Thursday, October 12, 2017

AHLI PERNIAGAAN DAKWA DITIPU BERJUTA-JUTA OLEH BESAN PEMIMPIN ATASAN UMNO?




Seorang ahli perniagaan mendakwa dirinya ditipu berpuluh-puluh juta sejak hampir dua tahun lalu oleh rakan niaganya dari sebuah negara jiran yang juga merupakan besan kepada salah seorang pemimpin atasan UMNO dan kerajaan.

Dalam satu pertemuan, ahli perniagaan terbabit mendakwa, beliau merancang untuk melaksanakan satu projek perniagaan yang memerlukannya berurusan dengan pihak kerajaan di negara jiran tersebut bersama rakan niaganya itu.

"Meskipun perkongsian adalah atas pembahagian 50:50, tetapi semua modal dikeluarkan oleh saya, manakala rakan niaga itu lebih berperanan untuk menjalankan kerja-kerja mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa negara jiran terbabit, katanya.

Bagaimanapun, katanya, setelah hampir dua tahun berlalu dan beliau telah mengeluarkan wang berpuluh-juta untuk memastikan ia berjaya, projek yang dijalankan itu tidak juga mendapat kelulusan.

Tambah ahli perniagaan yang belum mahu disebut namanya itu, kali terakhir beliau memberikan wang ialah pada pertengahan tahun ini sebanyak RM2.5 juta di mana rakan niaganya itu memberitahu, jika kali  ini wang diberi kepadanya dan projeknya berjaya, semua wang yang digunakannya sebelum ini akan dapat dilunaskannya.

"Malangnya, semua cek bayaran balik yang diberinya adalah cek tendang, sama seperti yang dilakukannya sebelum ini," ujar ahli perniagaan tersebut sambil menunjukkan salinan beberapa keping cek tendang yang ada dalam simpanannya.

Mengimbas perkenalannya dengan rakan niaga dari negara jiran tersebut, ahli perniagaan terbabit memberitahu, beliau mengenalinya kerana diperkenalkan oleh pemimpin atasan UMNO itu.

"Antara sebab saya percaya dan sedia menjalankan perniagaan dengan rakan niaga itu ialah kerana hubungan kami bermula dengan diperkenalkan oleh pemimpin atasan UMNO terbabit," kata ahli perniagaan itu lagi.

Ahli perniagaan itu juga menegaskan, beliau akan terus berusaha dan tidak akan berhenti untuk mendapatkan kembali wangnya yang telah ditipu itu.

"Saya boleh terima kalau perniagaan itu rugi berjuta-juta, tetapi apa yang berlaku ialah saya telah ditipu kerana sementara banyak wang telah saya keluarkan, kerja untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tidak dilaksanakan dengan betul," ujarnya kesal.

Tegas ahli perniagaan itu, apa yang dimahukannya kini, setelah diperdaya beberapa kali dengan bayaran cek tendang ialah agar wangnya dipulangkan semula dengan penuh kejujuran.

Katanya, beliau ada beberapa pilihan atau perancangan untuk tujuan mendapatkan kembali wangnya dan ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat selepas ini. (ShahbudinHusin 11/10/2017)
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers