Friday, January 30, 2015

Pilihanraya PBT : SAMM Cabar Hadi Sepentas Berdiskusi

Pilihanraya Kerajaan Tempatan seharusnya menjadi idealisme setiap gerakan politik dalam negara bagi memastikan peranan Ahli Majlis sebagai penimbal balik keputusan dan dasar Pihak Berkuasa Tempatan serta mata dan telinga rakyat di dalam kawasan tersebut untuk membangunkan kawasan komuniti. Ia juga sebagai satu langkah yang dapat memulihkan kepincangan dan ketirisan dalam pentadbiran tier ketiga Sistem Pentadbiran Awam Di Malaysia.


Kali terakhir Pilihanraya Kerajaan Tempatan diadakan adalah pada tahun 1964, iaitu 5 tahun sebelum tragedi 13 Mei yang hanya berlaku pada tahun 1969. Jadi, dimanakah logika Datuk Seri Hadi Awang dalam melemparkan tanggapan Pilihanraya Kerajaan Tempatan Akan Mengulangi 13 Mei?

Persoalannya, adakah kerana Pilihanraya Kerajaan Tempatan menjadi punca 13 Mei ataupun 13 Mei berlaku kerana demokrasi telah dipadamkan dan keadilan dinafikan sehingga mewujudkan ruang manipulasi besar yang mengakibatkan jurang perbedaan antara kaum dalam negara ini?

Persoalan beginilah yang sepatutnya diutarakan oleh seorang Presiden Parti Politik, yang akan mengangkat martabat fikrah seorang Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia. Bukannya terus terheret dalam analogi sempit berasaskan kaum dan agama ciptaan UMNO-Barisan Nasional lantas meninggalkan seruan Keadilan Untuk Semua yang dianjurkan Islam.

Kita juga tidak boleh menolak faktor pergeseran dalam UMNO itu sendiri yang ingin menjatuhkan Tunku Abdul Rahman, terutamanya Mahathir ketika itu sebagai antara pemain utama dan Tun Abdul Razak sebagai pengganti Perdana Menteri telah turut mencetuskan tragedi 13 Mei.

Sehubungan itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mencabar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar bersemuka di atas satu pentas bagi membicarakan polemik Pilihanraya Kerajaan Tempatan yang telah ditimbulkan oleh beliau. Hadi tidak boleh sekadar mengeluarkan kata-kata tersebut tanpa memberikan penjelasan lengkap berkait tanggapan beliau itu. SAMM terbuka untuk pihak Datuk Seri Abdul Hadi Awang menetapkan tarikh, masa dan tempat.

Sampai bila kita harus tunggu Malaysia dibuai mimpi indah di mana penbangunan hanya dirasai oleh segelintir rakyat tanpa urustadbir dan tatakelola yang baik dapat diterapkan di dalam setiap lapisan jentera pentadbiran Kerajaan.

Muhammad Akram Bin Ahmad
Penyelaras Bersama
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers