Thursday, October 22, 2015

Fastaqim: Himpunan era Nik Aziz lebih besar tapi perlukan Pakatan



Fastaqim: Himpunan era Nik Aziz lebih besar tapi perlukan Pakatan

Fastaqim: Himpunan era Nik Aziz lebih besar tapi perlukan Pakatan

Oleh : Amiruddin Ahmad

Himpunan fastaqim baru-baru ini menyebabkan pemimpin Pas seolah-olah lupa daratan menghina bekas rakan seperjuangan yang menyertai Amanah.

Paling terkesan adalah ungkapan Presiden Hadi dalam ucapan beliau, ‘macam kera yang melompat ke pohon yang berbuah. Bila melihat buah kita tidak banyak, mereka melompat ke pokok lain yang punyai banyak buah’. Pemimpin Pas lainnya merendah-rendahkan Amanah yang didakwa tidak mendapat sokongan.
Apa sudah jadi dengan akhlak pemimpin Pas yang rata-ratanya adalah ustaz. Akhlak ustaz wajib lebih baik berbanding orang awam.

Puluhan himpunan besar

Fastaqim bukanlah satu-satunya himpunan yang besar di Kelantan, khususnya di Stadium Sultan Mohammad ke IV. Ketika era Tok Guru Nik Aziz puluhan himpunan yang sama besar seperti fastaqim dianjurkan Pas.

Namun ketika itu Tok Guru tidak pula berbangga apatah lagi mabuk dengan hadirin berjumlah 60,000. Sewaktu Semangat 46 meninggalkan Pas dan bergabung dengan Umno secara en block pada 1996 Presiden Pas, Fadzil Noor dan Nik Aziz menghimpunkan penyokong di stadium sama. Jumlah hadirin lebih banyak daripada fastaqim.

Sepatutnya ketika itu Fadzil muncul dengan ucapan Pas adalah kuasa politik Islam terkuat di Malaysia; Pas tidak memerlukan parti lain untuk mara ke Pantai Barat; Pas akan bertanding di semua kerusi termasuk kerusi DAP atau paling ‘lekeh’ pun Pas tidak memerlukan sekutu untuk memerintah Kelantan.

Sebaliknya, apabila Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dipecat pada 1998 Pas adalah parti pertama yang menawarkan bantuan kepada penyokong Anwar. Pas mengasaskan Gerak dan menampung penyokong reformasi sebelum penubuhan Parti Keadilan Nasional.

Betapa terbukanya pemikiran Fadzil dan Nik Aziz ketika itu. Malah ketika Barisan Alternatif (BA) diwujudkan pada 1999, ungkapan yang sering diingatkan oleh Tok Guru dan Fadzil kepada ahli Pas ialah ‘kambing jika bersendirian mudah diserang serigala, jika berkumpulan sukar untuk dibaham serigala’.

Sedangkan hakikatnya Pas telah pun mempunyai 400,000 ahli. DAP dalam lingkungan 200,000 dan KEADILAN ketika itu tidak sampai 50,000. Pas boleh mempersetankan dua parti tersebut untuk masuk pilihan raya umum (PRU) 1999 bersendirian dengan kelebihan ahli. Namun Fadzil dan Nik Aziz tidak melakukannya. Mereka masuk secara bersekutu dan berjaya menawan Terengganu.

Gelombang reformasi

Fakta menunjukkan gelombang Terengganu adalah kesan dari kempen anak rantau pro reformasi yang pulang mengundi. Namun setelah menang, MB Hadi Awang mendakwa rakyat Terengganu mahukan Islam kerana itu mereka mengundi Pas. Penumpuan Pas kemudiannya lebih kepada pengembangan agama walaupun isu besar adalah pengangguran rakyat dan ketidak cekapan pemerintahan kerajaan negeri.

Selepas DAP menarik diri daripada BA pada 21 September 2001, rakyat Terengganu tidak melihat pembangkang mampu pergi jauh dalam PRU seterusnya. Pas kalah teruk PRU 2004. Slogan Umno; ‘serik doh wei’ menjadi cogan kata mujarab mendesak rakyat menamatkan pemerintahan Pas. Bagaimanapun Hadi tidak pernah belajar dari peristiwa tersebut.

Sekiranya Hadi berusaha mengambil sedikit masa untuk bermuhasabah akan kekuatan dan kelemahan Pas sepanjang dua dekad ini; tentulah beliau akan menemui fakta Pas tidak pernah berjaya memenangi mana-mana negeri sejak 1980an tanpa parti sekutu.

Kemenangan dalam PRU 1990 menawan Kelantan adalah kerana menumpang pergolakan Umno dengan parti sekutu Semangat 46. Apabila parti sekutu mula lemah pada PRU 1995, prestasi Pas juga kurang memuaskan.

Pengaruh Anwar

Pas berjaya mendapat 2/3 kerusi di Kelantan dan Terengganu pada PRU 1999 kerana menumpang gelombang Anwar. Apabila BA berpecah maka Pas hilang Terengganu dan menang tipis hanya berbeza dua kerusi Dun di Kelantan dalam PRU 2004.

Kemenangan pada PRU 2008 sepenuhnya pengaruh Anwar. Pas berjaya mengorak langkah ke Selangor, Kedah dan Perak. Mustahil Pas mampu melakukannya secara bersendirian.

Jadi dari manakah bukti yang boleh disandarkan apabila presiden Hadi selepas fastaqim berkata Pas akan menang lebih banyak dalam PRU akan datang tanpa sekutu?

Kekuatan 1.3 juta ahli tidak banyak memberi kesan kerana separuh daripadanya telah beralih tumpuan kepada Amanah. Perbandingan kemenangan Pas di Terengganu pada PRU 1999 ketika ahli mencecah 400,000 dan kekalahan Pas pada PRU 2004 ketika ahli 500,000 perlu dijadikan ikhtibar.

Pada PRU 2008, Pas menang di Kedah ketika keahlian berjumlah hampir 900,000. Pada PRU 2013, Pas kalah di Kedah ketika keahliannya meningkat kepada 1.1 juta. Jadi di manakah bukti jumlah keahlian akan menjamin kemenangan?

Apatah lagi strategi Pas kini ingin membolot semua kerusi. Mahu bertanding di kerusi DAP . Tidakkah golongan atas pagar akan melihat Pas parti yang tidak realistik atau sombong?

Bergerak seperti Hamas

Pas bercita-cita mahu bergerak seperti Hamas di Lubnan. Pengundi Kristian dan sekular menyokong mereka. Terdapat banyak perbezaan antara Lubnan dan Malaysia. Negara bergolak itu memerlukan parti yang mempunyai sayap bersenjata seperti Hezbollah untuk melindungi rakyatnya dari Israel. Sedangkan di Malaysia tiada konflik bersenjata dan rakyat lebih mempercayai parti-parti yang boleh menunaikan janji perkhidmatan awam yang baik dan berakauntabiliti.

Politik Malaysia terbahagi kepada dua. Satu, masyakarat yang tidak peduli dengan persekitaran dan mahukan peluang pekerjaan serta hiburan. Mereka akan menyokong Umno BN. Satu lagi, masyarakat yang mahukan negara ditadbir seperti di Eropah. Perkhidmatan kesihatan, perbandaran, pendidikan dan kebajikan yang baik. Mereka adalah pengundi pembangkang.

Dengan persoalan yang tidak pernah berakhir mengenai bantuan banjir di Kelantan, Kompleks Perkayuan Kelantan yang tidak telus; pembaziran lawatan adun dan exco keluar negara dan dibangkitkan oleh pimpinan Pas sendiri, adakah penyokong pembangkang di Pantai Barat akan mengundi Pas?

Kecuali di Pantai Timur yang setia kepada politik agama, sebagaimana pengundi Umno setia dengan parti Ketuanan Melayu; pengundi di Pantai Barat mempunyai kriteria lebih ketat memilih parti pemerintah untuk memenuhi cita rasa mereka. Oleh itu Pas memerlukan sekutu. Kekurangan Pas akan ditampung oleh parti sekutu.

Dengan Pas bersendirian dan perjuangan di sekitar Hudud maka mereka tiada tarikan meluas dalam kalangan pengundi yang berfikiran bebas dan moden. Mereka juga tidak dijamin oleh parti sekutu untuk mewujudkan urustadbir yang baik sekiranya berjaya memerintah sesebuah negeri.

Tanpa jaminan, sebagaimana era 1980an, Pas tidak mampu menang walaupun barisan calon-calonnya adalah ustaz yang amat diyakini tidak akan makan rasuah, menyeleweng atau kaki perempuan.


Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers