Sunday, November 2, 2014

“Biarlah aku susah, janji UMNO menang”

Roketkini

apa ada umno bn pix
Kata-kata itu diluncurkan seorang warga ketika saya giat berkempen dalam PRU 13 yang lalu. Ia hanyalah adegan kecil dan terpencil yang masih saya ingat. Ketika itu, saya hanya tersengih-sengih mendengar ungkapannya. Yang benar, ungkapan itu bukan dibuat-buat, bukan direka-reka, sebaliknya ia ungkapan jujur seorang Melayu.

Jika boleh disimpulkan, ini adalah manifestasi kejayaan indoktrinasi politik UMNO ke atas kaum Melayu sejak berdekad yang lalu. Kita yakin, insan seperti ini ada ramai dalam negara ini.

Ungkapan tersebut telah menjadi bentuk pemikiran dan hujah yang dianggap rasional oleh mereka. Mereka ini tidak berdosa, mereka ini tidak menipu, penutur kata ini tidak mencuri apatah lagi memberi atau menerima rasuah. Sebaliknya mereka jujur, sejujur-jujurnya.

Mana saya tahu mereka ini tak rasuah? Kerana hidup mereka susah, mereka tidak pandai meminta-minta, mereka ini tak suka dikasihani, sanggup derita dengan titik peluh sendiri. Ini Melayu tulen, beb!
Ungkapan ideal ini adalah sama jika diungkapkan “Biarlah aku menderita, asal kekasihku bahagia.”

Bagi mereka, dunia mereka berpusing kerana kerja UMNO, Islam syumul kerana perjuangan UMNO dan mereka hidup adalah atas jasa UMNO. UMNO bagi mereka bukanlah suatu parti politik sebaliknya ‘kekasih atau pasangan hidup’ – tanpa UMNO binasalah mimpi indah mereka.

Begitu berakarnya UMNO dalam jiwa mereka. Akal? Dalam hal ini, akal jatuh ke tahap kedua, tak releven bercakap tentang akal dan rasional dengan kelompok Melayu sebegini. Tak perlu memaksa mereka menerima hujah rasional kita, sebaliknya kitalah yang perlu memahaminya untuk manfaat kita sendiri.

Saya tidak mahu mempertikaikan hujah dan pemikiran mereka sebaliknya saya ingin sekali memahami apa yang mereka rasa sebagai insan yang sanggup menderita kerana kepercayaan yang ditanam dalam benaknya.
Ini boleh berlaku ke atas sesiapa pun, parti apa pun, kerajaan apa pun dan kumpulan apa pun.

Kes ini membuatkan saya tertarik untuk memahami dan mengkaji bagaimana doktrin hebat ini berjaya. Mungkin dapatan saya ini tak releven, tetapi ia amat penting dalam memahami naratif Melayu dan politiknya.
UMNO, khususnya UMNO Johor, membina kekuatannya bukanlah dengan menggunakan jentera kerajaan sewenang-wenangnya. Mereka tak sebodoh UMNO Selangor atau Perak, atau bahkan UMNO di Terengganu.

UMNO ini hidup dalam masyarakat, dalam budaya dan dalam ekonomi. Mereka bijak meletakkan diri mereka dalam rongga nadi masyarakat, di warung-warung kopi, di pasar-pasar tani, bersama geng-geng Keroncong dan Ghazal, dalam kenduri-kendara dan dalam hal-ehwal pengurusan kampong.

Bertolak dari lapangan inilah UMNO membentuk pemikiran dan budaya orang Melayu.
Jika hendak mengubah nilai, ubah persepsi dahulu – persepsi yang dibaja secara alami menerusi cakap-cakap kosong, gurau-gurau, loyar buruk dan gosip-gosip merapu. Masa yang diambil bukan sekejap dan persepsi ini dibina tanpa melalui apa-apa jentera kerajaan pun pada dasarnya. TV Radio hanya jadi penyedap ‘hujah warung’ mereka.

Nah, duduk saja berlabun di kedai kopi, minum segelas kopi O atau teh tarik hingga santak ke petang. Kelak, rasuah akan bertukar menjadi ‘komisen’, bukan jenayah yang harus dilawan atau diperangi.
Pernah dengar istillah ‘duit kopi’ bukan? Mana lagi datangnya istilah ini kalau bukan dari warung kopi.

Teringat saya naratif di zaman sebelum revolusi di Eropah abad ke 16, pemikir, pelawak dan artis berlabun di cafe-café (salon) sambil minum bir dan wain di sekitar kota Paris. Rentetannya, muncul persepsi baru yang mencetuskan perubahan pemikiran dan budaya. Maka Perancis dan Eropah berubah wajah selepas era itu.
Duduk berlabun bodoh dan tenang-tenang di kedai kopi adalah kerja politik bagi UMNO dan mungkin juga bagi parti-parti politik lain. Namun, apakah topik-topik dan pemikiran yang terbentuk di kedai kopi Malaysia memungkinkan renaisans seperti di Perancis dan Eropah tercetus?


Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers