Thursday, March 17, 2016

Tabung Haji perlu jelas masalah yang dihadapinya, bukan ugut pendeposit

17 Mac 2016 oleh Fatih Hassan Nordin

tabunghaji_sheikhomar

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Lembaga Tabung Haji di bawah seliaan kerajaan UMNO-Barisan Nasional sepatutnya tampil dengan jawapan memuaskan berkaitan kelemahan pihak pentadbirannya menguruskan aset hasil simpanan pendeposit.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali, berkata penjelasan jujur dan telus adalah lebih baik daripada melemparkan ugutan terhadap pendeposit.
Beliau membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khir Jamil Baharom, yang memberi amaran bahawa pendeposit bakal hilang giliran menunaikan haji, malah terpaksa menunggu sehingga 70 tahun, jika mengeluarkan simpanan mereka.
Katanya, kenyataan seumpama itu sebagai bacul dan terdesak sehingga sanggup menggertak pendeposit yang sudah hilang kepercayaan terhadap institusi kewangan itu yang masih enggan menjelaskan dengan terperinci tindakan kontroversi lembaga itu.
“Rakyat dan pendeposit tidak berdosa. Mereka bertindak spontan atas isu kontroversi yang melibatkan Tabung Haji.
“Rakyat mahukan jawapan. Bukan alasan, apatah lagi ugutan. Jawapan Khir Jamil ini nampaknya seolah-olah satu ugutan terhadap pendeposit Tabung Haji,” katanya kepada Roketkini.
Pada Mei tahun lalu, Lembaga Tabung Haji melakukan langkah yang dianggap masyarakat dan pemerhati sebagai suatu tindakan kontroversi dengan menjual semula tanah kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan harga di bawah harga pasaran, sedangkan ia boleh dijual dengan harga yang tinggi.
Malah, tindakan itu turut dilaporkan media tempatan yang dikatakan mendapat nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pada Januari lalu, Bank Negara Malaysia mengesahkan bahawa pihaknya ada menghantar notis nasihat kepada Lembaga Tabung Haji seperti yang didedah media mengenai penyusutan rizab agensi haji berkenaan dan mendakwa pelaburan yang dilakukan Tabung Haji juga merosot.
Timbul rasa tidak percaya di kalangan pendeposit itu, Sheikh Omar berkata, adalah bukan kerana dimangsakan ekoran daripada pendedahan surat Bank Negara yang menasihati Tabung Haji supaya melihat kelemahannya, sebaliknya tata selia dan pengurusan aset oleh lembaga itu yang harus diragui ketelusannya.
“Pada saya, seawal pendedahan surat Bank Negara berkenaan di media juga adalah akibat daripada ketidakpuasan hati pihak terlibat terhadap pengurusan aset TH yang diragui,” katanya.
Khir dilaporkan media sebagai berkata bahawa penyebaran surat dari Bank Negara itu kononnya menyebabkan Tabung Haji dilemparkan dengan tuduhan rambang, analisis tidak tepat dan andaian negatif pelbagai pihak sehingga pendeposit menjadi mangsa. – Roketkini.com
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers