Sunday, July 1, 2018

DISEBABKAN 1MDB, UMNO HILANG KUASA DAN APAKAH KERANA 1MDB JUGA UMNO AKAN DIHARAMKAN?




Nasib dan masa depan UMNO, sama ada ia mampu terus hidup atau berdepan kemungkinan diharamkan, nampaknya semakin sukar untuk diramalkan.

Setelah buat pertama kali ia kalah pilihanraya, cabaran berkaitan statusnya pada masa depan rasanya lebih besar berbanding bagaimana untuk memulihkan semula keyakinan rakyat terhadapnya.

Sebelum ini, UMNO turut berdepan kemungkinan dibatalkan pendaftarannya berikutan perlanggaran terhadap perlembagaannya sendiri dengan tidak mengadakan pemilihan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Setelah pemilihan terakhir pada 2013 dan tempoh penangguhan yang dibenarkan hanya selama 18 bulan, tarikh akhir sepatutnya UMNO mesti mengadakan pemilihan ialah pada April 2018 lalu.

Bagaimanapun, atas kuasa Pendaftar Pertubuhan yang mana ketika itu BN masih menguasai kerajaan, UMNO diberi tempoh lanjutan selama setahun lagi sehingga April 2019.

Soalnya, daripada manakah datangnya peruntukan yang membenarkan UMNO melanjutkan tempoh pemilihannya sebanyak dua kali?

Sebaik saja UMNO kalah pada pilihanraya 9 Mei lalu dan kemudian disusuli dengan perletakan jawatan Najib Razak, Zahid Hamidi yang memangku jawatan Presiden kemudiannya cepat-cepat menetapkan tarikh mesyuarat cawangan dan bahagian bagi mengelak lebih banyak kesulitan.

Hari ini, 30 Jun adalah tarikh UMNO mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya bagi peringkat bahagian seluruh negara dan juga majlis tertinggi.

Daripada satu segi, tindakan segera mengadakan pemilihan itu mungkin boleh menyelamatkan UMNO daripada dibatalkan pendaftarannya.

Tetapi, itu juga belum pasti kerana kerajaan sudah pun bertukar dan jawatan Ketua Pengarah ROS serta Menteri Dalam Negeri juga ketika ini dipegang oleh individu lain.

Dulu Menteri Dalam Negeri adalah Zahid Hamidi, seorang pemimpin kanan UMNO dan Ketua Pengarah ROS juga diketahui sangat condong kepada UMNO.

Jika selepas ini, tindakan tertentu diambil terhadap UMNO kerana melanggar perlembagaannya sendiri, asas kepada perkara itu memang tidak boleh dinafikan dan UMNO harus menerimanya dengan redha kerana kesalahannya sangat nyata.

Namun demikian, belum pun dipastikan lagi sama ada tindakan akan diambil atau tidak terhadap UMNO berikutan perlanggaran perlembagaan tersebut, parti itu kini berdepan satu lagi masalah yang lebih besar.

Akaun bank UMNO  Pusat, beberapa UMNO negeri bersama kira-kira 900 akaun bank yang lain, termasuk komponen BN, individu, NGO dan persatuan telah dibekukan oleh SPRM kerana dipercayai menerima wang haram yang bersumberkan 1MDB.

Tidak diketahui berapa jumlah wang 1MDB yang diterima oleh UMNO, tetapi ada laporan menyebut jumlahnya ialah kira-kira RM600 juta. Beberapa UMNO negeri dan pemimpin UMNO juga didedahkan turut menerima wang 1MDB daripada Najib.

Wang haram yang diterima oleh UMNO dan pelbagai pihak lain itu adalah dipercayai daripada ribuan juta dana 1MDB yang diselewengkan yang kira-kira RM2,600 juta daripadanya dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Penyiasat antarabangsa dan DOJ menganggarkan jumlah dana 1MDB yang dilencongkan dengan dalang utamanya Jho Low ialah kira-kira AS4.5 bilion atau kira-kira RM18,000 juta.

Dengan terlibat menerima wang haram, UMNO tidak syak lagi akan berdepan kemungkinan diharamkan kerana di seluruh dunia, termasuk Malaysia, undang-undang berkaitan dengannya sangat ketat dari segi hukumannya.

Tidak kira sama ada individu atau parti, mereka yang terlibat dengan wang haram mesti sedia menerima hukumannya.

Tidak pernah dalam sejarahnya selama ini, UMNO terlibat dengan aktiviti wang haram atau diragui sumbernya. Ia hanya berlaku di era Najib yang menubuhkan 1MDB dan keluarganya pula diketahui berkawan rapat dengan Jho Low.

Di zaman Najib UMNO hilang kuasa dan kerana perlakuannya berkaitan 1MDB jugalah yang memungkinkan parti itu menjadi sebuah parti yang haram selepas ini.

Maka, apalagi gelaran yang sesuai buat Najib untuk dikenang oleh anak cucu bangsa Melayu kalau bukan "Bapa Kehancuran UMNO"? (ShahbudinHusin 30/06/2018)
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers