Friday, September 12, 2014

RAKYAT PERLU TAHU KANDUNGAN PERJANJIAN PENSTRUKTURAN AIR


MESTI ADA SESUATU YANG BERLAKU.KENAPA MELEBIHI DARI YANG TELAH DIPERSETUJUI? SIAPA YANG CUBA PAW ? WAYANG KA APA?



Saya sedia maklum bahawa Kerajaan Selangor telah menandatangani Perjanjian Utama (Master Agreement) penstrukturan air di antara agensi Kerajaan Persekutuan dan tiga pemegang konsesi iaitu Puncak Niaga, Syabas dan Abass. Perjanjian itu tidak melibatkan satu lagi pemegang konsesi iaitu Splash.

Sejak dari awal, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak memaklumkan sebarang isi kandungan rundingan atau perjanjian yang dirundingkan kepada saya walaupun saya diberi mandat oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat untuk meneliti isi kandungan rundingan atau perjanjian, selain dari Saudara Tony Pua (mewakili DAP) dan Saudara Dzulkifly Ahmad (mewakili PAS).

Malah, arahan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang turut sama dihadiri oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Saudara Lim Kit Siang (pada mesyuaray 6 Mac 2014) secara jelas memutuskan bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim tidak boleh memeterai sebarang perjanjian tanpa persetujuan Pakatan Rakyat yang diwakili oleh kami (saya, Saudara Tony Pua dan Saudara Dzulkifly Ahmad) bertiga.

Arahan itu telah diengkari berkali-kali. Oleh sebab itu, perjanjian yang dimeterai pada hari ini dibuat tanpa sebarang maklumat yang disampaikan kepada saya atau pun menerima sebarang maklumbalas dari wakil-wakil Pakatan Rakyat.

Saya menasihati Tan Sri Khalid Ibrahim supaya dengan segera mendedahkan perjanjian ini kepada rakyat, barulah rakyat dapat menilai sendiri sama ada perjanjian ini baik atau tidak.
Pada ketika ini dalam keadaan saya tidak mendapat maklumat, saya hanya boleh mengajukan beberapa persoalan penting seperti berikut:

1. Kos penstrukturan RM7.45 bilion yang diumumkan Tan Sri Khalid Ibrahim itu bukanlah kos sebenar yang akan ditanggung oleh rakyat Selangor kerana ia tidak termasuk kos mengambil alih Splash. Tawaran terakhir Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Splash adalah sebanyak RM1.851 bilion (tanggungan hutang dan pampasan liabiliti) iaitu hampir sama dengan jumlah RM2 bilion yang kononnya berjaya dikurangkan oleh beliau hasil perjanjian pada hari ini. Saya beranggapan kos sebenar hanya diketahui selepas pengambilalihan Splash selesai.

2. Pengambilalihan Splash besar kemungkinan akan dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan sekiranya akta digunakan atau melalui rundingan terus dengan Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna Kerajaan Selangor sudah hilang kawalan dalam menentukan kos keseluruhan penstrukturan semula industri air kerana rundingan dengan Splash akan dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan.

3. Jika kos keseluruhan penstrukturan melebihi jumlah RM9.65 bilion yang mula-mula diumumkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim kerana akhirnya bayaran kepada Splash yang dirundingkan atau diputuskan oleh mahkamah adalah lebih tinggi dari yang mula-mula ditawarkan, apakah rakyat Selangor akan menanggung bayaran yang lebih tinggi ini?

4. Bagaimanakah kawalan pengurusan ke atas syarikat baru pemegang konsesi nanti? Adakah ia akan dikawal bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri? Adakah kuasa Kerajaan Negeri muktamad?

5. Apakah senarai aset-aset Kerajaan Negeri (tanah, loji dan lain-lain) yang diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan demi memeterai perjanjian ini?

Sesungguhnya, ada seribu satu soalan yang boleh ditanya selagi perjanjian ini sulit dan dirahsiakan. Tindakan merahsiakan perjanjian dan merundingkannya di belakang wakil rakyat dan pimpinan Pakatan Rakyat tidak ubah seperti bagaimana perjanjian konsesi dengan Syabas dan Puncak Niaga mula-mula dimeterai dahulu.

Sebab itu selagi perjanjian ini rahsia, rakyat hanya mampu meneka dan tidak boleh membuat sebarang penilaian mengenai baik atau buruknya.

Ketidaktelusan inilah yang menimbulkan keraguan terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim selama ini.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
12 September 2014
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers