Wednesday, October 19, 2011

Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2012 dedah tarikh PRU13?

Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2012 dedah tarikh PRU ke-13? Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan PRU ke-13 bakal diadakan pada tahun 2012, lebih-lebih lagi dengan petanda-petanda yang menunjukkan bahawa PRU 13 mungkin diadakan antara Januari hingga Mac pada tahun depan.

Bagaimanapun, apa yang "pelik" mengikut anggaran SPR, PRU tahun depan hanya melibatkan "Parlimen", tetapi tidak melibatkan Dewan Undangan Negeri. Ini mungkin memberi makna bahawa seandainya Pakatan Rakyat tidak membubarkan DUN serentak dengan pembubaran parlimen, maka kerajaaan negeri yang dikuasai Barisan Nasional juga tidak akan membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada pilihan raya.

Maklumat ini ditemui MerdekaReview ketika menyelak Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2012, di mana SPR meramalkan bahawa satu PRU akan diadakan pada tahun 2012, dalam bab aktiviti bahagian operasinya. Dengan kata lain, SPR telah pasti bahawa PRU akan dijalankan pada tahun depan. Sebelum ini, SPR hanya memaklumkan bahawa PRU 13 akan dijalankan selewat-lewatnya pada tahun 2013. (Jadual bawah)

2010 (Sebenar) 2011 (Anggaran) 2012 (Anggaran)
Bil. Pemilih Berdaftar 11,163,409 11,834,845 12,634,090
Parlimen Tiada Tiada 1
DUN Tiada 1 Tiada
PRK 8 3 Tiada

Sumber: Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2012

Objektif operasi SPR adalah melaksanakan perjalanan PRU dan PRK, serta mendaftar, menyemak, menyedia dan mengeluarkan senarai daftar yang kemas kini dan bersih, dan mengkaji semula dan mencadangkan pindaan Undang-undang, Akta-akta, Peraturan Pendaftaran Pemilih dan Peraturan Pilihan Raya dari semasa ke semasa.

Menurut maklumat dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2012, SPR meramalkan bahawa bilangan pengundi dalam daftar pemilih akan mencecah angka 12,634,090 orang pada tahun 2012. Antaranya, Selangor kekal sebagai gedung undi terbesar, dengan pengundi seramai 1,853,511 orang; disusuli Johor (1,528,379 orang), Perak (1,395,958 orang), Sarawak (1,039,643 orang) dan Kedah (994,756 orang).

Sebelum ini, sumber maklumat memberitahu MerdekaReview bahawa pihak atasan FGVH telah memberi arahan agar langkah penyenaraian FGVH dipercepatkan, dengan harapan ia dijayakan sebelum akhir Mac 2012. Memandangkan FELDA merupakan "gedung undi" UMNO-BN, ditambah pula janji "durian runtuh" dalam Belanjawan 2012 - maka PRU 13 diramalkan akan diadakan antara Januari dengan Mac 2012.

Baca: Langkah penyenaraian FELDA Global Venture dipercepat untuk mengejar langkah PRU 13?

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal.

Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers