KUASA KE TIGA PEJUANG TIADA PELUANG LANGSUNG.


Sebelum mendaftarkan Pejuang secara rasmi, Tun Mahathir Mohamad pernah mengatakan parti itu tidak akan menyertai PH atau pun bergabung dengan PN.
Katanya, Pejuang akan bergerak bersendirian berdasarkan hala tuju dan perjuangan parti itu untuk melawan rasuah, kleptokrasi dan penyelewengan dalam negara.
Walaupun mengakui partinya tidak mungkin mampu memenangi pilihanraya, tetapi Tun Mahathir yakin pihak yang ingin menubuhkan kerajaan akan memerlukan sokongan mereka bagi mencukupkan jumlah kerusi.
Dalam erti kata lain, dengan pendirian tidak menyertai PH dan tidak juga menyokong PN, Tun Mahathir mahu meletakkan Pejuang sebagai kuasa ketiga dalam PRU15 akan datang.
Bolehkah hasrat itu dicapai?
Dari segi teori, cita-cita yang diimpikan Tun Mahathir itu memang ternampak murni dan seolah-olah tiada masalah untuk dicapai, lebih-lebih lagi dengan auranya sebagai negarawan dan bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali.
Tetapi, dari segi realiti, khususnya berdasarkan keputusan PRK Slim baru-baru ini, keputusan Pejuang bergerak sendirian tidak ubah seperti pilihan “bunuh diri”.
Dalam suasana sistem politik sedang bergerak menuju sistem dua parti, adalah sukar untuk sebuah parti kecil dan baru ditubuhkan dapat menjadi pilihan pengundi.
Lebih-lebih lagi kerana Pejuang hanya parti berasaskan Melayu dan Bumiputera, sementara parti Melayu dan Bumiputera yang lain sudah lama bertapak kukuh dalam pemikiran pengundi, bukanlah mudah untuk memperolehi sokongan yang mencukupi untuk menjadi kuasa ketiga.
Dalam PRK Slim, lihatlah bagaimana hanya 2,115 undi saja yang mampu diraih oleh calon Pejuang, itu pun dengan sokongan dan kehadiran beberapa pemimpin PH yang turut sama berkempen.
Cuba bayangkan berapakah undi yang mampu diperolehi oleh Amir Khusairi Mohd Tanusi kiranya tiada sama sekali penglibatan atau sokongan kempen daripada pemimpin-pemimpin PH?
Mahu tidak mahu, Tun Mahathir harus sedar, berdasarkan keputusan PRK Slim itu bahawa Pejuang tidak mampu bergerak bersendirian dan keinginannya untuk menjadi kuasa ketiga sebenarnya tidak melekat dalam hati para pengundi.
Pilihan pengundi hanya ada dua – Parti A atau Parti B.
Tiada parti C dalam pilihan pengundi dan lihatlah bagaimana cita-cita Pas yang ingin menjadi kuasa ketiga dalam PRU14 lalu langsung tidak kesampaian.
Kalau Pas, sebuah parti yang lebih lama, ada nama dan ramai ahli pun tidak diterima untuk menjadi kuasa ketiga, apakah Pejuang mampu melakukannya?
Oleh kerana mustahil untuk Tun Mahathir bergabung dengan PN yang didalamnya ada Muhyiddin Yassin, Bersatu dan UMNO, pilihan yang tinggal pada beliau hanyalah dengan membawa Pejuang masuk menyertai PH.
Sebagaimana sebelum PRU14 lalu, beliau telah membawa Bersatu menyertai PH, maka kali ini juga beliau harus melakukan perkara yang sama.
Cuma, oleh kerana PH sekarang sudah meletakkan Anwar Ibrahim mengetuai gabungan pembangkang itu, Tun Mahathir harus bersikap terbuka menerima kepimpinan bekas timbalannya itu.
Jika dalam hatinya masih ada perasaan tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir harus belajar membuang perasaan tersebut, bukan saja demi untuk menjatuhkan Muhyiddin, UMNO dan Bersatu serta bagi mengelakkan Najib Razak kembali berkuasa, bahkan juga untuk masa depan Pejuang yang di dalamnya ada masa depan anaknya sendiri, Mukhriz Mahathir.
PRU15 masih ada peluang untuk PH bangkit semula dengan syarat Tun Mahathir sedia merendahkan diri dan egonya untuk kembali bergandingan tangan dengan Anwar menyelamatkan negara ini.
Walaupun era Tun Mahathir boleh dikata sudah berlalu, tetapi pintu untuk beliau menebus segala kesilapan masa lalunya tidak pernah tertutup.
Apa lagi, sejarah telah membuktikan Anwar seorang yang sangat pemaaf dan tentunya sedia menerima Tun Mahathir dan Pejuang ke dalam PH dengan seadanya.
Hanya satu, Tun Mahathir harus menerima dan menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri PH tanpa sebarang syarat atau keraguan dalam hatinya.
Kalau tidak, Pejuang tidak akan mampu berjuang dan lebih mungkin terkubur tanpa sebarang kerusi kemenangan dalam PRU akan datang.
 (Shahbudindotcom 31/08/2020)

No comments: