akhlak Islam, prinsip maqasid syar'iah atau tujuan utama syariah semuanya ada dalam Perlembagaan KEADILAN

 "Dimulakan dengan uridu islah mastataktum - dalam Umno pun Datuk Seri Anwar membaca ayat itu - menunjukkan konsep Islah bersifat komprehensif.

 "Saya melihat dalam Perisytiharan Permatang Pauh ditekankan pembaharuan diri dalam masyarakat atau Reformasi. Ianya komprehensif, bermula dengan diri, keluarga jiran, masyarakat, umah dan negara.

 "Satu lagi yang kita tertarik ialah kemuliaan diri atau karamah tul insan. Ini sangat penting dalam Islam. Bukan sahaja untuk orang Islam tetapi untuk bukan Islam, al Quran membicarakan mengenai karamah. Dignity of man, ini sangat Islamik.

 "Nak kata KEADILAN sekular, tak ada satu ayat Quran, tak betul. Bergantung kepada ahli dan pimpinan untuk beritahu kepada masyarakat. Semua perkara reformasi ini ada dalam Perlembagaan 17 perkara itu dan boleh dijustifykan dengan hadis dan ayat Quran," katanya dalam sesi forum 'Nilai agama dalam perjuangan KEADILAN' anjuran Gabungan Reformis Malaysia baru-baru ini.

 Selain itu, menurut Dr Muhammad Nur, KEADILAN juga memperjuangan konsep kemerdekaan diri setiap manusia.

 Manusia yang dilahirkan bebas tidak boleh dibelenggu oleh penguasa atau sistem yang zalim dan menindas.

 "Saya tertarik dengan karamah insan dan kemerdekaan diri. Kita bukan dikongkong oleh sesiapa. Kita sebagai hamba Allah, kita ada konsep taklif, konsep akal yang Allah anugerahkan kepada kita.

 "Kita merdeka dari segi jiwa, merdeka akal, merdeka ekonomi, politik dan ini antara perjuangan KEADILAN. Kemudian kita tidak mahu dizalimi. Allah menyebut dalam Quran 'tak suka kepada orang yang zalim'.

 "Juga mambanteras rasuah. Banteras rasuah merupakan satu perjuangan yang suci dan Anwar sejak era mahasiswa lagi berjuang menghapuskan rasuah. Perjuangan ini tak selesai hampir 40 tahun.

 "Kalau dulu kurang zaman Tunku Abdul rahman, Hussein Onn, sekarang era rasuah yang paling teruk. Kalau barah dah sampai tahap 4. Oleh itu perjuangan banteras rasuah ini mulia. Rasullullah sebut 'orang beri rasuah, terima rasuah masuk neraka'," katanya lagi.

 Walaupun tidak dicanangkan sebagai parti Islam seperti Pas dan parti-parti Melayu yang lain, Dr Muhammad Nur berpendapat, kandungan perjuangan KEADILAN begitu meriah dan sarat dengan prinsip Islam.

 Menurut bekas profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu lagi, Islam atau tidak perjalanan sesebuah parti bukanlah ditentukan oleh slogan dan jenama, sebaliknya perlaksanaan dasar yang dilakukan oleh pemimpin parti tersebut dalam pemerintahan.

 

 

No comments: