Monday, June 6, 2016

Usah biar kerajaan asing ‘curi’ pelajar kita, DAP rayu komuniti korporat sedia biasiswa



tony jpa

PETALING JAYA, 6 JUN: Komuniti korporat dirayu untuk membantu sembilan pelajar cemerlang yang terkandas mengikuti  program biasiswa luar negara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setelah kerajaan gagal melunaskan janjinya dengan merombak perjanjian biasiswa tersebut sebelum ini.
Rayuan ini dibuat setelah pelbagai usaha dilakukan termasuk pertemuan dengan pegawai dan pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan termasuk Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon, Setiausaha Perdana Menteri Datuk Wong Nai Chee dan sebagainya menemui jalan buntu.
“Kita amat kecewa kerajaan memilih untuk menghampakan pelajar-pelajar cemerlang ini yang telah berjaya untuk memasuki universiti-universiti terbaik dunia seperti yang diiktiraf JPA sendiri,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee.
Menurutnya walaupun pelajar-pelajar tersebut diberi tawaran baharu untuk melanjutkan pendidikan ke universiti tempatan, sebahagian kursus yang ditawarkan di universiti luar negara mempunyai kualiti dan perbezaan yang amat ketara .
“Misalnya ada pelajar kita diterima melanjutkan pengajian dalam jurusan perubatan di Universiti Cambridge, universiti ini hanya menawarkan 20 tempat kepada pelajar bukan rakyatnya dan Kesatuan Eropah.
“Namun, beliau tidak dapat lanjutkan pengajian kerana tidak mendapat biasiswa. Pihak keluarga juga tidak mampu menampung yuran pengajian yang tinggi di sana,” jelasnya.
Meskipun kerajaan memberi alasan kekangan kewangan negara untuk merombak perjanjian program bursari JPA itu, Tony menegaskan bahawa biasiswa pendidikan bagi pelajar cemerlang negara ini tetap perlu diutamakan kerana ia merupakan satu pelaburan menguntungkan buat negara.
“Kita tidak mahu perkara terburuk berlaku apabila kerajaan asing ‘mencuri’ bakat-bakat cemerlang pelajar negara ini,” ujar beliau.
Sehubungan itu, pihaknya merayu dan meggesa pihak kerajaan supaya merombak semula keputusan dan perjanjian mereka supaya pelajar-pelajar cemerlang ini dapat meneruskan pengajian mereka ke universiti-universiti yang telah menawarkan peluang pengajian.
“Masa terlalu suntuk, kita akan terus menggesa kerajaan untuk menunaikan dan melaksanakan perjanjian sebelum ini, kami juga merayu kepada komuniti korporat negara ini untuk membantu menyediakan biasiswa kepada sembilan pelajar cemerlang ini untuk meneruskan pengajian ke luar negara,” rayu Tony.
Pihak korporat yang berminat untuk memberikan biasiswa ujarnya boleh berhubung terus dengan wakil pelajar tersebut; Justine Jason Barnabas melalui email justine1706@yahoo.com atau melalui  telefon 011-10803855. – 
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers