Tuesday, May 31, 2016

TUMPOR YEOP, AHLI UMNO NEGERI SEMBILAN TANDING DI KUALE KANGSOR....

PRK K. Kangsar: Anak jati minta tukar calon



Maklumat yang diterima lewat malam tadi mengatakan calon BN pada pilihanraya kecil Kuala Kangsar iaitu Mastura Yazid, balu Wan Khairil Wan Ahmad, adalah ahli dan AJK UMNO cawangan Chembong dalam bahagian Rembau, Negeri Sembilan.

Ini bermakna, buat pertama kalinya, bukan saja ahli UMNO di luar Kuala Kangsar, bahkan daripada luar negeri Perak dipilih sebagai calon untuk bertanding di kawasan tersebut.

Tiadakah seorang pun daripada ribuan ahli UMNO Kuala Kangsar yang  sesuai untuk dijadikan calon?

Tiadakah juga seorang daripada ratusan ribu ahli UMNO daripada 24 Bahagian di seluruh Perak yang layak untuk dipertimbangkan menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar?

Kalau pun pemilihan Mastura kerana beliau seorang profesional, apakah di Kuala Kangsar dan Perak tiada seorang pun yang berkelulusan tinggi begitu?

Berbeza dengan parti-parti lain, UMNO adalah parti yang bersifat tempatan dan menguasai kerajaan dan oleh yang demikian, ia mempunyai struktur yang lengkap di setiap bahagian bagi mengisi pelbagai ruang dan peluang yang sudah tersedia sebagai sebuah kerajaan.

Parti-parti lain, disebabkan mereka tidak bermula sebagai sebuah kerajaan, maka soal calon tempatan atau calon luar tidak pernah berbangkit sama sekali.

Mereka yang berjuang atau bersengkang mata dalam UMNO, selain untuk mengekalkan kuasa, matlamat lain juga ialah untuk mengejar kedudukan sebagai wakil rakyat, exco kerajaan negeri, timbalan menteri, menteri serta pelbagai nikmat lain yang ada dalam pentadbiran kerajaan negeri mahu pun pusat.

Lantaran itu, dalam soal pemilihan calon wakil rakyat, adalah kelaziman ahli daripada bahagian itu sendiri yang akan dipilih. Kalau pun calon tersebut daripada luar, ia biasanya masih daripada negeri yang sama.

Hanya dalam kes-kes terpilih seperti Syed Hamid Albar dan Aziz Shamsuddin misalnya, pernah berlaku orang negeri lain bertanding di negeri lain. Syed Hamid ketika mula bertanding di Kota Tinggi adalah pemimpin UMNO di Bukit Bintang, tetapi kemudian terus berpindah keahlian ke Kota Tinggi. Aziz Shamsuddin pula dari Gopeng bertanding di Shah Alam.

UMNO memang merasakan hak untuk bertanding di sebuah DUN atau Parlimen atau hak ahli bahagian tersebut. Kecuali dalam kes-kes tertentu dan jarang-jarang berlaku, calon daripada luar yang dipilih sebagai calon.

Sebab itu, boleh dikatakan 99 peratus calon-calon UMNO dalam pilihanraya adalah orang tempatan, baik yang berjawatan dalam parti mahupun daripada kalangan yang agak dikenali oleh masyarakat setempat.

Lebih-lebih lagi dalam pilihanraya kecil, anak tempatan lazimnya lebih diutamakan kerana merekalah yang lebih tahu dan faham segala-galanya tentang kawasan yang mereka bertanding itu.

Sekiranya benar Mastura masih ahli UMNO dalam bahagian Rembau, ini adalah anjakan paradigma yang mengkagumkan sekali, bukan saja buat UMNO Kuala Kangsar tetapi juga buat UMNO Perak secara keseluruhannya.

Untuk masa-masa akan datang, oleh kerana UMNO Perak mempunyai 24 bahagian dan lebih besar daripada Negeri Sembilan yang ada 8 bahagian, mereka bukan saja boleh terus menerima kehadiran calon-calon luar, bahkan juga mesti mampu mengekspot anak jatinya sendiri bertanding di negeri-negeri lain.

Kalau tidak, naya orang Perak dan Kuale Kangsor yeop..tumpor le kite...

Atau mungkinkah Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO akan segera melakukan "silap mata" mengenai keahlian UMNO Mastura? (SH 29/05/2016).


Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers