DAP lancar tabung solidariti RM10 seminggu untuk Guan Eng


Semalam Lim Guan Eng dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang.
PETALING JAYA: DAP melancarkan tabung RM10 seminggu untuk membayar wang ikat jamin yang dikenakan ke atas setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng oleh mahkamah semalam berkait pertuduhan rasuah yang dihadapinya.
Setiausaha publisiti DAP Tony Pua dalam satu kenyataan berkata, tabung berkenaan adalah untuk membayar wang ikat jamin RM1 juta yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, serta membayar dana yang dipinjam daripada penyokong.
“Kami melancarkan kempen tabung RM10 seminggu untuk membayar wang ikat jamin Lim dan membayar balik jumlah yang kami pinjam.
“Kami percaya rakyat Malaysia akan menyokong kebaikan bagi memastikan keadilan tertegak,” katanya.
Tony Pua
Semalam Lim dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk meminta upah 10% daripada keuntungan projek jalan dan terowong di negeri itu daripada pengarah kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.
Lim yang didakwa melakukan kesalahan itu pada 2011 memohon dibicarakan.
Beliau akan berdepan 2 lagi pertuduhan SPRM pada Isnin dan Selasa minggu depan.
Pua berkata, pihak pendakwaan meminta ikat jamin sebanyak RM2 juta, tetapi mahkamah memutuskan RM1 juta, dan pihaknya telah membayar RM500,000, sementara bakinya perlu dibayar pada Isnin.
“Kami telah membayar RM500,000 kepada mahkamah dengan menggunakan dana yang dipinjam daripada penyokong. Kami perlu membayar RM500,000 lagi pada Isnin,” katanya.
Beliau juga berkata, baki dana yang diterima akan digunakan untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi menentang “kerajaan pintu belakang” dan mengembalikan mandat kepada rakyat Malaysia yang mengundi perubahan pada 2018.
“Ini bukanlah kali pertama Lim perlu berdepan pertuduhan yang dibuat-buat oleh pihak berkuasa di mahkamah,” katanya.

No comments: