Thursday, September 18, 2014

HADI TIDAK DIBOIKOT?

OLEH: AMIRULMUKMININ


Tindakan sekumpulan perwakilan Pemuda PAS memboikot ucapan perasmian Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bakal membuka jalan tindakan sama dilakukan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang esok, kata pengguna media sosial.

Manakala itu, laman Facebook El-Haraki mencabar mereka yang tidak menyokong ulama dan presiden PAS agar keluar semasa ucapan dasar Hadi dalam Muktamar penuh PAS ke 60 pagi ini.

"Mendapat khabar berita, Mat Sabu and the geng sedang mengatur strategi pula untuk keluar dewan apabila Tuan Guru Presiden berucap di Muktamar penuh nanti. Keluarlah, tiada siapa yang bimbang dan takut," tulis laman Facebook anti kumpulan profesional PAS itu.

Semalam media melaporkan minoriti 50 daripada 700 perwakilan Pemuda PAS bertindak meninggalkan dewan muktamar sebaik saja Mohamad yang mesra dengan panggilan Mat Sabu itu memulakan ucapan perasmian muktamar itu.

Bagaimanapun Mohamad dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menafikan perkara itu berlaku. Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat turut menepis laporan media tentang perkara itu.

Menurut laporan media semalam, perwakilan Pemuda PAS dari Terengganu yang memakai vest bertulis "Kami menyokong presiden dan Majlis Syura Ulama" keluar meninggalkan dewan muktamar dengan diikuti perwakilan dari beberapa negeri lain termasuk Pahang, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Mohamad yang merasmikan muktamar di Dewan Chon Moi, Kota Tinggi, Johor berkata, waktu itu adalah waktu solat Asar dan tidak timbul isu penyokong presiden PAS meninggalkan muktamar.

"Saya tidak nampak... memang waktu itu mereka keluar pergi sembahyang. Biasalah keluar masuk. Itu masuk waktu Asar," katanya kepada pemberita selepas selesai muktamar berkenaan semalam.

Tentang pakaian yang dipakai oleh mereka yang meninggalkan dewan itu, Mohamad berkata: "Pakaian itu biasa, kita tidak tentukan pakaian, ada yang pakai baju Unit Amal, bersama Pakatan.”

Tindakan 50 perwakilan itu diserang pengguna laman sosial dengan menyifatkan mereka tidak beradab dan mencatat sejarah tersendiri apabila ia berlaku dalam muktamar Pemuda PAS semalam.

"Siapa kamu hendak dibandingkan dengan Abng Mat, hujung kuku beliau pun kamu tidak boleh lawan," tulis Zulkifli Yacob, bekas ketua pemuda PAS Kelantan dan bekas exco Pemuda PAS Pusat di akaun Facebooknya.

Zulkifli berkata, Mohamad konsisten sehingga kini dalam menentang Umno dan berkata:"Lokap adalah rumah keduanya, Kem Kemunting kampung halamannya, jatuh bangun, pujian dan fitnah adalah makanan hariannya, jutaan ringgit dikutip melalui ceramahnya untuk kelangsungan parti PAS.

"Sedikit kelemahannya bukan penyebab kamu hendak tolak sejuta jasa yang ditabur dalam perjuangan ini," tulis beliau hari ini merujuk kepada peristiwa semalam.

Tidak kurang juga yang menyindir tindakan ini sebagai "menggambarkan akhlak yang beradab tinggi, kerana menunjukkan setia dan wala’ yang tinggi kepada presiden parti sebab itulah mereka memakai vest 'Kami bersama presiden dan majlis syura ulama'.

Mahmud Zaim Musa menambah, "Tindakan mereka sebenarnya menggambarkan hasil tarbiyyah dan doktrin wala’ kepada presiden dan Majlis Syura Ulama".
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers