Thursday, June 9, 2016

SURAT TERBUKA SEORANG PEMUDA AMANAH UNTUK ABDULLAH KHAIRI



Saya Tujukan Status Ini Khas Buat Ustaz Abdullah Khairi





Assalamualaikum Ustaz, masihkah ustaz ingat BALAI ISLAM BUKIT RAMBAI? Kami pernah menjemput Ustaz untuk memberi ceramah di tempat kami sekitar Mei, 2014. Sahabat saya Faiz K Jnr adalah orang yang menjemput Ustaz di airport. Malam sebelum ceramah kami semangat bergotong-royong untuk memastikan BALAI ISLAM BUKIT RAMBAI bersedia untuk menyambut kedatangan ustaz. Sebelum sesi ceramah, kami jamu Ustaz dan anak ustaz dengan Masak Asam dan Kari Kambing. 

Berselera sungguh kita menjamu selera malam itu. Sambil makan, ustaz membuka cerita tentang betapa bebas dan senangnya berceramah di negeri Pulau Pinang kerana kerajaan negeri tidak menyekat ceramah-ceramah agama di sana.

Untuk pengetahuan Ustaz, majoriti AJK dan penggerak BALAI ISLAM BUKIT RAMBAI telah berhijrah ke Parti Amanah Negara (Amanah). Sekarang pengurusan Balai Islam Bukit Rambai telah diambil-alih oleh orang-orang dari parti ustaz, iaitu PAS. Namun kenangan bersama Ustaz tidak kami lupakan, kami menghormati ustaz kerana ilmu dan kerja-kerja dakwah ustaz selama ini. Malah penghijrahan kami dari PAS ke Amanah juga atas dasar ilmu dan prinsip perjuangan. Kami percaya parti itu hanya alat untuk perjuangan Islam, dan kami rasakan PAS bukan lagi alat yang sesuai untuk tujuan itu. Walau bagaimanapun, kami tetap menjaga adab dan akhlak kami dalam menghadapi perbezaan ini.

Ucapan ustaz yang memperlekehkan pimpinan kami dengan panggilan menghina secara tidak langsung menghapuskan rasa hormat kami pada Ustaz dan menjatuhkan maruah ustaz sendiri. Sebagai pendakwah yang terkenal, seharusnya Ustaz memberi contoh yang baik pada masyarakat dalam menghadapi perbezaan politik selaras dengan slogan ‘Politik Matang dan Sejahtera’ yang diwar-warkan parti Ustaz. Ustaz sepatutnya menegur perlakuan Presiden, Ketua Pemuda dan pimpinan-pimpinan PAS yang sering menggunakan pendekatan melabel dan memperkecilkan orang lain dalam berpolitik, sebaliknya Ustaz pula yang bertindak sedemikian.

Belajarlah dari pimpinan-pimpinan Amanah yang tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina, berhikmahlah dalam menguruskan perbezaan dan berfikirlah sebelum mengeluarkan kata-kata. Sesungguhnya tanggunjawab sebagai seorang pendakwah itu besar di sisi Allah.

Saya bukan Ustaz, tapi saya tahu menilai yang mana buruk dan yang mana baik.




Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers