Wednesday, April 13, 2016

SERANGAN MAKIN BERTALU-TALU, TAKKAN PANGLIMA PERANG ISLAM DAN PAHLAWAN BUGIS DIAM LAGI?


Rasanya sudah ramai yang membaca kenyataan Muhyiddin Yassin berhubung Laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen. Tidak disangkal lagi bahawa kenyataan Muhyiddin itu penuh fakta, menyeluruh dan lebih penting, apa yang pernah disebutnya sebelum ini, bak ungkapan kata sebuah lirik lagu - semuanya benar belaka.

Bermakna, sebelum pun PAC menyiapkan laporannya, perkara-perkara yang diputuskan itu telah lama disebut dan diperingatkan oleh Muhyiddin.

Isu kehilangan wang, peranan Lembaga Penasihat, kedudukan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat, perletakan jawatan Ahli Lembaga Pengarah dan beberapa perkara lain yang disebut oleh PAC adalah senada dengan pendirian Muhyiddin yang menyebabkan Najib kurang senang terhadapnya dan kemudian memecatnya daripada kerajaan.
Muhyiddin bukan saja membangkitkan soal kecurian wang dalam 1MDB, tetapi juga melihat syarikat itu sebagai skim untuk menipu.

Selepas kenyataan Muhyiddin itu, Tun Mahathir Mohamad pula menulis dalam blognya dengan memberi tumpuan kepada kehilangan wang yang dibayar oleh 1MDB kepada sebuah syarikat yang dipercayai palsu, Aabar Investment PJS Ltd yang didaftarkan di British Virgin Island.
Tun Mahathir juga menyenaraikan beberapa jawapan 1MDB sebelum ini yang disifatkannya tidak boleh dipercayai dan tidak disokong oleh dokumen apa-apa.

Secara khususnya, kemelut 1MDB ini bukan saja tentang hutangnya yang berjumlah RM50 bilion tetapi juga berkaitan beberapa siri kehilangan wang yang jika dikumpulkan berjumlah RM7 bilion atau RM7,000 juta semuanya.

Benar juga seperti yang disebut Muhyiddin, pencuri ayam kena dakwa, inikan pula bilion-bilion ringgit.
Akhirnya, Bung Mokhtar Radin, Timbalan Pengerusi BNBBC yang dikenali sebagai pro Najib juga tidak dapat menahan dirinya daripada turut mahukan isu kehilangan wang, khasnya yang melibatkan Aabar Investment PJS Ltd itu disiasat dan dikenalpasti.

Nampaknya semakin ramai yang tampil bersuara, manakala yang sudah sedia bersuara pula semakin lantang nadanya. 1MDB sudah mula menjadi "bangkai yang baunya mula memenuhi serata alam."

Di mana suara Najib sebagai Pahlawan Bugis dan panglima perang Islam yang dibangga-banggakan itu?
Kenapa masih diam dan semakin tidak kedengaran bercakap mengenai kemelut 1MDB serta tidak berani menjawab hujah-hujah yang ditampilkan oleh Tun Mahathir dan Muhyiddin? (SH 13/04/2016).
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers