Tuesday, September 16, 2014

Subky Latif pula terkena sindrom kurang ingatan

oleh: amirulmukminin




Barangkali PAS sudah menuju ke penghujung apabila satu demi satu pemimpinnya terjangkit sindrom kurang ingatan.
Sebelum ini , presiden Hadi Awang dijangkiti penyakit lupa keputusan sendiri apabila mencadangkan nama Dr Wan Azizah dan Azmin Ali sebagai MB baru Selangor pada 17 Ogos; menyempitkan kepada hanya Azmin pada 25 Ogos; tidak menghantar nama kedua-duanya kepada sultan Selangor dan pada pertengahan September mencadangkan MB yang telah meletak jawatan Khalid Ibrahim kekal di kedudukannya.

Kini bekas AJK PAS Pusat dan bekas editor Harakah Subky Latif pula dijangkiti sindrom sama lewat tulisannya meminta DAP bekerjasama dengan PAS dan mengkesampingkan PKR yang kononnya akan terumbang-ambing sebaik sahaja Anwar Ibrahim telah tiada.

"Jika DAP merasa perlu keluar daripada cap derhaka istana, ia mesti membuat keputusan menenangkan PKR supaya berlunak dengan PAS.

"Ia (DAP) akan lebih terserlah jika dapat sekutu Melayu yang boleh bersamanya bagi mencabar kekuasaan BN dan Putrajaya. Sekutu yang ada akar umbi ialah PAS. PAS akan ada lama.

"Tetapi PKR tidak boleh jadi sekutu yang penting, kerana pertama tidak jelas siapa yang boleh menjaganya selepas tiada Anwar?" tulisnya dalam kolum di harakahdaily.

Subky salah seorang pemimpin PAS yang aktif ketika gelombang Reformasi melanda negara dan selepasnya. Mustahil beliau lupa kerjasama dalam Barisan Alternatif yang berakhir dengan gabungan itu hancur berkecai pada tahun 2000 apabila DAP meninggalkan BA.

DAP bergabung pada 1999 demi membela nasib Anwar dan penyokong Reformasi yang dibelasah oleh FRU menemui jalan buntu bekerjasama dengan sebuah parti yang inginkan hukum Hudud. Pada peringkat awalnya, DAP menutup sebelah mata terhadap keinginan PAS melaksanakan Hudud.

Menuju PRU 1999, isu yang diutamakan adalah keadilan untuk Anwar dan perjuangan menentang kronisme serta nepotisme BN. Buat pertama kalinya pembangkang mempunyai matlamat yang satu dan mengkesampingkan perbezaan ideologi mereka dalam melawan BN.

Hadi tergesa-gesa

Namun selepas PAS mendapat Terengganu, MB Hadi Awang tidak sabar-sabar ingin melaksanakan Hudud. DAP menetang hasrat itu. Dalam kemelut pilihan raya negeri Sarawak, DAP yang khuatir akan hilang undi Cina di negeri itu mendesak PAS tidak meletakkan Hudud sebagai keutamaan.

Satu rundingan dibuat antara kepimpinan tertinggi DAP dan PAS. Pemimpin tertinggi DAP yang hadir antaranya Lim Kit Siang dan pemimpin PAS pula Nik Aziz dan Hadi Awang. Presiden Fadzil Noor uzur di hospital. Dengan sikap berkeras Hadi Awang seperti ditunjukkan sepanjang krisis Selangor, pemimpin DAP tidak mempunyai pilihan lain selain meninggalkan BA beberapa hari selepas pertemuan tersebut.

DAP tidak mengambil tahu mengenai BA sehinggalah Anwar keluar penjara pada 2004. Karismatik Anwar mengetuai kempen menggempur BN menyebabkan DAP tertarik untuk bersama arus reformasi buat kali kedua.

Anwar menjadi faktor penyatu antara PAS dan DAP. Muncul perundingan demi perundingan yang berakhir dengan persetujuan kedua-dua parti untuk bekerjasama dengan nilai-nilai yang boleh diterima oleh parti masing-masing bagi menumbangkan BN.

Pada PRU 2008 ketiga-tiga parti masuk pilihan raya tanpa bertembung di mana-mana kerusi. Mereka menang besar pada 8 Mac 2008 dan Pakatan Rakyat dibentuk atas kehendak rakyat seminggu kemudian.

Soalan cepu emas kepada Subky ialah di manakah kekuatan Hadi Awang sepanjang 2000 hingga 2008 yang membolehkan DAP bersama PAS menawan Putrajaya?

Jika Subky berkhayal, dengan sikap pembuli Hadi kebelakangan ini DAP akan bersekutu dengannya maka Subky juga akan dipersoalkan kekuatan mindanya seperti Hadi.

Pertemuan sulit

Subky tentunya maklum Hadi yang enggan bertemu Anwar secara rasmi itu cuba mengadakan rundingan sulit dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memujuk beliau menyokong PAS bagi mengekalkan Khalid sebagai MB. Pertemuan itu diminta dirahsiakan. Namun pihak DAP memberitahunya kepada Anwar.

Bagi DAP perbuatan Hadi itu, selepas Adun PKR, DAP dan PAS sendiri mengemukakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran Khalid adalah membelakangkan prinsip urustadbir parti yang baik. Pemimpin DAP juga melarang PKR terlalu mengikut rentak PAS kerana bagi mereka pemimpin PAS sendiri sudah tidak boleh menyelamatkan parti mereka, untuk apa PKR perlu menyelamatkan PAS. Tiada pemikiran politik yang waras dalam kalangan pemimpin tertinggi PAS, kecuali beberapa kerat golongan profesional.

Kecualilah Subky sedang berkhayal pemuda PAS diketuai mullah Al Tantawi mampu menghantar agen-agen menyusup masuk dan mengindoktrinasikan pemimpin muda DAP agar menerima PAS sebagaimana MCA menerima dan takutkan Umno dalam BN.

Jelas sejak Umno berhubung baik dengan PAS lewat kerjasama untuk meluluskan Hudud di Kelantan minda pemimpin PAS sudah beransur-ansur diresapi gelombang biru. Mereka yang telah bertahun-tahun berjuang pun termakan muslihat Umno yang mahu melihat fatwa mengundi parti itu ‘berdosa’ digugurkan di Kelantan.

Apabila Umno mahu Hudud maka parti itu sudah suci dan tiada halangan kepada pengikut PAS untuk mengundi Umno. Pada akal logik adalah lebih baik mengundi Umno yang kaya raya berbanding PAS yang miskin. Apatah lagi halangan berdosa telah tiada malah mungkin bertukar pahala pula. Sedangkan jika Umno menang di Kelantan maka mustahil mereka akan melaksanakan Hudud.

Masa Hadi berundur

Subky sebagai wartawan berpuluh tahun, pernah menjadi editor Utusan Melayu dan Harakah sepatutnya membisikkan kepada Hadi masanya telah tiba untuk  berundur. Bukan Subky tidak maklum hanya di sekeliling kelompok PAS Terengganu dan Kelantan sahaja Hadi dipuja-puja seperti pemimpin agung Iran.

Dalam kalangan ahli PAS di pantai barat Semenanjung, Hadi dilondeh kedai kopi. Ahli PAS tidak menyebut ‘tuan guru’ merujuk Hadi. Sebaliknya memanggil nama sahaja. Malah ketika berbahas itu mereka tidak menanggalkan ketayap sehingga menimbulkan kehairanan penyokong Umno melihat fenomena ahli PAS menghentam tuan guru mereka sendiri.

Bukan Subky tidak tahu akhbar kerajaan negeri, Selangorkini di masjid-masjid kubu kuat PAS tidak lagi dibaca oleh jemaah selepas solat jumaat. Jika seratus dihantar mungkin 10 nashkah sahaja yang diambil. Anak emas Hadi, Khalid Ibrahim dicemuh oleh ahli PAS.

Semua itu, rasanya amat diketahui Subky kerana beliau tinggal di Selangor. Hanya Subky tidak sampai hati untuk memberitahu Hadi.

Sebaliknya, perwakilan yang bermuktamar di Johor tidak perlu bersikap seperti Subky. Mereka wajib berterus terang dengan Hadi yang selesa dengan sokongan di pantai timur tetapi tidak tahu sokongan di pantai Barat telah terhakis melihat flip flop Hadi yang menjadi-jadi kebelakangan ini.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers