Wednesday, July 8, 2020

KENYATAAN MEDIA 8 JULAI 2020



Saudara Mohd Azhar bin Che Mat Dali, Setiausaha Politik Presiden AMANAH telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan atas tuduhan rasuah pada petang semalam.

Susulan dari itu SPRM telah melakukan operasi penggeledahan di ibu pejabat parti di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur pada awal pagi ini.

Tindakan geledah itu telah dilakukan tanpa dikemukakan terlebih dahulu dokumen waran geledah kepada pegawai keselamatan Wisma Amanah Negara. Apabila ditanya, mereka menjawab waran itu akan diserahkan kepada Saudara Azhar yang telah dibawa bersama.

Seterusnya SPRM telah membuat permohonan reman terhadap Saudara Azhar di Mahkamah Majistret Putrajaya. Mahkamah telah memberikan kebenaran reman selama 6 hari.

AMANAH menuntut agar SPRM bersikap profesional dalam menjalankan tugas siasatan dengan mengikut lunas-lunas perundangan dan prosedur dengan teratur.

AMANAH yakin Saudara Azhar mampu memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan SPRM dan oleh itu tiada keperluan SPRM memohon penahanan reman. Hanya sekiranya beliau tidak hadir bila dipanggil dan tidak memberi kerjasama dengan SPRM mungkin ada alasan untuk dia direman.

AMANAH memandang serius tindakan SPRM yang bersifat keterlaluan (excessive). AMANAH memohon supaya beliau diberikan hak untuk bertemu peguam sejajar dengan prinsip hak asasi dan perlembagaan.

Kegagalan SPRM untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus boleh menimbulkan tanggapan bahawa tindakan SPRM bermotif politik dan boleh menjejaskan imej SPRM.

DR MOHD HATTA BIN MD RAMLI
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara (AMANAH)

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers