Tuesday, June 6, 2017

Jerusalem’s Jubilee: Teresa buat laporan polis sanggah sebaran fitnah



KUALA LUMPUR, 6 JUN: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membuat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling dekat sini hari ini berhubung penyebaran kenyataan palsu yang menggunakan nama beliau melibatkan acara ‘Jurusalem’s Jubilee’ di Melaka.
Beliau dalam kenyataannya yang diedarkan kepada pemberita selepas membuat laporan itu menafikan dan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan berbaur fitnah berkenaan dan pihak yang telah mengedarkannya kepada orang ramai.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak terlibat langsung dalam penganjuran program ‘Jerusalem’s Jubilee’ dan saya juga tidak mempunyai keinginan untuk hadir ke program berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu percaya kenyataan palsu yang turut dimuatkan dalam laman web pro-UMNO itu bertujuan untuk memburuk-burukkan imej DAP dan dirinya selaku wakil rakyat.
“Apa yang menghairankan ialah kesemua tuduhan palsu dan fitnah terhadap saya ini berlaku dalam bulan Ramadan, bulan suci bagi umat Islam,” katanya sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak beretika dan berniat jahat.
Beliau justeru menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar segera menyiasat dalang di sebalik penyebaran fitnah tersebut.
Teresa turut diiringi peguam Khairil Khalid dan pemimpin Pakatan Harapan.
Ia bukanlah kali pertama dalam bulan Ramadan Teresa difitnah. Pada September 2008, beliau telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negari (ISA) ekoran dakwaan bahawa kononnya beliau melarang azan dikumandangkan di Bandar Kinrara Puchong.
Pada Ogos 2013 pula, Teresa telah membuat laporan polis terhadap blogger pro-UMNO berhubung dakwaan fitnah kononnya beliau meminta wang zakat diberikan kepada orang Cina. 
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers