Antara Jambatan Bengkok Dan Hati Bengkok

Shahbudin.com


Tindakan Perdana Menteri, Najib Razak mengungkit semula isu pembinaan Jambatan Bengkok bagi memperlekeh dan cuba memberi gambaran seolah-olah Tun Mahathir Mahathir ada sesuatu kepentingan lain di sebalik mengkritik dan menyerangnya, akhirnya menikam dirinya sendiri.

Dalam temubual dengan TV3 baru-baru ini, Najib berkata, selain tidak bersetuju dengan BR1M, Tun Mahathir juga sebenarnya tidak puas hati kerana beliau enggan meneruskan pembinaan Jambatan Bengkok itu bagi menggantikan Tambak Johor.

Dalam reaksinya mengenai perkara itu, Tun Mahathir berkata, Najib sebenarnya pernah berjanji kepadanya untuk meneruskan pembinaan jambatan itu tetapi akhirnya mungkir janji setelah memperoleh  kuasa.

Kata beliau, kemahuannya terhadap pembinaan jambatan itu bukan bersifat peribadi atau berkaitan kontrak, tetapi demi masa depan negara serta kepentingan rakyat dan negeri Johor.

Tambah Tun Mahathir lagi, beliau juga pernah membangkitkan perkara itu kemudiannya, tetapi Najib memberi alasan bahawa terdapat perjanjian yang memerlukan persetujuan Singapura jika ingin membina jambatan itu.

Bagaimanapun, apabila bekas Perdana Menteri itu meminta Najib menunjukkan bukti adanya perjanjian itu, sehingga hari ini ia gagal dibuktikan.

Tun Mahathir juga mendedahkan, berikutan dengan itu, Najib kemudiannya tidak bertegur sapa dengannya selama kira-kira enam bulan.

Aduhhh....sampai begitu sekali sikap Najib terhadap Tun Mahathir!

Kenapa Najib memberi alasan adanya perjanjian dengan Singapura itu? Adakah beliau lupa Tun Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini?

Jika perjanjian seperti ada ada, tentulah tidak mungkin Tun Mahathir bertindak mahu membinanya sebelum ini, termasuk sudah menyiapkan rekabentuk dan melantik kontraktor untuk membinanya.

Dalam konteks ini, tidakkah Najib sedar bahawa Sultan Johor juga pada 2010 pernah menyuarakan agar dibina semula jambatan itu bagi kepentingan negeri dan rakyat Johor secara keseluruhannya?

Apa yang jelas, tindakan Najib membangkitkan semula isu pembinaan Jambatan Bengkok akhirnya seperti menikam dan memalukan dirinya sendiri.

Ini kerana, melalui  penjelasan Tun Mahathir itu, beliau dianggap sebagai pemungkir janji, sanggup memberi alasan yang tidak dapat dibuktikan dan kemudian melayan bekas Perdana Menteri yang disanjung dunia itu secara tidak wajar iaitu tidak menegur sapanya selama enam bulan.

Ia juga menunjukkan layanan Najib terhadap Tun Mahathir lebih buruk daripada apa yang dilakukan oleh Pak Lah yang juga diserang dan dikritiknya sebelum in.

Setidak-tidaknya Pak Lah tidak pernah sampai tergamak tidak mahu bertegur sapa dengan Tun Mahathir.

Di pandangan umum, ketika Tun Mahathir cuba dikaitkan semula dengan Jambatan Bengkok, Najib sebaliknya dianggap mempunyai "hati yang bengkok". ( SH 17/04/2015 )

No comments: