Monday, October 5, 2015

Pakatan Harapan: Empat persoalan, empat penyelesaian

Artikel yang sesuai untuk dibaca.

liewchintong03-480x300
Saya kongsikan ucapan saya di sidang meja bulat pembangkang tempoh hari berkaitan penubuhan Pakatan Harapan supaya dapat memperdalam debat terbuka dengan lebih banyak perspektif.
Saya memberitahu sidang bahawa saya akan menyentuh empat isu klise yang kerap menjadi persoalan. Pertamanya, adakah pakatan baru itu ditubuh tergesa-gesa?
Sebenarnya, Pakatan Rakyat berakhir pada Jun 2015 walaupun sebenarnya ia gagal berfungsi untuk tempoh agak lama; setidak-tidaknya sejak krisis Menteri Besar Selangor, atau mungkin lebih awal lagi.
Jadi, sebuah pakatan perlu segera ditubuh kerana pembangkang harus bersedia dengan kemungkinan Umno menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menggantikannya dengan Datuk Seri Zahid Hamidi ataupun Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kerana ada lompong besar dalam kepimpinan politik Malaysia. Lebih cepat diisi, lebih baik impaknya kepada rakyat yang mahu melihat pembangkang sebagai pengimbang kepada kerajaan Umno.
Yang kedua, mampukah pembangkang menang pilihan raya akan datang dengan mudah?
Ada berpendapat pembangkang hanya perlu bersabar sementara kerajaan sedia ada hancur sendiri. Tak perlu buat apa-apa buat masa sekarang, tunggu saja bertanding satu-lawan-satu pada pilihan raya kelak. Kemenangan pasti diperoleh dengan mudah.
Ada kenyataan menyebut: “Bukan Pembangkang yang menang pilihan raya tapi Kerajaan yang kalah.” Pendapat seperti ini mungkin ada betulnya tapi ia terlalu berserah.
Mengharapkan menang mudah boleh menyebabkan pengundi takut keputusan pilihan raya tidak memihak kepada majoriti dan kembali memilih Umno apabila keadaan mendesak.
Jadi, pembangkang harus memupuk sokongan rakyat dan memperoleh kepercayaan mereka untuk menggantikan kerajaan.
Ketiga pula, bagaimana untuk menang tanpa PAS?
Ada juga suara klise betapa PAS memiliki pengaruh terbesar dalam kalangan pengundi Melayu terutama masyarakat luar bandar. Maka tidak ada gunanya pakatan baru tanpa penyertaan PAS. Tapi, kita mesti ingat, tanpa sayap progresif mereka, PAS tidak mampu meraih sokongan pengundi Melayu bandar, apatah lagi pengundi bukan Melayu.
Kalau kita anggapkan saja “angin” politik memihak kepada pembangkang, keputusan pilihan raya akan datang bergantung sama ada pembangkang mampu mengalahkan Umno di 35-40 kerusi marjinal di Semenanjung.
Sekarang, Umno memegang 73 kerusi . Jika mereka hilang 40 kerusi marjinal, ia menjadi titik penamat Umno sebagai kerajaan. Kerusi marjinal kebanyakannya kerusi separa-bandar di pantai barat Semenanjung dan terdiri daripada komposisi etnik bercampur.
Kerusi-kerusi itulah yang sukar dikuasai PAS yang diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang tanpa sayap progresif.
Sudah pasti Umno akan cuba mengulangi taktik yang diguna pakai pada pilihan raya 2013 dengan cuba menakut-nakutkan pengundi Melayu separa-bandar di kawasan kerusi marjinal terhadap orang Cina.
Walaupun taktik itu menjadi pada 2013, tak semestinya ia menjadi sekali lagi pada pilihan raya akan datang.
Lebih penting lagi, pakatan pembangkang yang baru mesti menyakinkan pengundi Melayu di kawasan separa-bandar betapa kerajaan baru lebih baik berbanding kerajaan Umno. Dan, untuk menjadi lebih baik, perkauman tidak harus dijadikan isu.
Sebaliknya, kepercayaan dan kesepaduan antara etnik dalam kalangan rakyat Malaysia perlu dibina demi masa depan yang baru.
Jika pakatan baru pembangkang dapat membina kepercayaan dan kesepaduan rakyat terutama dalam kalangan orang muda Melayu di kawasan separa-bandar, akan ada gelombang atau tsunami yang akan menyingkirkan Umno buat selama-lamanya.
Gelombang itu secara dasarnya berkenaan ekonomi. Kita boleh lihat sendiri bagaimana gerakan ‘Baju Merah’ cuba memainkan isu ketidakseimbangan ekonomi antara orang Melayu dan Cina. Suara mereka mungkin kedengaran bersifat perkauman tapi nada mereka jelas berkaitan ekonomi.
Pakatan baru pembangkang mesti menyakinkan rakyat Malaysia bahawa amalan kronisme
Umnolah yang menyebabkan masalah tiada pekerjaan dan pendapatan yang mencukupi dalam kalangan orang muda Melayu.
Ia bukan disebabkan oleh orang Cina atau DAP, atau mana-mana hantu momok lain.
Contohnya, dengan kedatangan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang dibawa masuk ke Malaysia oleh Zahid Hamidi dalam tempoh tiga tahun sejak 2016, akan wujud persaingan yang mengakibatkan pengurangan pendapatan pekerja Melayu.
Kroni Umno untung tapi orang muda Melayu terseksa.
Lebih-lebih lagi, semua itu tiada kaitan dengan PAS. Ada banyak kerja yang menunggu tapi melalui kepimpinan sekarang yang konservatif, PAS dijangka tidak berminat untuk turut sama.
Keempat, bolehkan PKR berperanan seperti Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pada 1990?
Ada pendapat salah dalam kalangan teman seperjuangan dan penyokong pembangkang bahawa PKR boleh memainkan peranan seperti Ku Li dengan menerajui dua pakatan berbeza pada satu masa.
Pada 1990, Semangat 46 yang dipimpin Ku Li bekerjasama dengan PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah dan dengan DAP dalam Gagasan Rakyat. Ketika itu, DAP dan PAS lebih tertumpu pada kawasan masing-masing dan tidak ada perebutan tuntutan kerusi pilihan raya.
Namun, kali ini berbeza sama sekali. PAS dan Amanah akan bertembung dan berebut kerusi pilihan raya. Secara dasarnya, PAS sedar dengan kenyataan betapa Parti Amanah Negara (Amanah) berkembang pesat dan cuba menyingkirkan pengaruh PAS.
PAS tentu tidak akan membenarkannya. Begitu juga Amanah. Kedua-dua parti itu tidak akan membenarkan PKR untuk menyediakan ruang untuk parti yang satu lagi.
Jelaslah, Malaysia memerlukan pakatan pembangkang yang mampu mengisi lompong kepimpinan, seterusnya membentuk masa depan dengan polisi yang rasional dan memimpin negara atas nama kesepaduan, bukannya perpecahan.
Sudah tiba masanya untuk bersikap jelas. Sudah tiba masa untuk bergerak ke depan dan membentuk masa depan yang baru untuk Malaysia. – Roketkini

Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers