Wednesday, August 6, 2014

Saifuddin nafi keluar surat kepada Khalid, perbuatan berniat jahat

Saifuddin nafi keluar surat kepada Khalid, perbuatan berniat jahat

KUALA LUMPUR 6 OGOS: Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menafikan bahawa beliau telah menghantar sepucuk surat kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Perkara itu disahkan Saifuddin kepada Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil hari ini.
“Saya menerima beberapa panggilan media berkenaan sepucuk surat yang kononnya dikeluarkan Datuk Saifuddin kepada Tan Sri Khalid.


surat palsu“Saya telah menghubungi Datuk Saifuddin dan mendapat pengesahan bahawa beliau tidak mengeluarkan surat tersebut. Malah nombor rujukan yang digunakan juga adalah nombor rujukan palsu; “JKD” merujuk kepada Jawatankuasa Disiplin, dan Datuk Saifuddin tidak menandatangani surat jawatankuasa tersebut,” kata Fahmi dalam kenyataan.
Surat palsu yang kononnya ditandatangani oleh Saifuddin itu bertarikh semalam, 5 Ogos 2014.

Surat itu mendakwa KEADILAN kononnya menawarkan Abdul Khalid bayaran RM30,000 sebulan jika beliau melepaskan jawatan Menteri Besar (MB) Selangor.

Surat palsu dengan tajuk “Penyelesaian Bersama Langkah Kajang” itu menawarkan imbuhan tersebut buat Abdul Khalid yang akan dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor sekiranya beliau melepaskan jawatannya sekarang.

Ia turut menawarkan Abdul Khalid jawatan Pengerusi Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor jika beliau melepaskan jawatan MB.

Sehubungan itu, KEADILAN mengecam pihak yang mengeluarkan surat palsu tersebut.
“Jelas ia berniat jahat dan berusaha untuk menimbulkan syak wasangka dan ingin merosakkan usaha menyelesaikan masalah di Selangor dengan baik dan tertib,” kata Fahmi.

Pagi tadi, sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN bertukar kecoh seketika apabila ada pihak mengedarkan kenyataan media palsu ketika sidang media hampir berakhir.

Timbalan Pengerusi KEADILAN Selangor, Zuraida Kamaruddin yang juga Ketua Cabang Ampang dan beberapa lagi pemimpin negeri dalam sidang media itu berkata, perkara tersebut mungkin perbuatan sabotaj oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Penyebaran fitnah seumpama ini adalah bersangkutan dengan isu pertukaran Abdul Khalid sebagai MB yang bakal digantikan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers