DAP tetap sokong Anwar jadi Perdana Menteri walau dipenjara


SUNGAI BULOH, 10 FEB: DAP mengulangi pendiriannya yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia dan bertekad mengembeling usaha untuk membebaskan beliau dari penjara.
Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata demikian depan kira-kira 1,000 rakyat sempena Himpunan 365 Anwar Tahanan Politik di hadapan Penjara Sungai Buloh malam tadi sempena Mengingati 365 hari Anwar sebagai tahanan politik di negara ini.
“Janji kita khususnya DAP kita tetap anggap dan pilih Anwar sebagai calon Perdana Menteri kita pada masa akan datang. Tidak kira sekarang dipenjara, kita akan berusaha membebaskan Anwar. Beliau bakal Perdana Menteri kita,” katanya.
Menegaskan DAP sebagai ‘kawan sejati’ yang tetap bersama-sama waktu susah dan senang, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan itu berkata rakyat juga perlu ‘istiqomah’ menentang kezaliman UMNO-BN.
“Kita mahu sampaikan mesej kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Cukuplah, Cukup-cukup sudah sampai di sini saja! Bebaskan Anwar jika tak mahu rakyat akan bangkit akan jatuhkan kamu!” kata Suee Lim.
ng suee limm
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamed Sabu pula mengajak rakyat supaya berani bangkit menentang segala kebejatan di negara ini, bukan berdiam dari sebaliknya meneladani rakyat negara jiran yang bangkit menuntut keadilan.
“Kenapa kita tidak ikut arus rakan-rakan di Indonesia, di Burma, kita ketinggalan kerana kita penakut. Mengakulah kita tak cukup berani. Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, tanya diri kita, adakah kita pejuang atau hanya bermain slogan? Ayuh, mari kita bangun!” katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula mahu perjuangan Anwar diteruskan tanpa menyerah kalah kepada tekanan kerajaan dan mengingatkan pihak tertentu yang mahu menggantikan Anwar supaya menginsafi jatuh bangun perjuangan reformasi.
“Di Amerika Syarikat, seorang warga emas berumur 74 tahun Bernie Sanders yang perjuangkan kesenjangan antara kaya miskin, Kalau beliau mampu lakukannya di Iowa, kenapa kita mahu menyerah kalah kepada Najib?
“Kita takkan menyerah. Kita akan lawan hingga ke akhirnya!” kata anak sulung Anwar itu. – Roketkini.com

No comments: