PTPTN pertimbang cadangan pemansuhan, kembalikan diskaun

PTPTN pertimbang cadangan pemansuhan, kembalikan diskaun
WAN SAIFUL: Segala cadangan yang diberikan itu akan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan dan Kabinet untuk sebarang keputusan akhir.
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkata pihaknya akan mempertimbangkan semua cadangan pihak luar termasuk mereka yang mahu diskaun bayaran balik PTPTN dikembalikan dan pemansuhannya.

Bagaimanapun menurut Wan Saiful, segala cadangan yang diberikan itu akan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan dan Kabinet untuk sebarang keputusan akhir.

“Sebenarnya dari segi liabiliti sekarang ni, saya rasa tanggungan kita memang amat besar, dan saya mengalu-alukan cadangan yang diberikan oleh semua pihak termasuklah dari AMK dan juga pimpinan parti parti komponen Pakatan Harapan.

“Yang kita boleh lakukan adalah memastikan bahawa kempen penabungan kita berjalan lancar supaya kebergantungan rakyat kepada hutang dapat dikurangkan,” ujar Wan Saiful.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Program Back To School anjuran PTPTN di Ipoh pada Rabu.

Sebanyak RM135,000 disalurkan melalui Pertubuhan Wanita Prihatin Perak untuk menjayakan program tersebut yang meliputi sumbangan kepada 1,200 pelajar di Perak.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Wan Saiful berkata demikian sebagai mengulas ucapan dasar Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang dipetik sebagai berkata hutang lapuk PTPTN sekiranya terus diwarisi berkemungkinan besar akan melangkaui hutang 1MDB.

Dalam ucapan dasarnya sempena Kongres Nasional AMK baru-baru ini, Akmal berkata berdasarkan unjuran hutang ptptn akan meningkat menjadi RM76 bilion dalam masa 20 tahun.

Selain itu, perwakilan Puteri UMNO baru-baru ini mahu PTPTN mengembalikan kemudahan diskaun untuk pembayaran balik pinjaman itu.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Tebrau, Fadilah Suradi dipetik sebagai berkata, tawaran pelupusan hutang ptptn bagi graduan yang beroleh ijazah kepujian kelas pertama juga tidak lagi dinikmati.

No comments: