Kenyataan tiga minit Zahid tak bertanggungjawab, tiada maklumat baru


1mdb
KUALA LUMPUR 4 DIS: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengecam kenyataan tiga minit berkaitan derma RM2.6 bilion yang dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi kerana tiada ada sesuatu atau maklumat baru.
“Kenyataan tiga minit Zahid sangat tidak bertanggungjawab, tiada hal baru diperkatakan beliau. Yang ada hanyalah penegasan bahawa RM2.6 billion berkenaan adalah derma politik,” katanya pada kenyataan media hari ini.
Beliau juga menyifatkan skandal itu dialih dengan pembentangan usul untuk merujuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Jelas, Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdesak untuk mengalihkan perhatian isu skandal RM2.6 billion Najib, ketika negara diasak oleh pemerhati luar dan dalam negara,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.
Sebelum ini, Azalina berjanji Datuk Seri Najib Razak akan menjawab sendiri soalan berhubung skandal berkenaan pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat, sebaliknya Zahid pula mewakili Perdana Menteri itu tetapi hanya memberi kenyataan tiga minit, semalam.
Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan menghantar 90 soalan berkaitan dua skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion tetapi tidak diendah sehinggalah hari terakhir sidang malam tadi.
Kit Siang menyifatkan tindakan Azalina tidak jujur kerana pada sidang terakhir itu Nurul Izzah ada mengusulkan soalan mengenai RM2.6 billion tetapi tidak diletak sebagai antara tiga soalan teratas.
“Azalina terang-terangan menipu di Parlimen mengenai kehadiran Najib pada hari terakhir sidang bagi menjawab soalan skandal itu,” katanya.
Malah, katanya, Ahli Parlimen Bagan Lalang, Lim Guang Eng pada hari pertama (19 Oktober) pembentangan belanjawan di Parlimen ada bertanya butiran aliran keluar masuk RM2.6 billion tetapi tidak diendah.
“Mengapa Azalina tidak berterus terang bahawa kerajaan tidak akan menjawab skandal itu, dengan memberi alasan akan menganggu perjalanan siasatan.
“Daripada memberi harapan kepada rakyat dan dunia bahawa skandal itu akan terjawab semalam, Kerajaan BN sebaliknya membiarkan kita pulang dengan tangan kosong tanpa apa-apa penjelasan kukuh,” kata Kit Siang.
Kesal dengan tindakan itu, Kit Siang secara sinis mengesa supaya Azalina diheret diri sendiri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas perbuatannya yang tidak bertanggungjawab itu.

ROKETKINI


No comments: