Wednesday, June 7, 2017

Al-Fatehah : Rozaimin Elias: Anak terbaik Pulau Pinang


“Nasib terbaik adalah tidak dilahirkan, yang kedua dilahirkan tapi mati muda, dan yang tersial adalah umur tua. Rasa-rasanya memang begitu. Bahagialah mereka yang mati muda.”
Ini kalimat yang sering diatributkan kepada Soe Hok Gie, aktivis terkenal Indonesia yang mati pada usia cuma 26 tahun.
Saya sering menyebut bahawa jalan perjuangan aktivisme politik anak muda dan mahasiswa adalah jalan yang sangat singkat.
Di satu saat kita berkumpul mengacungkan tangan ke langit, melaungkan ‘Hidup Rakyat’, ‘Student Power’, ‘Mampus UMNO’ dan sebagainya.
Namun di satu saat kemudian, tangan yang sama diserah kepada doktor, untuk diperiksa kandungan gula dalam darah, atau betapa tinggi rendah tekanannya.
Jalan perjuangan orang muda, adalah seperti matahari. Malas terbit awal pagi. Hanya panas di tengah hari. Kembali malap menjelang petang. Dan terus tenggelam setiba malam.
Malam, bagi sahabat saya, Rozaimin Elias; seakan tiba terlalu awal. Bahkan sebelum sempat fajar 5 Ramadan menyinsing kabus pagi.
Dalam tempoh tiga bulan lalu, Min (nama manjanya dalam kalangan teman-teman rapat) sudah tiga kali berulang ke hospital. Kali pertama beliau ditahan di unit rawatan rapi, hampir sahaja seluruh negara terhenti seketika.
Namanya diulang sebut dalam doa dan harapan kawan-kawannya yang ramai. Pelawat datang bertali arus ke Hospital Besar Pulau Pinang. Orang biasa, budak-budak punk, ahli politik, aktivis masyarakat, penulis, wartawan; berbilang bangsa dan agama semuanya. Jururawat saling bertanya, siapa ini Rozaimin Elias. Kenapa istimewa benar orangnya.
Kali kedua, Min tidak mahu beritahu sesiapa.
Kali ketiga, kami sudah mengagak ada sesuatu yang tidak kena.
Kata doktor, paru-paru Min dijangkiti kuman. Bukan sahaja itu, paru-parunya dipenuhi air. Semuanya cuba disedut keluar ketika Min koma di hospital pada kali pertama. 40 kilo katanya beratnya hilang.
“Ayaq (air) saja. 40 kilo. Peha aku kecut; semua dah tak terkepit,” kata dia penuh riang. Kami ketawa.
Min memang punya masalah berat badan. Makanan kegemarannya, nasi kandar; seperti juga ramai anak negeri Pulau Pinang.
Saya masih ingat, bagaimana ketika perhimpunan Bersih 5, Min mengadu tidak larat berjalan ikut demo. Lututnya sakit, jadi mohon supaya boleh bantu gerak kerja yang lain.
“Aku boleh tolong tweet,” dia kata.
Saya ambil dia di stesyen LRT, setelah sekian lama tidak bertemu. Tubuhnya membelon comel. Masuk ke tempat duduk hadapan, kereta langsung senget ke kiri. Kami saling pandang dan meletup ketawa. Padahal saya pun tidak kurang gemuk juga.
Sekarang kami dua-dua sudah tidak boleh makan nasi kandar lagi.
Anak terbaik Pulau Pinang
Rozaimin dikenali ramai kerana baik budi dan tulus hatinya. Beliau tidak berpenampilan seperti para bijak pandai. Dengan topi, seluar jeans dan tshirt yang sering gagal menutup perutnya; Min tidak membawa dirinya sebagai seorang pemikir atau perencana.
Min lebih banyak buat kerja berbanding bercakap. Dan tindakannya tidak datang dari akal tetapi dari hati. Jenis orang yang buat baik tanpa fikir untung, tetapi untuk memuaskan hati sendiri.
Ketika pulang bekerja di Pulau Pinang, Min lah yang pertama sekali bertanya khabar di laman sosial, mengajak duduk bersembang.
“Hang ka yang belah kerja Suaram? Jom mai lepak minum.” Demikianlah lebih kurang sapaan beliau yang tidak pernah memperkenalkan diri sebagai aktivis mahupun anggota sekretariat Suaram Pulau Pinang.
Min bahkan tidak pernah bercerita langsung tentang amal kerja baiknya sejak awal tahun 2000, ketika menggerakkan Food Not Bombs, memberi makan para gelandangan dan fakir miskin.
Tahun 2000, saya baru tingkatan 4. Min yang hanya tua dua tahun usia saya, sudah beraktivisme; membuat kerja sosial dan berbakti kepada masyarakat hasil bacaan dan pengamatan beliau tentang apa yang dicemuh orang sebagai ‘budaya punk’ pada zaman itu.
“Punk bukan sekadar muzik,” katanya berulang-ulang. Punk mendidik beliau untuk menghadirkan perubahan yang beliau mahu lihat dalam masyarakat. Min kemudiannya mendidik masyarakat agar saling sayang-menyayang, bekerjasama, menolak perkauman dan membawa perubahan kepada fabrik sosial.
Saya tidak begitu faham tentang punk sepertimana Min memahami punk, skinhead, antifa dan sebagainya. Sebagaimana saya tidak memahami kenapa Min lebih menyukai nasi kandar Deen Jelutong berbanding nasi kandar Raffee Pulau Tikus.
Saya lebih tidak faham bagaimana rombongan kami dari Kuala Lumpur, tidak perlu beratur di nasi kandar Deen, setibanya Min di sana.
Min hanya perlu cari meja, duduk; ada orang akan datang kepadanya dan ambil pesanan. Selebihnya beliau lah yang aturkan. Min seakan punyai sakti. Ke mana pun beliau pergi, akan ada yang menegur sapa, bersalaman; seolah-olah beliau seorang YB.
Tapi betul. Bagi kami, Rozaimin lah anak negeri yang patut menjadi Ketua Menteri. Malah tidak melampau kalau ada yang mencadangkan Rozaimin menjadi TYT. Bukannya beliau tidak pernah bekerja di kediaman rasmi Gabenor dan Ketua Menteri, sebelum menjadi tukang kebun Masjid Negeri.
Ya, itu satu hal lagi. Ramai yang tidak percaya; namun rumput di masjid itu tidak terpotong sendiri; melainkan Rozaimin lah yang memotongnya. Min memang orang masjid, walaupun punya band punk sendiri dan mahir memetik gitar meski jarinya gemuk-gemuk belaka. Naik cemburu kita dibuatnya.
Orang masjid, gitaris band punk, penggiat skuter, antifa, skinhead, aktivis sosial, penggerak parti DAP. Tidak hairanlah kenapa orang tidak berhenti mulut menyebut nama Rozaimin meski sudah seminggu beliau telah pergi meninggalkan kita.
Walaupun hanya beberapa tahun mengenali Min dan berkawan biasa-biasa sahaja dengannya; pemergian yang tidak diduga itu sangat memberi kesan dan meninggalkan bekas yang amat dalam. Hatta hanya seminggu kemudian barulah dapat menyusun ayat untuk mengucapkan selamat jalan kepada abang yang tidak pernah saya ada itu.
Min meninggalkan kita semua awal pagi 5 Ramadan setelah jantungnya berhenti berdenyut ketika sedang lena dibuai mimpi.
Walaupun sudah jauh berlalu pergi, dan nadinya telah berhenti; jasa baktinya dan ingatan kami terhadapnya akan terus hidup dalam setiap denyut nadi dan nafas kami.
Wey Min. Selamat jalan. Semoga kita bertemu lagi. – Roketkini.com
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers