Takkan menteri BN tidak dimaklumkan tentang usul hudud di Parlimen?




http://wrlr.blogspot.my/2016/05/semua-ini-hanya-wayang.html

m_kulasegaran-e1459240763289



KUALA LUMPUR, 31  MEI: Ugutan beberapa pemimpin BN untuk meletakkan jawatan mereka dalam kabinet jika undang-undang hudud berjaya dilaksanakan di negara ini menimbulkan persoalan sama ada mereka tidak dimaklumkan terlebih dahulu sebelum usul dibentang.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M. Kula Segaran menyatakan rasa hairan sama ada menteri-menteri BN dimaklumkan terlebih dahulu mengenai tindakan dua menteri UMNO yang bersetuju agar usul Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung Akta 365 dipercepatkan dalam Dewan Rakyat pada hari Khamis lalu.
Jelas Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, beliau yakin bahawa rang undang-undang persendirian oleh Hadi itu tidak akan berjaya dimajukan sekiranya pemimpin-pemimpin BN tersebut berani mempertikaikan langkah unilateral UMNO memberi ruang kepada usul Hadi Awang.
“Sukar untuk dipercayai bahawa keputusan mengenai perkara sepenting itu tidak dibincangkan terlebih dahulu dalam Kabinet oleh UMNO dengan pemimpin-pemimpin MIC, MCA dan Gerakan.
“Tidak kira sama ada keputusan Kabinet telah dilanggar atau langkah memberi keutamaan kepada usul Hadi itu tidak dibincangkan dengan menteri-menteri berkenaan, ia menunjukkan bahawa UMNO tidak menghormati komponen parti BN yang lain,” jelas beliau.
Pada 26 Mei lalu Abdul Hadi Awang diberi ruang untuk membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Dewan Rakyat.
Aturan mesyuarat diubah bagi membolehkan usul itu mendahului urusan kerajaan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman dan disokong oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Walau bagaimanapun, Hadi kemudiannya meminta agar perbahasan usul itu ditangguhkan ke sessi Parlimen seterusnya pada Oktober akan datang.
Disebabkan perkara itu, Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam semalam menyertai pemimpin MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Wee Ka Siong serta Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong yang membuat keputusan untuk meletak jawatan dalam kabinet jika undang-undang hudud dilaksanakan.
Terlebih dahulu, Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong telah pun meletakkan jawatan dan keluar parti sebagai tanda bantahan terhadap pembentangan usul persendirian tersebut.
“Sekiranya hudud dilaksanakan, tidak cukup sekadar menteri dan timbalan menteri MIC, MCA dan Gerakan meletakkan jawatan kerajaan. Parti-parti ini mesti berani untuk keluar daripada Barisan Nasional,” tegasnya. – Roketkini.com

No comments: