Manifesto kitar semula BN, lebih 100 ribu rumah lagi tiada bekalan air bersih di Sarawak


Janji sama dikitar semulaJanji sama dikitar semula
Persembahan manifesto Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak terus dilihat mengulangi perkara sama yang menunjukkan kegagalan pentadbiran sejak merdeka.
Kecenderungan manifesto salin dan tampal ini dapat dilihat apabila BN Sarawak mendakwa sebanyak 471,425 isi rumah atau 80 peratus isi rumah telah menerima bekalan air terawat hasil daripada apa yang dipanggil transformasi luar bandar.
Hal ini bermakna, sebanyak 117,856 isi rumah masih belum lagi menikmati bekalan air bersih walaupun BN lebih 50 tahun menguasai Sarawak.
PRN kali ke-11 terus menyaksikan BN mencampakkan pelbagai projek infrastruktur sebagai umpan bagi memancing sokongan 1,138,650 pengundi di Bumi Kenyalang itu.
Hal ini dapat dilihat pada manifesto BN yang kelapan iaitu untuk mempercepatkan pembangunan jaringan jalan, liputan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi.
Paling ketara dapat dilihat pada keterujaan BN terhadap projek Lebuhraya Pan Borneo yang bakal merentasi dari Telok Melano di hujung barat laut ke bandar Merapok di Lawas di sempadan Sabah.
Projek mega sepanjang 1,089 kilometer itu ibarat ‘bapa’ kepada banyak lagi projek yang diasak ke telinga rakyat di Sarawak melalui semua saluran media daripada TV sehingga akhbar yang dikuasai parti pemerintah sepanjang tempoh kempen PRN ini.
Bahkan, janji manis berkenaan projek itu juga diulang oleh Perdana Menteri, Najib Razak ketika membentangkan laporan tahunan program transformasi negara 2015, di Angkasapuri, Kuala Lumpur Selasa lalu sekaligus mengambil kesempatan untuk berkempen termasuk menyerang blok pembangkang.
Sejak kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu lagi, BN berjanji untuk membina Lebuh Raya Pan Borneo tetapi ketika itu, jarak keseluruhan yang dicanang ialah 2,300 km bermula dari Sematan di Sarawak hingga ke Serudong, Sabah.
Tidak hairanlah, projek membabitkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak dan Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) yang dimeterai pada Jun 2015 itu tidak lebih sekadar mengitar semula janji ibarat ‘candu’ kepada rakyat di Sarawak.
Monopoli BN terhadap akses rangkaian media di negara ini yang sudah menjadi kelaziman setiap kali musim pilihan raya turut mendedahkan kononnya tanpa BN, rakyat di Sarawak tidak akan memperoleh jalan berturap, bekalan elektrik dan air terawat.
Lantaran itu, lambakan angka termasuk ‘auta’ apa yang dipanggil transformasi luar bandar pun dibentang. Antaranya, BN Sarawak setakat ini didakwa sudah membina lebih 1,400 km jalan serta berbangga dengan pencapaian 513,170 isi rumah atau 90 peratus isi rumah menerima bekalan elektrik 24 jam.
Politik pembangunan ‘recycle’ itu juga dapat dilihat semasa musim PRU-13 lalu yang antara lain berjanji untuk membina jalan raya berturap di Sarawak sepanjang 2,800 km dalam tempoh lima tahun.
Berdasarkan janji BN pada 2013 lalu juga, sebanyak 80,000 isi rumah baharu di Sarawak sepatutnya sudah dilengkapi bekalan air bersih memandangkan tempoh PRU-14 yang semakin hampir.
Namun, angka bagi manifesto BN Sarawak bagi PRN kali ini berkaitan penyediaan bekalan air terawat terus dihantui persoalan apabila sebanyak 79,000 isi rumah baharu akan disediakan kemudahan asas itu.
Soalnya, bagaimana angka bagi rentang masa kira-kira tiga tahun tersebut menjadi lebih kurang sama atau adakah sekadar ‘copy and paste’ sahaja?
Dalam manifestonya pada PRU13 lalu, BN mengaku telah memperuntukkan sejumlah RM18.7 bilion sepanjang 2010 hingga 2013 untuk pembangunan infrastruktur luar bandar. Soalnya, ke mana bocornya dana sebanyak itu ketika ramai lagi rakyat tidak mendapat kemudahan asas pada kadar yang sepatutnya?
Paling malang, jika berpandukan janji BN Sarawak bagi PRN Mei ini, ini bermakna sebanyak 33 peratus isi rumah lain sudah tentu perlu menanti menagih bekalan air terawat pada PRN selanjutnya pula.
Oleh itu, bila lagi majoriti pengundi Sarawak mahu bangkit berani berubah memilih calon Pakatan Harapan pada 7 Mei ini daripada terus dibuai dengan candu kitar semula BN?

No comments: