Friday, November 22, 2019

BILA MAHATHIR ANWAR MEMAHAMI, PENCURI PINTU BELAKANG TAK RELEVEN LAGI.



Tindakan Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir Mohamad semalam, sekurang-kurangnya telah berjaya mengutarangkan panasnya suhu beberapa isu dalam negara.
Ia termasuk berkenaan peralihan kuasa, desakan agar Perdana Menteri berundur dan berkaitan pertemuan 17 Ahli Parlimen UMNO dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di kediamannya, baru-baru ini.
Sehari sebelum itu, Tun Mahathir dilihat agar keras dan berwajah serius apabila bercakap tentang peralihan kuasa, termasuk sedia disingkirkan oleh Majlis Presiden PH.
“Terserah kepada parti… Mereka (Majlis Presiden PH) boleh pecat saya jika mereka mahu begitu.
“Tapi sudah tentu kalau saya disingkirkan, saya takkan tahu. Namun saya fikir saya perlu serius mengenai hal ini,” tambahnya lagi.
Namun demikian, dalam gambar pertemuannya dengan Anwar semalam, selain kedua-dua bersetuju dalam beberapa perkara, beliau jelas kelihatan lebih ceria dan mempamerkan senyum yang melebar di wajahnya.
Antara persetujuan yang dicapai dalam pertemuan dengan Anwar semalam ialah pendirian mereka tidak pernah berubah berkaitan isu peralihan kuasa sebagaimana yang sudah ditetap dan dipersetujui dalam Majlis Presiden PH.
Mereka juga sepakat isu itu mesti dilakukan dengan aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persetujuan bersama.
Mereka turut tidak setuju sekiranya ada usaha lain yang menyimpang daripada persetujuan atau menggunakan nama kedua-dua mereka dalam mana-mana muslihat yang lain.
Tun Mahathir tidak lupa mengambil maklum mengenai perbuatan sesetengah menteri (faham-fahamlah siapa dia) yang menyalahgunakan kuasa dan pemberian projek untuk meraih dukungan politik.
Beberapa jam setelah Anwar menulis kenyataan dan menghebahkan gambar pertemuan itu, Tun Mahathir dengan pantas memberi reaksinya.
Kata beliau, Anwar faham mengenai beberapa isu berkaitan peralihan kuasa dan bersetuju tidak perlu banyak tekanan dilakukan pada waktu ini.
Dalam hal ini, sebaik berakhir PRK Tanjung Piai yang kemudian dituruti desakan pengunduran Perdana Menteri, selepas itu terdedah pula pertemuan Azmin dengan 17 Ahli Parlimen UMNO di rumahnya yang mencetuskan spekulasi wujudnya usaha berterusan mencari mencari pintu belakang untuk merebut kerusi Perdana Menteri, segala-galanya tampak reda hanya dengan pertemuan selama 30 minit antara Anwar dan Tun Mahathir itu.
Realitinya, mereka berdua iaitu Tun Mahathir dan Anwar tetap akrab dan saling memahami serta senantiasa kekal dengan konsensus peralihan kuasa yang telah dipersetuju.
Malah, sependirian dengan Anwar, Tun Mahathir juga menegaskan sebelum itu, sesiapa saja yang mahu menjadi Perdana Menteri, mereka perlulah menggunakan saluran yang betul bagi mencapai tujuan tersebut.
Sudah tentu dalam dalam hal ini, hanya Anwar yang sentiasa menggunakan saluran yang betul, manakala mereka yang mahu menggunakan pintu belakang, pintu tepi atau tingkap, saluran yang dipilih itu adalah tidak sah serta tidak diiktiraf sama sekali.
Maka itu, pihak yang berkenaan atau mereka yang masih ada cita-cita sedemikian, terimalah realiti yang ada di depan mata dan pergilah main jauh-jauh selepas ini. (ShahbudinHusin 22/11/2019)

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers