Sunday, April 9, 2017

Kisah cinta UMNO-PAS tangguh ke sidang berikutnya


Kita disajikan dengan kisah cinta yang mempertemukan dua kekasih yang bernama PAS dan UMNO. Cinta ini berputik daripada rasa yang sama, kononnya untuk memperkasakan agama Islam melalui RUU355.
Penyokong drama sinetron mana yang tak terharu, apabila melihat air mata Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi tumpah di persidangan Parlimen, di fikirannya mungkin terbayang dirinya sedang memimpin seluruh umat Islam ke arah cahaya, ke jalan yang benar lagi lurus.
Setelah dibahas panjang lebar selama hampir satu jam oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengenai mengapa cinta antara UMNO-PAS ini harus dimekarkan di bumi Malaysia untuk nanti bunganya dipetik dalam bentuk RUU355, klimaks yang ditunggu-tunggu penyokong (baca: penonton) nampaknya tak kesampaian.
Ia ditangguh lagi, kali ini dengan campur tangan oleh pihak ketiga, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Cinta songsang lagi kotor ini cuba dibangkang dan dibahas Ahli Parlimen pembangkang, namun dihalang oleh keputusan berat sebelah Pandikar.
Kali pertama ditangguhkan, dua kali ditangguhkan, dengan kononnya untuk memperjelaskan RUU355 kepada penyokong (baca: penonton), untuk difahamkan. Malah diadakan perhimpunan ungu di ibu kota, dengan ucapan salam mesra penuh kasih dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Sebelum bertolak perdana menteri dan timbalan perdana menteri minta saya sampaikan salam dengan lafaz Assalamualaikum kepada tuan-tuan dan puan-puan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dihadapan ribuan penyokong (baca: penonton) RUU355.
Bukan sukar untuk membayangkan akan ada lagi perhimpunan kali kedua. Ibu kota mungkin sekali lagi dipenuhi dengan warna ungu, atau hijau, atau apa-apa yang menarik hati Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. “Undi kami untuk memakmurkan Islam” akan jadi slogan untuk menarik sokongan. Semua ini tak lain dan tak bukan permainan cinta sonsang UMNO dan PAS demi mengekalkan kuasa.-
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers