Sunday, November 22, 2015

Tidak perlu YaPEIM bodek menteri – Dr Maszlee



Tidak perlu YaPEIM bodek menteri - Dr Maszlee

Tidak perlu YaPEIM bodek menteri – Dr Maszlee


Dr Maszlee Malik mengatakan tiada keperluan bagi sesebuah jabatan kerajaan menjemput golongan menteri seperti dilakukan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Penganalisis Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, tindakan Yapeim melibatkan menteri merasmikan program yang diadakan dengan meriah dan membelanjakan ratusan ribu ringgit merupakan satu pembaziran.

“Isunya ialah mengapa perlu majlis-majlis anjuran Yapeim itu melibatkan perasmian menteri?

“Ini masalahnya bila program-program yang melibatkan agensi kerajaan dan juga badan badan rasmi kerajaan, ramai yang nak ‘score points’, terutamanya orang-orang yang ada jawatan yang ingin mendekati dan membodek orang politik,” kata Maszlee kepada The Malaysian Insider.

Baru-baru ini Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) mendedahkan Yapeim membelanjakan RM290,000 untuk penganjuran program kursus perkahwinan di Perancis.

Menurut Maszlee, orang-orang politik dan menteri sememangnya suka dengan program-program sedemikian apatah lagi di luar negara kerana mahu “makan angin” dan ini penyebab kepada ratusan ribu ringgit dihabiskan.

Katanya, sekiranya menteri mengadakan lawatan, maka akan ada aktiviti mengampu disediakan pembodek untuk menghiburkan golongan itu.

“Jika tidak golf, pergi shopping, jika tidak shopping, pergi kasino, jika tidak kasino, ke tempat-tempat liburan,” kata Maszlee dengan sinis.

Beliau yang tidak membantah penganjuran sedemikian turut membandingkan majlis dan program sama yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) tanpa menghabiskan ratusan ribu ringgit.

“Bukan masalah nak anjurkan kursus kahwin ataupun nak buat program untuk pelajar pelajar Islam Malaysia di luar negara.
“Banyak pertubuhan Islam bukan kerajaan lain dah buat semenjak berpuluh tahun, tidak habis belanja sampai ratusan ribu, dan tidak perlu melibatkan dana awam.

“Jika tidak percaya cubalah tanyakan kepada Ikram, Abim dan PAS,” katanya merujuk kepada NGO Pertubuhan Ikram Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia.

Katanya, selama lebih tiga puluh tahun wadah-wadah ini menganjurkan program untuk para pelajar Melayu Islam di luar negara.

Menurut Maszlee, program di anjurkan NGO berkenaan berjaya melibatkan ratusan pelajar dan memberikan manfaat besar kepada golongan muda.

“Ia memberikan manfaat kepada ramai pelajar Malaysia, hatta kepada bukan Islam pun. Tidak pula timbul isu perbelanjaan ratusan ribu.”

Maszlee berkata, untuk mengelakkan perkara seperti ini berulang, perlu ada pentadbiran kerajaan yang telus.

“Ubatnya ialah pentadbiran kerajaan yang baik dan perlu ketelusan, akauntabiliti dan integriti. Buat pekeliling, tidak perlu para menteri rasmikan program-program pelajar di luar negara.

“Biarkan para pemimpin tempatan negara-negara tersebut sahaja dilibatkan dan tidak perlu membazir untuk menjemput para menteri.”

Menurut pensyarah UIAM itu, hubungan bersama komuniti lokal lebih penting kepada pelajar di luar negara untuk membuka minda dan menambahkan pengalaman.

“Para menteri boleh jumpa di Malaysia sahaja,” katanya.


Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers