Thursday, November 19, 2015

Maqasid syariah pendekatan penting dasar bersama PH



Maqasid syariah pendekatan penting dasar bersama PH

Maqasid syariah pendekatan penting dasar bersama PH


Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah optimis konsep maqasid syariah akan diterapkan dalam dasar bersama gabungan baharu pembangkang itu.

Bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu menyandarkan keyakinan itu berdasarkan prinsip muafakat yang sedia ada dalam Pakatan Harapan.

“Saya rasa maqasid syariah akan menjadi salah satu pendekatan penting yang kami akan terapkan dalam konteks kerangka dasar bersama Pakatan Harapan.

“Malah, ia sudah sedia ada dalam muafakat rakyat, maqasid syariah sudah ada di situ,” katanya.

Saifuddin berkata demikian sewaktu berperanan sebagai pencelah dalam forum “Maqasid Syariah: A National Agenda?” di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), semalam.
Selepas keluar Umno dan menyertai PKR pada awal Oktober, beliau diamanahkan sebagai setiausaha sekretariat Pakatan Harapan pada 19 Oktober lalu bagi menggubal dasar bersama dan perjanjian gabungan parti pembangkang itu.

Maqasid syariah adalah prinsip pentadbiran Islam yang menekankan kepentingan menjaga agama, nyawa, akal, kehormatan diri dan harta dalam pentadbiran.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Dzulkefly Ahmad berkata prinsip maqasid syariah sentiasa mendasari perjuangan parti baharu itu.

Katanya, Amanah selaku parti Islam generasi kedua berazam menjadikan maqasid syariah sebagai disiplin ilmu yang utama.

“Maqasid syariah adalah pemacu kami mencapai tujuan tertinggi iaitu memakmurkan bumi dan menyejahterakan umat manusia.

“Pada akhirnya perkara yang kami ingin lakukan adalah mengajak kepada kebaikan dan mencegah keburukan,” katanya yang menjadi ahli panel forum itu.

Sementara itu, Exco Pemuda PKR Wan Ji Wan Hussin mencadangkan ziarah rumah ibadah di kalangan pemimpin agama dilakukan bagi memupuk persefahaman serta dialog budaya dan agama.

Beliau mencadangkan pemimpin agama bukan Islam bersyarah kepada hadirin solat Jumaat selepas selesai acara mingguan itu dan pemimpin agama Islam juga melakukan perkara serupa kepada penganut agama lain selepas upacara keagamaan mereka di rumah ibadah masing-masing.

“Ini kerana prejudis kita antara agama berlainan berlaku kerana kita kurang memahami satu sama lain,” kata bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS itu.

Selain Dzulkefly dan Wan Ji, turut bertindak sebagai ahli panel forum adalah pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari.

Bertindak sebagai pencelah selain Saifuddin adalah Pengarah Pengasas Centre to Combat Cronyisme and Corruption (C4) Cynthia Gabriel dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil KLSCAH Ngeow Chow Ying.Forum dimudahcara felow Penang Institue Dr Wong Chin Huat.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers