Thursday, October 30, 2014

PAS gentar ancaman sosialis?

oleh : webmaster


Laporan Malaysiakini yang menyebut PAS menggunakan Timbalan Presidennya Mohammad Sabu bagi memujuk Parti Sosialis Malaysia agar tidak melebarkan pengaruh ke Kelantan amat mengejutkan.

Sebagai sebuah parti yang telah bertapak sejak 1950an dan mentadbir Kelantan selama dua dekad, tidak sewajarnya PAS takut kepada PSM. Keanggotaan PAS beratus ribu di Kelantan dan PSM tidak mungkin mempunyai ahli melebihi 5,000 di negeri itu sekiranya mereka mengembangkan sayap.

Bagaimanapun, hujah Mat Sabu terdapat sedikit kebenaran apabila beliau melihat PSM mempunyai jaringan sosial dan gerak kerja kemasyarakatan yang baik dalam mempengaruhi sokongan. Malah dalam sesetengah kes lebih baik daripada PAS.

Mohamad memberitahu PAS bahawa "satu-satunya cara PAS boleh mencabar PSM ialah dengan melakukan sebanyak boleh kerja atas alasan sama seperti yang PSM lakukan".


Ikon sederhana

Komen Setiausaha Agung PSM,  Arutchelvan yang menyebut ikon PSM seperti Dr Jeyakumar dan Dr Nasir Hashim dilihat amat bersederhana memandu kereta lama. Katanya, PAS selepas berundurnya Nik Aziz daripada arus perdana politik tidak mempunyai pengganti yang sesuai sebagai ikon gaya hidup sederhana.

"Pada masa lalu, PAS mempunyai ikon seperti Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mempunyai gaya hidup yang serba sederhana.

"Hari ini, imej seperti ini hanya boleh anda temui pada pemimpin parti sosialis, seperti Ahli Parlimen Sungai Siput Dr D. Jeyakumar dan bekas ADUN Kota Damansara Mohd Nasir Hashim.

"Pemimpin-pemimpin ini berperwatakan sederhana, mereka masih memandu kereta lama mereka dan bersedia untuk mengisytiharkan harta mereka," katanya.

Dalam PAS muktahir ini, ikon ulama muda tidak hidup secara sederhana . Mereka menghentam Anwar Ibrahim tetapi mereka juga tidak mempunyai tarikan untuk dipuji. Tantawi misalnya, menaiki kereta mewah Vellfire walaupun baru sepenggal menjadi ahli parlimen, ahli Dewan Ulama PAS Zaharudin pula mempunyai BMW mewah. Begitu juga tokoh-tokoh lainnya yang tidak ubah seperti ahli politik Umno BN. Maka lebih baiklah PAS digantikan dengan third force daripada kalangan sosialis.

Pada Januari depan PSM dan Parti Rakyat Malaysia akan bergabung untuk membentuk Sosialis Front (SF). Front sosialis cukup terkenal pada 1960an apabila menggondol banyak kerusi dalam pilihan raya majlis tempatan (PBT).

Mereka menguasai majlis bandaraya di Selangor, Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang sehinggalah rusuhan kaum 13 Mei 1969, apabila kerajaan Perikatan yang takut kemaraan SF melaksanakan undang-undang darurat dan menahan ratusan pemimpin SF di bawah ISA.

Kemunculan semula SF bukan dilakukan tanpa sebab. PRM selama ini bergabung dengan PKR dan bertanding atas tiket PKR dalam pilihan raya 2008 dan 2013. Bagaimanapun mereka kecewa kerana PAS menganggap PSM adalah ideologi tidak beragama dan dalam kes di Kota Damansara PAS meletakkan calon melawan PSM. Presiden PAS, Hadi sendiri menghentam PSM dalam ceramah. Walaupun PAS menarik semula calonnya tetapi penyokong PAS tetap memberi undi kepada calon PAS pada pilihan raya.

Ketidakyakinan puak sosialis terhadap PAS dan PR menjadi semakin parah dalam krisis MB Selangor. PAS menukar krisis antara Khalid Ibrahim dan PKR kepada peperangan terbuka PAS – PKR yang menenggelamkan isu rakyat.


SF isi vacum perjuangan

Selepas usai krisis Selangor, krisis PAS – PR tidak pernah reda. Aktivis kedua-dua parti pulau memulau program yang dianjur oleh masing-masing parti. PAS menganjurkan secara bersendirian tunjuk perasaan anti kenaikan harga minyak di Kuala Lumpur pada Oktober lalu.

Aktivis PAS juga memulaukan road tour Anwar menjelang rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan. Sikap kebudak-budakkan ini merugikan rakyat terbanyak yang memerlukan pembelaan. Maka tidak salah SF bergerak sebagai kuasa ketiga yang mahu membela rakyat.

Sekiranya PAS dan PR tidak lagi mahu menganjurkan demo bersama-sama di Kuala Lumpur menentang BN maka SF boleh mengaturkan demo besar untuk rakyat meluahkan sakit hati mereka  kepada kerajaan BN.

Dalam konteks ini tidak ada salahnya SF masuk ke Kelantan dan Terengganu yang merupakan kubu kuat PAS. Apabila pengikut PAS hanya sibuk mempertahankan presiden dan puak ulama pro Umno tanpa memperdulikan isu-isu rakyat, biarlah SF mengambil alih perjuangan PAS itu.

SF akan mendapat sokongan kembali seperti pada 1960an kerana mereka bertindak mengisi kekosongan yang ditinggalkan PR. Malah mungkin menjadi satu realiti dalam PRU 14 kelak SF akan menjalin kerjasama dengan PR yang hanya dianggotai PKR dan DAP sahaja.

Dengan adanya dua front melawan BN tentunya keadaan yang lebih sengit. PAS akan bersendrian dan bergantung kepada prestasinya dalam pilihan raya tersebut. Sekiranya telahan penganalisis politik benar, maka Kelantan akan tumbang ke tangan Umno dan PAS tidak perlulah bersama PR membentuk kerajaan persekutuan sekiranya PR dan SF menang pilihan raya tersebut.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers